![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Saudara, 29 Oct 1935
Editorial.
Undang2 Mohamedan Law
Berkenaan dengan beberapa tambahan kepada beberapa fasal di dalam undang2 yang tersebut bagaimana yang telah disiarkan di dalam warta kerajaan negeri Melayu yang bersekutu, tarikh 4 Oktober ini, kita suka mengadapkan fikiran kita atas fasal 9 bab ketiga bagi permenungan yang berkuasa sebelum undang2 itu disahkan dalam meshuarat Majlis Kerajaan Perak yang khabarnya akan diadakan pada 31 haribulan ini. Bab ini demikian bunyinya: "Menyediakan hukuman bagi perempuan2 Islam yang tinggal atau mengikut laki2 bangsa asing yang bukan berugama Islam, iaitu boleh dihukum dipenjara tidak lebih daripada enam bulan atau didenda tidak lebih daripada 250 ringgit." Kita percaya sebenarnyalah bahawa tujuan yang dikehendaki dengan undang2 ini ialah bagi menegah perempuan2 Islam pada melakukan perbuatan2 yang sangat jahat itu tetapi pula bila kita langutkan pemerhatian kita atas keadaannya undang2 ini maka terpaksalah kita merasa musykil kerana kita dapati pada sisi tiap2 satu undang2 iaitu roh keadilan yang mengupayakan supaya sebarang undang2 itu dapat dijalankan dengan keadilan sama rata ((equality)). Sebab maka kita kata bagitu ialah kerana nampaknya undang2 itu hanya menyediakan atas satu pihak sahaja daripada dua pihak yang melakukan kesalahan di bawahnya itu, pada halnya kesalahan di bawah undang2 itu seperkara yang mustahil boleh dilakukan orang seorang dengan bersendirian sahaja. Yang demikian bolehkah undang2 itu dikatakan bersifat adil jika dengannya hanya boleh dihukum seorang sahaja daripada dua orang itu telah melakukan kesalahan yang serupa itu? Yang kita faham akan sebab2 yang menegah lelaki bangsa asing yang bukan berugama Islam itu daripada dihukum di bawah undang2 itu tetapi walau apa sekali pun sebab2 itu, bahkan sekali2 tidak boleh dengan kerananya menjadikan undang2 yang tidak bersifat adil itu adil sebaliknya.
Lagi seperkara berkenaan dengan undang2 bab ini yang kita bimbangkan ialah atas keharusan terbitnya daripada undang2 ini perbuatan yang lebih2 dahsyat lagi kejahatannya daripada apa yang bertujuan undang2 itu pada menegahnya-iaitu murtad kerana umpamanya, jika seorang perempuan Islam yang telah mengetahui akan hukuman atasnya yang terkandung di dalam undang2 itu melakukan juga kehendak nafsunya dan ditangkap, tidakkah harus boleh jadi mengguna ia akan peluang yang dibuka oleh undang2 itu sendiri bagi melepaskan dirinya daripada terhukum di bawahnya dengan mengaku dan memberi keterangan di hadapan hakim yang dia telah meninggalkan ugamanya dan mengambil ugama laki2 kawannya itu bagi jadi ugamanya.
Tidakkah harus boleh berlaku yang demikian itu? Pada fikiran kita harus, kerana, ma`alum, seorang perempuan Islam yang redha mencemarkan maruah kesopanannya dengan "tinggal" atau mengikut laki2 bangsa asing yang bukan berugama Islam itu tentulah daripada jenis yang longgar imannya yang demikian harus bermurtad kerana melepaskan dirinya daripada terpenjara itu tidak akan memberati perasaannya.
Demikianlah fikiran dan kebimbangan kita atas keadaan undang2 yang tersebut itu dan natijah yang harus boleh terbit daripadanya. Yang demikian kita pohonkan dengan sebesar2 dan pengharapan akan pernyelidikan dan pertimbangan yang seharus2nya daripada pihak yang berkuasa.
top |