Majlis extract
bibliographical notes on Editorials in Malay Newspapers
index of Editorials in Malay Newspapers extracts
    • locate in index of extracts taken from Editorials in Malay Newspapers

 

Majlis, 17 Feb 1931

Editorial.

Menyusun jari menghadap pembacanya.

Tuan2 Pembaca Al-muhtaramin!

Pada hari ini bi-inayatillah wataufikihi sampailah peredaran Kuala Lumpur kepada suatu perubahan lagi berhubung dengan alam pengeluaran surat khabar kebangsaan sendiri, zahirlah surat khabar ini dari alam kandungan ibunya ke alam yang bermatahari hal keadaannya ialah putera yang sulung sekali dan memilihlah ia suatu ketika yang berbetulan pada hari Khamis 17 Disember 1931 bersamaan pada 7 Syaaban sanah 1350 serta dinamakan dia dengan surat khabar "Majlis" yang demikian itu ialah supaya menepati kehendak dan muslihat bangsa kita Melayu, watan dan ugamanya.

Meski keadaannya kita mengaku hanyalah umpama sebiji telur yang terkecil dan terdha`if jika dibandingkan dengan lainnya tetapi kita masih bergerang hati berkata "Bahawa terbitnya tidaklah asing dari pihak kandungan ikhlas yang di sebelah dalam sekali yang mana kita berharap moga2 dengan segeranya menetas dan sekurang2nya sempat mengiring di belakang jika tidak akan berpegang tangan dengan saudaranya yang tertua dan lebih tegak daripadanya di dalam Semenanjung kita yang dikasihi ini mahu pun di dalam Indonesia sana."

Bagitulah kita menyusun jari mempersembahkan diri di hadapan tuan2 pembaca al-muhtaramin terutamanya ialah supaya kita memperkenalkan diri dan selainnya ialah supaya dapat kita mempersilakan pembacanya menyambut dan menetap akan dia dengan pandangan dan pemerhatian yang mengandungi segala ma`ana yang dikandung dan dapat dicapai oleh kalimah yang tersusun dari huruf2 ((MELAYU)), iaitulah kalimah bangsa kita yang "Utama" sekali yang boleh mempersatukan anggota kita dalam Semenanjung ini dan kalimah "Melayu" itulah kelak yang akan memperkukuhkan perdirian kita dalam golongan siasat dan ekonomi negeri kita dan dengan lain2 perkataan.

Bahawa dengan ketunggalan kalimah "Melayu", itulah kita akan mempersisihkan bangsa asing yang datang berkerumun ke negeri kita ini dan dengannyalah kita tidak akan menerangkan apakah sebabnya kita menjaga surat khabar kita ini dengan nama "Majlis" atau kerana pada fikiran kita: Bahawa nama2 atau gelaran2 itu tidak akan bermakna dan tidak pula akan menjadi pandangan atau kemegahan tidak terkecuali betapa hebat lafaznya pada pertuturan lidah dan bagaimana pula merdu bunyinya pada pendengaran telinga melainkan tentang "Nama" tentulah akan tinggal "Nama Sahaja", sedang yang akan jadi pandangan dan kemegahan yang asing dari bukti dan jasa dan bahawa sanya berbahagialah segala nama2 yang berbukti dan berjasa itu selama2nya.

Maka apakah yang patut kita huraikan terlebih dahulu dan terlebih utama sekali tentulah tidak asing dari pengharapan kita yang mesti termeteri di dalam hati tiap2 mereka yang berwatankan semenanjung ini dengan segala ma`ana yang terkandung dengan segala di dalam "Watan" itu ya`ani bukannya sengaja memperwatankan semenanjung ini pada lidah sahaja kerana hendak menuntut hak dan kemuslihatan diri. Oleh itu berkatalah kita bahawa pengharapan serta niat dan cita2 kita pada pihak yang berhubung dengan menerbitkan "Majlis" ini tidaklah lain dari sengaja hendak menunaikan sebahagian dari kewajipan kita yang sememang bergantung dengan kejatian "Kalimah Melayu" dan watan yang baharu, lalu sebatannya* itu bahkan bukan sahaja atas yang demikian itu tetapi ialah telah bermembar sama dengan barang yang berhubung dengan ugama kita Islam maha suci dari segala karut marut yang diada2kan.