Warta Malaya extract
bibliographical notes on Warta Malaya
index of Warta Malaya extracts
    • locate in index of extracts taken from Warta Malaya

 

Warta Malaya, 4 Apr 1934, p.5

Surat Kiriman.

Latihan Perkebunan Syarikat Parit Jawa Muar.

Kepada Tuan Pengarang Warta Malaya,

Tuan,

Bahwa pada 23 September tahun 1927, Treasurer dan Director L.P.S yang tersebut di atas ini telah mengadakan mesyuarat agung ialah kali yang pertama serta membentangkan kira-kira di hadapan ahli-ahli syarikat-syarikat sekaliannya dengan cukup memberi puashati bagi ahli-ahli syarikat semuanya.

Menurut bagaimana keputusan mesyuarat pada hari yang tersebut itu, pada tiap-tiap setahun sekali hendaklah Treasurer dan Director-Directornya mengadakan mesyuarat agung. Sama ada awal tahun Islam ataupun tahun Masehi.

Saya ucapkan dengan banyak menerima kasih kepada Tuan Treasurer dan Director-Directornya juga berpenat lelah menjalankan kerja-kerjanya dengan bersungguh-sungguh hati pada hendak memajukan kaum bangsanya dan mengangkat nama bagi kampungnya. Syabaslah Tuan Treasurer dan Director-Directornya serta dapat diambil teladan anak-anak cucu kita di belakang kelak. Dan berdoalah saya kepada Tuhan mudah-mudahan barang dilanjutkan Allah umur tuan-tuan itu dan syarikatnya juga, supaya dapat berkekalan dengan nama yang harum selama-lamanya.

Tapi, sungguhpun demikian, adanya dukacita hati saya dari tarikh tahun yang tersebut di atas tadi hingga hari ini saya tidak mendapat apa-apa cerita-ceritanya lagi, sama ada sudah diadakan mesyuarat agung atau belum. Jika sudah, berapakah keuntungan pada tiap seorang? Atau pun kerugiannya?

Dan jika belum, cubalah Tuan Treasurer dan Director-Directornya ingatkan serta menaruh insaf sedikit adalah yang dikatakan Syarikat itu ialah kepunyaan orang ramai, bukannya teruntuk satu dua orang sahaja di dalam syarikat. Ini pula beberapa banyak anak-anak yatim yang patut benarlah untuk bahagian orang-orang tuannya yang telah meninggalkan dunia. Mengikut bagaimana undang-undang pendapatan syarikat itu.

Tiadalah apa-apa hanyalah diiringi dengan banyak-banyak maaf pada tuan-tuan pembaca sekalian dan terima kasih kepada Tuan Pengarang W.M. kerana ruangannya adanya.

Ahli Syarikat.