malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Warta Malaya, 24 Apr 1934, p.8
Editorial.
Adat Melayu.
Perbahasan yang berkepalakan dengan makna bagaimana yang tersebut di atas ini telah berbangkit di dalam surat khabar Inggeris Malayan Tribune di antara beberapa orang daripada penulis-penulis anak Johor dan Singapura atau yang berkediaman di Johor dan Singapura; terutamanya makalah yang pertama tersiar di dalam Malayan Tribune, bertarikh 11 haribulan ini, bagaimana yang kita sebarkan tujuann-tujuan di bawah ini yang bertandatangan dengan nama "Johorean", artinya Penulis itu peranakan Johor.
Kemudian di dalam Malayan Tribune bertarikh 17 haribulan ini tersiar lagi tiga makalah berkenaan dengan perkara ini dua menyokong dan satu membangkang ketiganya dari Singapura. Yang menyokong satu bertanda tangan "Timbangrasa", dan satu "Melayu", dan yang membangkang bertandatangan dengan nama "al-Johorean".
Kemudian dalam Malayan Tribune tarikh 20 April ini tersiar pula lagi dua makalah menyokong yang bertandatangan satu dengan nama "Minah" dan satu dengan nama "Rationalist" kedua-duanya dari Johor.
Penulis "Johorean" di dalam rencananya telah berkata bahwa telah jadi adat di sekutu Johor bahwa rakyat-rakyat Melayu membahasakan diri masing-masing bila berkata-kata dengan anak-anak raja dengan perkataan-perkataan "hamba tengku", "hamba engku", atau "patik", ganti perkataan-perkataan "saya". Kasihan ((baru sedari rupanya P.W.M)) katanya ini semua perkataan kehinaan dengan perkataan "hamba" itu diertikan seorang yang abdi kepada seorang Tuan dan "patik" itu pada perkataan bermakna anjing ((nampaknya Encik Johorean ini hanya pandai memaknakan perkataan sahaja tetapi jahil di dalam kiasaannya. P.W.M.)). Katanya dia tak nampak dan tak tahu apa sebab digunakan perkataan-perkataan yang seumpama itu ((kasihan mengaku jahil dia dengan sepantas sahaja P.W.M)).
Ini adat lama, katanya, hendaklah dibuang sama sekali daripada bahasa Melayu zaman sekarang ini ((seolah-olahnya adat-adat yang lain-lain yang lebih jauh besar bahaya dan kehinaannnya sudah habis dibuang P.W.M)).
Pada fikiran penulis itu, sebarang perkataan umpama saya, kami, kawan, anak, tuanku, itu ada cukup layak digunakan bagi berbahasa-bahasa dengan raja-raja itu. Kepercayaan yang karut-karut dan perbuatan yang tak baik itu, katanya hendaklah dibuangkan dengan seberapa segera.
Memang patut, syaratnya tidak membuang akan dia dengan berbuta tuli!
Jika dipandang pada tujuan makalah itu dan tempat yang disiarkan dia itu. Maka terpaksa kita menaruh salah satu daripada dua sangkaan: iaitu pertama, adalah penulis "Johorean" itu sama ada bangsa Cina, Hindu atau bangsa seumpamanya, bukan Melayu.
Kerana kalau dia Melayu, apa ertinya menulis atas perkara yang berhubung khas dengan muslihat bangsa Melayu di dalam surat khabar Inggeris?
Kedua, kiranya pula dia itu Melayu, boleh jadi dia itu seorang yang jahil di dalam ilmu bahasa Melayu atau karang mengarang di dalamnya. Jika demikian, maka bukanlah fikiran seorang yang tiada memperhargakan bahasanya sendiri itu boleh dikatakan terbit daripada perasaan hati yang ikhlas.
Tentang penulis-penulis yang lain yang menyokongnya itu, serupalah juga sifat-sifat mereka itu dengan sifat-sifat penulis "Johorean" itu atau sekurang-kurangnya mereka itu hanya bersifat Pak Turut sahaja.
Kita tangguhkan perbahasan kita atas hajat-hajat yang dikemukan oleh "Johorean" atau rakan-rakan penyokongan itu di belakang kelak di sini kita rasa adalah kewajipan kita yang terafdal memperingatkan kaum kita bahawa jika perkara ini hanya suara buah fikiran yang tiada melindungi di belakangnya sebarang perasaan yang bencana dan berbahaya kepada perkawalan kaum kita Melayu, tiada mengapalah diperingan-ringankan.
Tetapi kita bimbang ada tersembunyi di belakang fikiran itu perasaan yang amat merbahaya, perasaan racun yang maha besar pada keamanan negeri dan perasaan yang seumpama yang membangkitkan porak-peranda dan tumpah darah di serata dunia ini.
Kita harap dengan sebesar-besar pengharapan bahwa fikiran itu hanya terbitnya daripada angan-angan untuk yang belum cukup kilat gilapnya tidak mengandungi di dalamnya huma-huma perosak keamanan bagaimana yang ditakuti itu.
Meskipun demikian pengharapan kita tetapi sebagailah bagi kita sekalian kaum Melayu beringat dan berjaga kiranya ada huma-huma yang dahsyat itu. Maka hendaklah segera ada ikhtiarkan ubat membunuhnya supaya tidak terbiar huma itu biak merosak dan menular ke dalam perhimpunan kaum kita lebih jauh lagi.
Ini hari, penulis "Johorean" atau yang seumpamanya itu mencuba hendak membuang adab bahasa, takut esok mendakwai pula supaya kaum kita Melayu menjalankan faedah "Hak Engkau Hak Aku". Ketika itu apa kata? Kembalilah kita ke dalam kawasan mahkluk Allah yang berkaki empat! Naudzu billah!!!
top |