Perkhabaran Dunia extract
bibliographical notes on Editorials in Malay Newspapers
index of Editorials in Malay Newspapers extracts
    • locate in index of extracts taken from Editorials in Malay Newspapers

 

Perkhabaran Dunia, 19 Mar 1932

Editorial.

Bahawa dalam masa kesusahan perniagaan ini dan jika difikirkan sewa2 rumah pun mahal jua beruntung besarlah orang2 Melayu di sini dengan kemurahan kerajaan telah menyediakan sekeping kerana Kampung Melayu tetapi nampaknya tidak berapa ramai orang2 Melayu yang menggunakan peluang membangunkan rumah dan diam di dalam kampung ini. Entah apakah sebabnya hanya beberapa puluh buah rumah sahaja yang dibangunkan di situ dan kebanyakan daripada orang2 yang menduduki akan Kampung Melayu ini khabarnya ialah mata2 polis yang telah berpencen atau berniat hendak berpencen daripada kerajaan. Banyak orang2 Melayu duduk menumpang di atas tanah yang dipunyai oleh orang2 Cina seperti orang2 Kampung Baharu itu, akhirnya terkena halau daripada tanah itu dan terkena roboh rumahnya oleh sebab tanah itu hendak digunakan oleh taukehnya kerana lain2 pergunaan. Bukanlah baik jika orang2 ini diam di dalam Kampung Melayu yang disediakan oleh kerajaan itu dengan membayar sedikit sewa tanah tetapi mendapat kebebasan diam selama2nya dengan mendapat air paip dan dibersehkan oleh kerajaan.

Shahadan pada masa ini orang2 yang diam di dalam Kampung Melayu itu tidaklah boleh dikatakan terlalu jauh oleh sebab banyak motobas dan lain2 kereta pada masa ini yang berjalan melalui Kampung Melayu itu dan boleh mengangkat akan orang2 pergi balik. Lihatlah orang2 yang diam di atas tanah Al-Sagoff Estate itu pada masa ini khabarnya cukai2 pintunya telah dinaikkan oleh kerajaan lain daripada membayar sewa tanah kepada seorang Cina Pemajak Estate itu masing2 itu terkena membayar cukai yang lebih tinggi. Pada hal di dalam Kampung Melayu itu tidak terkena cukai pintu dan sewa tanahnya empat ringgit dengan tidak boleh naik lagi. Sepatutnya orang2 Melayu menggunakan peluang ini tetapi tidak masing2 itu duduk di atas tanah Cina dengan membayar sewa tanah dan cukai pintu pula.

Hatta oleh sebab berasa hairan kita mengapa orang2 Melayu tidak beramai2 duduk di dalam Kampung Melayu yang telah disediakan oleh kerajaan khas bagi orang2 Melayu itu. Ada pun sebab2 yang didengar dicakapkan oleh orang2 Melayu itu oleh sebab susah hendak mendapat kebenaran duduk di dalam Kampung Melayu. Tetapi sekiranya ada demikian itu mengapakah tidak dinyatakan sungutan itu sampai kepada pihak yang berkuasa supaya dibetulkan hal yang sedikit ini.

Sekiranya ada aduan daripada orang2 yang berkehendakkan tempat diam di dalam Kampung Melayu silalah datang berjumpa dengan yang menulis ini supaya dibawa kepada pengetahuan kerajaan dalam hal ini. Dan lagi jika dikatakan yang Kampung Melayu ini jauh daripada tempat orang2 yang bekerja dengan motokar sewa dan motolori yang berjalan hingga jauh malam itu tentulah senang bagi orang2 yang bekerja di dalam bandar ini pergi balik dengan kereta2 yang boleh didapati berjalan hingga jauh malam itu.