Warta Malaya extract
bibliographical notes on Warta Malaya
index of Warta Malaya extracts
    • locate in index of extracts taken from Warta Malaya

 

Warta Malaya, 30 Apr 1934, p.7

Feature Article.

Ucapan Nasihat Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Kepada murid-murid Clifford School, Kuala Lipis, Pada 11.4.34.

Wahai sekalian murid-murid yang hadir pada pagi ini, dengarlah olehmu akan nasihat beta yang ringkas ini, mudah-mudahan menjadi faedah kepada kamu di dalam hal kehidupan kamu kelak. Maka adalah pada pagi ini dengan sukacitanya beta telah dapat melawat ke sekolah ini dan didapati keadaan tempat dan peraturan sekolah sangat elok lagi bersih segala perkarangannya dengan perusahaan gurunya pada mengaturkan tiap-tiap sesuatunya.

Oleh itu beta harap kepada kamu sekalian hendaklah bersungguh-sungguh hati dengan rajin dan usaha mengambil serba pelajaran yang diajari oleh guru kamu itu mudah-mudahan majulah kamu di dalam pelajaran yang tinggi-tinggi yang sangat dikehendaki oleh zaman tamadun ini.

Beta percaya, adapun pelajaran yang kamu sekalian tuntuti sekarang ini tentulah jadi kepayahan sedikit pada permulaannya kerana yang dipelajari itu bukannya bahasa sendiri ((Bahasa Melayu)), tetapi tentulah kamu mengerti akan faedah-faedahnya kepada kamu kemudian hari dan fikirlah oleh kamu akan keadilan dan kemurahan kerajaan telah mengeluarkan beberapa banyak perbelanjaan mendirikan sekolah-sekolah dan mengadakan guru-guru yang bijaksana itu ialah maksud tujuannya hendak memberi pertolongan kepada anak-anak negeri mengambil pelajaran yang akan menjadi kesenangan pada jalan mencari nafkah kehidupan sebagai kaki tangan kerajaan dan lain-lainnya.

Tetapi oleh kerana didapati dari semasa ke semasa pada tentang pelajaran anak-anak Melayu kita ini tersangatlah lemahnya dan jauh ketinggalan ke belakang oleh itu terpaksalah kerajaan mengambil bangsa-bangsa asing dijadikan kaki tangannya di dalam segala pekerjaan yang mana beta percaya kamu sekalian telah mengerti yang perkara itu menjadi kerugian yang amat besar kepada anak-anak Melayu dan jua mengurangkan kekayaan dan kemakmuran negeri Melayu ini.

Setelah kamu sekalian faham akan faedah perkataan-perkataan beta tadi, maka hendaklah kamu hati-hatikan sungguh segala pengajaran guru-guru kamu di dalam sekolah ini; kerana kamu masih berumur muda lagi dan mudah menerima pelajaran dan apabila sudah berumur banyak tak dapat tiada susahlah bagi otak kamu hendak menerima apa-apa pelajaran lagi dan lihatlah oleh kamu akan saudara-saudara kamu yang tiada mempunyai ilmu pengetahuan yang dikehendaki itu sangatlah kepicikan dan kesusahan mencari jalan kehidupan melainkan sentiasalah mereka itu di dalam perusahaan yang susah-susah dan pekerjaan-pekerjaan yang berat-berat.

Sekadar itulah beta nasihatlan hubaya-hubaya adanya.

"Kiriman".