![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Majalah Guru, Oct 1935, p.372-374
General Article.
Pelajaran Perempuan.
Walau dengan jalan bagaimana pun setengah dari ibu bapa kanak-kanak di dalam kampung hendak menghalang kemajuan dan pergerakan perempuan-perempuan Melayu: tetapi kemajuan pelajaran perempuan ada terus menerus dari semasa ke semasa.
Cubalah ibu bapa kanak-kanak berfikir dan soal diri sendiri, "tidakkah perlu anak-anak perempuan itu diberi pelajaran dan pengetahuan?". Hal ini memang masing-masing tuan-tuan boleh belaka menjawab, "Perlu!", sebab di dalam Hadith pun ada tersebut "Tiap-Tiap laki-laki dan perempuan wajib diberi ilmu". Teranglah sudah oleh kita bukan laki-laki sahaja wajib diberi ilmu pengetahuan.
Sekarang cuba pandang apa yang ada disekeliling kita, usahkan di mana dalam Tanah Melayu sahaja boleh kita saksikan. Ada perempuan yang sudah melangkah ke sekolah Inggeris. Ada perempuan sudah berlatih mau bekerja jadi guru Kolej Durian Daun dalam negeri Melaka. Ada perempuan sudah berlatih jadi doktor berapa pula ramainya yang sekarang ada duduk menyambut pelajaran dimerata-merata sekolah Melayu di dalam Semenanjung Tanah Melayu.
Dari apa yang saya sebutkan itu nyatalah pelajaran perempuan ada berjalan kemajuannya dari semasa ke semasa. Walaupun keadaannya itu ada begitu, akan tetapi kalau kita berjalan dimerata-merata kampung, nescaya kita dapati juga lagi ramai kanak-kanak perempuan yang belum pun sempat menerima apa-apa pelajaran pun mereka sudah terpaksa hidup berumahtangga. Kita tidak dapat hendak menyalahkan kepada perempuan-perempuan yang menerima nasib yang sedemikian. Kerana nasibnya itu ialah disebabkan oleh penjaganya tatakala kecilnya!
Setidak-setidak mampunya seorang kampung dia boleh serahkan anak-anak perempuannya belajar di dalam sekolah kampung kalau tidak pun sungguh melanjutkan pengetahuan anak perempuan itu.
Sekarang berapa besar terima kasihnya yang wajib kita ucapkan kepada raja dan kerajaan kita yang telah membukakan pintu-pintu pelajaran bagi perempuan-perempuan bangsa kita. Penuhkanlah peluang-peluang itu! Supaya anak-anak perempuan kita tidak kecewa di belakang hari dan tidak menyesalkan untungnya sebagai orang "ibu yang tidak mampu" tatakala besarnya.
Bagi langkah permulaan: cita-cita kenalah dahulu sederhana sahaja -- usahlah haraplah mau menjadi loyar, engineer ... ((sedangkan laki-laki Melayu pun belum begitu maju)) tetapi cukup untuk hal kehidupannya di masa yang ke belakang pun itu sudah cukup.
Seorang perempuan yang diserahkan belajar, ada berbeza kehidupannya dengan seorang perempuan yang "buta kayu". Cakap saya ini tentu pada orang yang tidak meluluskan hendak diberi pelajaran pada perempuan itu terbalik.
Kata mereka: perempuan-perempuan yang tahu menulis, tentu ia akan berperangai jahat. Betulkah begitu? Tentu sekali bagi orang-orang yang berakal akan ketawa sahaja mendengarkannya. Bukannya dengan jalan tahu menulis dan membaca itu boleh jadi jahat, cakap yang begitu tentu tidak laku lagi dalam zaman ini!
Semua orang tahu masa ini "zaman kemajuan" tetapi di mana itu kemajuan kalau tidak dari pelajaran dan pengetahuan. Dan di mana boleh melangkah kemajuan itu kalau tidak perempuan sama sekali?
Sekarang satu bebanan yang tersebut kepada guru-guru perempuan Melayu. Dialah contoh dan acuan kepada kaum sejenisnya. Dialah yang patut jadi ikutan kepada langkah kemajuan pergerakan pelajaran perempuan Melayu. Mudah-mudahan dengan langkah yang disusunnya itu membawa kepada kemajuan yang sebesarnya dikehendaki!
Kita umat Melayu patut belum pernah mengatakan "Oh .... Sudah cukup!" walaupun sekarang kita sekalian ada tersenyum melihat kemajuan kaum perempuan, akan tetapi cubalah galakkan lagi kanak-kanak perempuan itu menerima pelajaran supaya dengan suka hatinya masing-masing menerima apa-apa juga rupa-rupa perubahan yang berguna.
Berharaplah saya mudah-mudahan pergerakan perempuan itu akan bertambah-tambah jaya .... Kehadapan! Wasallam.
top |