Jajahan Melayu extract
bibliographical notes on Editorials in Malay Newspapers
index of Editorials in Malay Newspapers extracts
    • locate in index of extracts taken from Editorials in Malay Newspapers

 

Jajahan Melayu, 7 Jan 1897

Editorial.

Ada pun bahasa itu suatu perkataan yang sukar dicari dan tiada dapat dibeli hingga jauhari yang bahari sekali pun mengeluh hendak menilaikan harganya sedang sifatnya lagi lemah lembut laksana geliga penawar kepada seniman yang mendengarnya.

Wahai benar sungguh gurindam yang sedikit itu hingga terbuka nafsu hati kebatuan didirikan beberapa syarat yang membangunkan berahi baharuan mempelajari bahasa ialah sebutir ma`nikam yang menerangi sekitar alam. Adohai tuan2 beberapa munsyi yang kamil2 membuang jiwa, guru2 yang mursyid menjelma menjadi jogi apatah lagi musannif yang arif menjadi bingung lupakan diri memegang kalam dawat tertinggal dapat tinta kertas terserak sehari2 dalam perkabungan lalai menyelidiki bahasa namun terlintas sahaja suatu bahasa bergopoh-gapahlah disimpankan ke dalam perbendaharaan hatinya lalu membongkar beberapa kamus dengan kitab yang besar2 kerana hendak membanding akan dia hingga mutabik dengan murad yang harus dipertukarkannya ini pun tiada memadai selagi belum ditampi diayak dicuit dicuci direndam disering dibasuh dihuli ditapis ambil patinya disukat diukur ditimbang dengan cermat terlebih daripada menimbang gemala ...... Hatta kemudian daripada bagitu susah adzab sengsara penat lumpuh letih lesu badannya baharulah diunjokkan pada taulannya...... sekonyong2 mendapat jawab apakah kegunaan ini bahasa Melayu sahaja? Ya-illahi tiadakah insaf si-celupar itu sekian usahaku berlelah2 mencari bahasa tiba2 dikata sahaja sahaja sahaja! Tentu cuma ertinya tidak berharga! Sayang degil yang demikian itu menawari hati dewa2 yang hendak berjasa di atas bahasa hingga meninggal mereka itu kayangan angkasa. Maka beberapa pun dipuja oleh berahman2 dengan membakar ukupan dupa khalambak kasturi lalu disamar dengan menyeru memujuk merayu berumbut2 mayang hendak menurunkan dia tolong memulihkan bahasa Melayu tetapi betara guru indera sakti berdarah putih beroma songsang dewa maha dewa sekalian dewa2 itu makin jauh terbangnya dari suatu ke suatu awan lanjur berkhalwat dicelah mega yang ketujuh sambil memandang ke dunia dengan tersenyum2 kepada kita yang tersera2 tarik ke kepala kaki terlepas menutup lutut muka terbuka - Chiah marho!

Lihatlah masing2 memandi kalamnya seorang ke hulu seorang ke hilir hingga meradang dan memberangkan hati seorang anak raja di sebelah selatan lalu menulis kepada jajahan Melayu tetapi pada suratnya yang pertama dan yang kedua tiadalah kita mahu memasuki di dalam perkara itu ya`ani kita memberi nasihat sahaja dengan memohonkan ampun ke bawah kaus engku usahlah diturut kepada murkaan kerana sekalian itu semata2 permainan dunia .....