![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Warta Malaya, 24 Apr 1934, p.12
Feature Article.
Yang Mengendalakan Kemajuan.
Apabila kita membaca surat-suratkhabar dan majalah-majalah maka kita dapatlah isi di dalamnya itu dengan berbagai-bagai pelajaran dan pengajaran baik daripada adab bahasa peraturan-peraturan berhidup, kesihatan dan kemajuan serta pengetahuan am di seluruh dunia.
Maka tujuan perkara-perkara itu ialah semata-mata kerana umat supaya mengambil dan memetik benda-benda itu dijadikan panduan supaya berjalan terus kemudian kemajuan. Dari sebab itu nyatalah terlalu besar harapan pengarang-pengarang surat-surat khabar dan majalah serta penghantar makalah-makalah itu supaya dapat dibaca dan diikut pengajaran-pengajaran itu oleh sekalian umat.
Oleh yang demikian, sebagaimana dikehendakilah tiap-tiap umat itu membeli majalah-majalah atau surat-suratkhabar itu serta dibaca dan diambil faham isi-isinya yang terlalu berharga itu sungguhpun penulis berkata demikian itu bahkan bukanlah pulak menidakkan daripada semua umat-umat tidak membaca surat-surat khabar dan majalah-majalah itu bahkan sememang telah banyak umat-umat Semenanjung ini yang telah jadi ahli-ahli pembaca surat-suratkhabar dan majalah-majalah itu.
Tetapi ialah kebanyakan daripada ahli-ahli pembaca yang lama yang sememang lazim memberi makanan untuk mereka yakni orang-orang yang di dalam bandar-bandar termasuk kerani-kerani dan guru-guru sekolah. Maka ahli-ahli pembaca yang lama yang tersebut itu sememang telah sedia adanya pada fikiran mereka itu dan terpunding dakwat mereka itu akan hal-hal kemajuan dunia yang dikehendaki pada menyaksikan telah sedia adanya fikiran-fikiran itu ialah kita dapati mereka-mereka itu kerap-kerap mengeluarkan suara-suara diruangan surat-suratkhabar dan majalah dengan seruan maju, bermeruat, berperasaan sempurna, kasihkan bangsa dan tanahair.
Tetapi apalah halnya karangan-karangan dan nasihat-nasihat itu, terpulang kepadanya sendiri atau yang seumpamanya oleh sebab surat-suratkhabar itu tidak dibaca oleh orang yang dikehendaki. Siapakah orang yang dikehendaki itu?
Iaitu ialah orang-orang kampung yang belum membaca surat-suratkhabar dan merasa bagaimanakah lazatnya apabila otak-otak itu diberi makanan dengan hidangan yang tersaji di dalam surat-suratkhabar dan majalah-majalah itu kerana pada hari ini bolehlah dikatakan orang-orang yang di dalam kampung tiada 20 peratus yang membaca surat-surat khabar dan majalah-majalah.
Maka manakala mereka-mereka itu tidak membaca tidaklah terkecap kepada mereka itu kelazatan buah fikiran dan pengajaran-pengajaran yang tersebut di atas itu. Tertinggalah di dalam gelap gulita fikirannya bagaimana gelap mereka-mereka itu bukannya tidak tahu membaca surat-suratkhabar Melayu kita percaya lebih daripada 75 peratus yang tahu membaca dalilnya sekolah-sekolah Melayu di dalam kampung mereka itu telah beberapa lama sudah dibangunkan oleh kerajaan kegunaan bagi anak-anak negerinya.
Jika kita tilik daripada sekolah-sekolah yang dikatakan maju pada tiap-tiap tahun daripada masa dahulu hingga sekarang ini, mustahillah tiada orang yang tahu membaca surat-surat Melayu pada pandangan penulis satu perkara yang penting kita memikirkan betapa hal dan apa jua ikhtiar bagi pihak penganjur-penganjur supaya dapat menarik anak-anak kampung ke dalam medan membaca surat-suratkhabar dan majalah-majalah yang diisi dengan mutiara fikiran yang cemerlang itu.
Maka jika belum dapat kita menarik mereka ((anak-anak kampung)) ke medan membaca surat-surat khabar bahkan nyatalah pelajaran kemajuan itu tergendala kepada bangsa kita umat Melayu kerana orang-orang kampunglah ((peladang)) yang memegang punca-punca pekerjaan kemasyhuran tiap-tiap sebuah negeri iaitu menebang hutan, bercucuk tanam, memelihara hidup-hidupan dan lain-lainnya.
Dan ialah juga yang patut menerima nasihat-nasihat yang tertulis di ruangan surat-suratkhabar dan majalah-majalah itu, misalnya dapat kita menarik anak-anak kampung itu bagi percubaan yang pertama ke medan membaca surat-suratkhabar itu kadar 25 peratus, maka ternyatalah 25 peratus pihak orang yang ada perasaan kemajuan serta kasihkan tanahairnya dengan sebab bancuran nasihat-nasihat itu.
Dan lagi, telah diketahui oleh orang-orang yang telah mengetahui di negeri-negeri yang maju sama ada di barat dan di timur, ialah boleh dikatakan lebih daripada tiga suku bahagian anak-anak negerinya yang membaca surat-suratkhabar daripada setinggi-tinggi pangkat hingga serendah-rendahnya penulis berharap kepada penganjur-penganjur yang kasihkan tanahair dan bangsanya supaya dapat menarik anak-anak kampung ((peladang)) itu ke medan membaca surat-surat khabar dan majalah.
top |