Warta Kinta extract
bibliographical notes on Editorials in Malay Newspapers
index of Editorials in Malay Newspapers extracts
    • locate in index of extracts taken from Editorials in Malay Newspapers

 

Warta Kinta, 18 Feb 1938

Editorial.

Surat khabar dan bahasa Melayu yang di pakai.

So`al surat khabar Melayu dengan bahasa Melayu yang dipakai di dalam surat khabar satu so´al yang sudah lama diperbincangkan banyak wartawan2 yang berselisih faham dan ada yang mengatakan bahasa Melayu simpulan itu tiada betul dan ada pula yang mengatakan bahasa Melayunya itu tidak sedap didengar di telinga. Hatta ada yang mengatakan ejaan tulisannya tidak betul mesti pakai alif saksi, mesti pakai "wau" saksi dan sebagainya; pendek kata heboh mencacat. Salah ejaan atau salah bahasanya itulah yang diutamakan oleh setengah daripada setengahnya bangsa kita. Kembali kita teringat akan perkataan rakan sejawat kita Tuan Haji A. Rahim Kajai seorang wartawan yang terkenal semasa kita bersama2 dengan dia di Kuala Lumpur katanya "Yang senang pekerjaan di dalam dunia ini ialah mencacat." Tetapi si-tukang cacat itu belum memereksa apa dirinya patut pula dicacat? Perkataan rakan sejawat kita ini sampai hari ini terpaku di dalam hati kita, sebab kita tahu betul di dalam jenalistik cara yang cacat mencacat ini sudah lazim.

Kita berpeluang pada hari ini di dalam ruangan kita ini membicarakan hal surat khabar dan bahasa Melayu yang dipakai.

Bahasa Melayu itu kata setengah daripada setengahnya wartawan2 sangat kurang dari sebab itu kita banyak meminjam bahasa asing kuat menambah bahasa kita yang kurang itu. Bagitu juga bangsa kita Melayu tiada mempunyai huruf sendiri. Huruf yang kita pakai sekarang ini bukan huruf Melayu biar pun dinamai huruf "Jawi" tetapi sebenarnya huruf ini huruf yang asalnya huruf Arab.

Bagi mereka2 yang banyak menjajah daerah2 di Gugusan Tanah Melayu ini tentu faham dengan huruf Jawi ini hanya dipakai oleh surat2 khabar di daerah Semenanjung ini sahaja. Sedang di lain daerah huruf ini tiada dipakai, sebab kata setengah daripada setengahnya, adalah huruf Melayu atau huruf Jawi ini belum ada ketetapan ejaannya. Masing2lah merdeheka membuat sekehendak hatinya yang menulis satu perkataan yang berbunyi "alif wau" umpamanya dengan pakai "wau" saksi dan ada pula yang tiada hendak memakai "wau" saksi dan bagitu juga dengan perkataan yang lain2 yang patut dibuat alif saksi tiada dibuatnya alif.

Pendek kata so´al inilah yang menjadikan perbincangan di dalam beberapa surat2 khabar pada masa yang sudah2 kita telah pernah melawat dibeberapa tempat dan daerah di Gugusan Tanah Melayu dan memperhatikan bahasa2 mereka itu. Di Tanah Jawa ada bermacam2 bahasa, bahasa Sunda, bahasa Jawa Timur, bahasa Bali dan sebagainya. Yang mana bahasa2 ini sama lain tiada dapat dierti. Bangsa Jawa ada juga mempunyai huruf sendiri tetapi huruf ini asalnya dari huruf Hindu dan oleh orang2 Jawa di zaman dahulu direka2nya dari huruf Hindu dan dapatlah menjadi huruf Jawi yang rasmi. Zaman beredar, masa berubah, orang2 Jawa sudah menempuh padang kemajuan dan huruf Jawa itu tidak dipakai lagi dan diganti dengan huruf Romani dan bahasa yang rasmi di Tanah Jawa dipakai bahasa Melayu Indonesia yang mana tentu majlis pembaca hairan mendengarnya mengapa orang Jawa yang berlipat2 ganda banyaknya melebihi dari bangsa2 Melayu memakai bahasa Melayu. Sedang bahasa sendiri pun ada; ini tidak menjadi hairan sebab di dalam Tanah Jawa pun ada bermacam2 bahasa dan satu sama lain berlainan dari sebab itu dipakainya bahasa Melayu menjadi bahasa pergaulan atau dengan lain perkataan bahasa yang rasmi.

Bagitu juga di Sumatera bahasa "Aceh" dengan bahasa "Tapanuli" ((Mendeheling)) ada berlainan sekali satu sama lain tiada dapat mengerti dan semuafakat pengajar2 bangsa Indonesia dipakai bahasa Melayu menjadi bahasa yang rasmi dan bahasa yang dipakai di dalam pergaulan.

Bagitu juga bahasa "Lampung" bahasa "Minangkabau" bahasa "Palembang" dan lain satu sama lain tiada dapat mengerti dan dipakai juga bahasa "Melayu". Pendek kata di dalam Dewan Ra`ayat Indonesia bahasa Melayu dan bahasa Belanda dipakai tetapi bahasa Jawa bahasa Aceh, bahasa Lampung tiada dapat dipergunakan sebab bukan diakui selagi bahasa yang rasmi.

Bagitu juga surat2 khabar yang beratus jumlahnya di Indonesia, baik pun yang terbit di Mendeheling atau pun di Tanah Batak dan di Tanah Palembang atau di Tanah Jawa semuanya bahasa Melayu dan dari sebab itu bahasa Melayu itu oleh bangsa Indonesia dinamai bahasa Indonesia.

Satu yang wajib kita peringati surat khabar yang terbit di Indonesia tiada hendak cacat mencacat bahasa Melayu yang dipakai oleh rakan sejawatnya, masing2 membawa loghat dan susunan bahasa Melayunya sendiri, asal sahaja bahasa itu dapat faham dan mengerti barang siapa yang membacanya. Di pulau Manila yang dikatakan orang satu negeri yang 80 peratus sudah hendak menderheka itu dapat kita dengar bahasa Melayu dipakai di sana. Biar pun bahasa Manila itu boleh dikatakan bahasa yang rasmi.

Di dalam "Pulau Mindano" yang letaknya di seberang bandar Manila kita dapat mendengar beberapa bahasa yang bercampur dengan bahasa Melayu dan jika kita berkata2 dalam bahasa Melayu bangsa Manila itu dapat mengerti tinggal lagi jika ia hendak menjawab perkataan kita itu agak sedikit susah. Sungguh pun bagitu kita bersyukur juga yang bahasa Melayu itu biar pun dikatakan setengah daripada setengahnya sangat kurang. Tetapi Gugusan Tanah Melayu ini bahasa Melayu itu dipakai orang segenap daerah.

Sekarang sampailah pula masanya kita hendak membicarakan hal bahasa Melayu Semenanjung ini. Orang di Negeri Perak ini sahaja ada beberapa bahasa Melayunya. Orang di Hilir Perak dengan orang hulu sudah berlainan loghatnya. Bagitu juga orang yang dekat batas dengan Pulau Pinang seperti Taiping dan Parit Buntar penduduk bangsa Melayu di situ sudah memakai loghat sebagai bangsa Melayu loghat seakan2 dengan bahasa Melayu Selangor. Bagitu juga bahasa Melayu yang dipakai di Singapura atau Melaka sudah berlainan istimewa pula bahasa Melayu yang dipakai di Kelantan dan Terengganu sudah hampir2 kita yang biasa tinggal di pantai sebelah barat itu tidak mengerti akan bahasa Melayu yang dipakai oleh saudara2 kita di pantai timur itu.

Jika ini kita hendak cacat juga tentulah orang yang mencacat itu mempunyai pengalaman dan pandangan sampai ke hujung dapurnya sahaja dan belumlah pernah ia pergi keluar negerinya buat memperhatikan keadaan di luar lingkungan dari negerinya apakah gunanya orang bangsa kulit putih itu mengeluarkan wang ringgitnya beribu2 itu melawat negeri yang patut dilawatnya, tidak lain melainkan buat guna menambah pengetahuannya dan menambah pengalamannya dari sebab itu jika kita tinggal sahaja di dalam negeri kita ini dengan tiada merantau ke negeri orang bolehkah tahu kita bahasa dan adat lembaga orang dan jika ada orang luar datang ke negeri kita pun mencacat dia sedang orang itu mengerti yang kita ini hanya dipandangnya sebagai "Katak di bawah tempurung".

Sebagai penutup makalah kita ini kita nyatakan fikiran kita hendaklah kita sama wartawan jangan menghidupkan cacat mencacat dalam bahasa dan huruf kita hendaklah yang terlebih afdhal kita membicarakan darjah surat khabar kita yang mana surat itulah sebagai satu penyuluh bagai bangsa kita yang kebanyakan sedang di dalam gelap gelita.

Cela mencela dan cacat mencacat kita rentikan dahulu sebab banyak hal2 yang lain yang lebih mustahak guna bangsa dan tanah air kita yang wajib kita bicarakan fasal bahasa dan ejaan itu disampingkan dahulu sebab hal ini bolehlah dikatakan satu so´al yang sudah "basi" jika dimakan juga harus boleh menjadi sakit perut. Dengarlah barang siapa yang mahu mendengar kita jalan terus.