Warta Malaya extract
bibliographical notes on Editorials in Malay Newspapers
index of Editorials in Malay Newspapers extracts
    • locate in index of extracts taken from Editorials in Malay Newspapers

 

Warta Malaya, 1 Jan 1931

Editorial.

Hari Jadi Kita.

Selamat Tahun Baharu Masihi kepada Sekalian Pembaca Warta Malaya.

Bahawa pada hari ini mulailah kita masuk dalam tahun yang kedua bagi kejadian kita di dalam dunia surat2 khabar bagi orang2 Melayu di dalam Semenanjung Tanah Melayu dan yang demikian itu kita mengambillah peluang ini kerana mengucapkan banyak2 terima-kasih kita kepada sekalian pembaca2 khasnya dan orang2 Melayu amnya kerana bantuan dan sokongannya disertakan juga kepada sekalian gudang2 yang telah memasukkan i`lannya di dalam tahun yang lepas ini.

Dalam bilangan yang pertama bagi tahun yang pertama itu kita telah membentangkan dengan ringkasnya akan tujuan2 kita iaitu dizahirkan Warta Malaya bagi membantu kehidupan bahasa Melayu dan bagi mengadakan mata warta perkhabaran kerana berpuluh2 ribu orang2 Melayu yang tiada tahu akan bahasa lain atau yang tiada berkehendak menuntut bahasa lain itu dan juga bagi menambahkan mutu peluang bagi supaya dapat orang2 Melayu itu mengetahui akan hal ahwal yang terjadi dari sehari ke sehari dalam dunia ini terutama sekali di dalam hal ahwal yang berlaku dalam tanah2 Melayu dan mudah2an kelak dengan sebab keluaran dan pertukaran fikiran dan cita2 di antara satu dengan lain di atas segala hal2 dan perkara2 yang mendatangkan faedah dan kebajikan kepada bangsanya dengan jalan menggunakan ruang Warta Malaya ini dapatlah dipegang dan dirasai faedah2 itu.

Shahadan jika kiranya separuh atau sesuku sahaja daripada tujuan2 dan cita2 kita itu telah berhasil pada tahun pertama itu maka gemarlah dan berasa puaslah hati kita.

Bagaimana juga tiap2 manusia di dalam dunia demikianlah juga kita tentulah telah terkhilaf pada masa2nya akan tetapi kita berharap iaitu kita tidak akan dituduhkan angan atau berdegil hendak mengaku apabila kita telah terkhilaf atau tersalah apabila telah ditunjokkan kepada kita. Sebagaimana pun kita beranilah berkata dengan iman yang tetap iaitu tiada pada mutu masa pun di dalam tahun yang pertama itu kita sengaja membuat khilaf atau salah dengan niat hendak menyakitkan hati sesiapa pun.

Di dalam masa suatu tahun itu sesuatu surat khabar terpaksalah membahathkan berbagai2 perkara dan kita tidak sekali2 mengaku iaitu kita ada mengetahui dengan secukup2nya akan semua hal2 yang ajaib kiranya kita ada cukup mengetahui akan semua sekali perkara2 itu.

Barangkali juga tulisan2 kita itu telah memberi sedih kepada pembaca2nya dengan sebab kekerasan percakapannya akan tetapi pula kita sedia pada apa masa pun menzahirkan sebarang karangan yang membantah atau melawan dengan fikiran kita itu supaya dapat ditimbangkan fikiran bagi ke-dua2 pihak itu.

Dengan lagi sekali mengucapkan terima-kasih dan ma`af pada sekalian pembaca2 dan pembantu akhbar ini kita berjalanlah mengejar tujuan kita itu di dalam tahun yang kedua ini adanya.