![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Utusan Melayu (Warta Free Press), 9 Jul 1910
Editorial.
Bahawa percayalah kita ada jua antara pembaca2 kita tuan2 yang mengambil berat dalam hal yang telah jadi di Kedah di antara Majlis Meshuarat Kerajaan itu dengan Tuan Penasihatnya bagaimana yang telah kita huraikan dalam akhbar ini telah diterima pula kawat dalam hal ini iaitu kenyataan kerajaan Kedah yang telah dizahirkan di dalam akhbar Inggeris di Pulau Pinang yang bernama Penang Gazette itu dan iaitu telah dizahirkan dalam Utusan Melayu yang dikeluarkan pada hari Khamis itu dan tentulah kebanyakan daripada pembaca2 kita telah melihat akan kenyataan itu dengan sepenuh2 timbangan di atas hal itu.
Maka inilah kenyataan kerajaan yang pertama dizahirkan dalam hal itu tetapi nampaknya kenyataan itu terbitnya daripada pihak Kedah tidak dari pihak kerajaan Selat atau Negeri2 Melayu yang bersekutu dari sebab itu tidaklah dapat hendak diputuskan timbangan di atasnya sehingga dapat dibandingkan kenyataan daripada kedua pihak dalam hal itu.
Hatta sekiranya difikirkan daripada apa yang tersebut di dalam kenyataan itu nyatalah ada jua kebenaran bagi pihak majlis meshuarat itu pada berkehendakkan perubahan tentang jawatan Penasihat itu tetapi terlebih dahulu daripada boleh dijalankan perubahan itu hendaklah dihalusi siasat di atas perdawaan2 itu adalah iaitu boleh menthabitkan kehendak Majlis Meshuarat itu dalam hal ini ya`ani adakah sebab2 yang telah menerbitkan perselisihan dan pertengkaran di antara Majlis Meshuarat dengan tuan penasihat itu bagaimana yang tersebut di dalam kenyataan kerajaan dalam perkhabaran kawat yang dizahirkan dalam akhbar ini pada hari khamis itu terbitnya daripada niat pihak Tuan Penasihat itu hendak melakukan kuasa yang tiada hak baginya pada melakukannya bagaimana yang telah terma`alum kepada ke-dua2 pihak dalam akuan perjanjian serahan di antara Negeri Siam dengan England dalam hal Kedah itu kerana terlebih dahulu daripada di jalankan bagaimana kehendak ahli2 Majlis Meshuarat Kerajaan Kedah itu terutamalah ditadbirkan kesudahan perbuatan yang demikian itu di atas yang menerimanya terutama sekali di antara orang2 yang berpangkat dan berjasa dalam jawatan kerajaan seperti Tuan Maxwell itu. Maka oleh sebab itulah agaknya Tuan Yang Terutama High Commissioner telah bersungguh2 enggan daripada membenarkan kehendak majlis itu.
Shahadan dalam kehendak Tuan Yang Terutama High Commissioner yang semua surat2 kerajaan Kedah itu hendaklah melalui dengan jalan Tuan Resident Jeneral Negeri2 Melayu yang bersekutu itu tidaklah jua dapat hendak ditentukan apa niat atau tujuan kehendak Tuan Yang Terutama itu maka boleh juga iaitu oleh sebab hendak menyenangkan menjumpa peringatan hal2 negeri itu dan menentukan cawangan jawatan kerajaan yang berkenaan dengan Negeri2 Melayu sama ada yang di dalam kandungan Negeri2 Melayu yang Bersekutu atau pun yang baharu masuk ke bawah naungan kerajaan Inggeris seperti Kedah, Kelantan, Terengganu dan lainnya supaya kesemuanya terkandung dalam satu cawangan dan menyenangkan pekerjaan menjalankan perkara2 negeri2 yang bernaung di bawah panji2 Inggeris itu dari sebab pada perasaan kita tidaklah boleh iaitu dikatakan menyalahi akan perjanjian atau memberi bahaya kepada keselamatan dan maru'ah kerajaan Negeri Kedah kerana belumlah pernah kita dengan perbuatan yang demikian itu dilakukan oleh kerajaan Inggeris atau pihak wakil2 gantinya dalam seluruh dunia ini kerana apakah gunanya akuan atau perjanjian maka sememang2 ada niat tiada hendak menyempurnakannya istimewa pula dalam hal ini jika ada niat yang demikian itu terlebih baik dilakukan pada awalnya kerana keadaan di antara ke-dua2 pihak itu sama jua seumpama seorang tua yang gagah dengan budak kecil yang bersifat lemah.
top |