Warta Malaya extract
bibliographical notes on Warta Malaya
index of Warta Malaya extracts
    • locate in index of extracts taken from Warta Malaya

 

Warta Malaya, 4 Apr 1934, p.18

Feature Article.

Perniagaan.

Oleh S.B.F.

Sanya tiap-tiap seorang yang hendak berniaga itu, maka hendaklah ianya mempunyai beberapa syarat-syarat yang dinamakan syarat perniagaan. Ialah yang pertama sekali, wang seberapa juga yang dikehendaki mengikut akan acuan perniagaan sama ada besar atau kecil.

Tetapi wang yang dianggarkan bagi modal itu tidak boleh dibelanjakan semuanya bagi membeli barang-barang yang hendak diperniagakan iaitu hendaklah wang modal itu disimpanan sebahagian daripadanya bagi menjadi cadangan di dalam masa kesusahan dan keputusan bila-bila masa itu akan tiba sungguhpun sudah dapat wang bagaimana kadarnya.

Maka hendaklah pula kita mengetahui segala rahsia-rahsia yang tersembunyi di dalam hal perniagaan itu seperti ilmu kira-kira itu sememang yang terlebih mustahak dikehendaki dalam hal perniagaan.

Jika seseorang hendak membuka sesuatu pekerjaan itu dengan tiada mempunyai ilmu-ilmu yang tersebut tidaklah berfaedah baginya pekerjaan itu, nescaya bertunanglah ia dengan kerugian.

Maka bukan pula memadai dengan mendapat pengetahuan-pengetahuan itu sahaja, bahkan bermacam-macamlah ilmu yang hendak diketahui lagi dan yang sangat termustahak bagi hal perniagaan itu.

Maka semua itu tidaklah dapat dihiraukan di sini melainkan dengan melebihkan diri. Rahsia-Rahsia itu sememang ada tertanam dalam diri masing-masing iaitu hendaklah tiap-tiap seseorang yang berniaga itu pertamanya menaruh sabar di atas apa-apa pekerjaannya sendiri dan juga ahli-ahli pembelinya jikalau hati tiap-tiap satu yang hendak dibuat dengan yakin, tenang dan sentiasa memaniskan.

Maka serta berkelakuan lemah lembut supaya tertarik hati hali-hali pembelinya. Maka semua gerak geri yang manis dan perasaan yang baik itu mestilah ada di dalam dirinya kemudian dapat ia melebihkan semua perbuatan itu nescaya bagus dan jayalah perjalanan perniagaannya.

Di negeri-negeri yang besar-besar, bahwa adalah ilmu perniagaan itu sememang diajarkan kepada anak-anak negerinya di tiap-ditiap sekolah supaya mereka itu mengerti pada menjalankan pekerjaan itu bila-bila juga masa yang dihajatnya sebab itu banyaklah dibangunkan oleh kerajaan sekolah-sekolah latihan perniagaan yang besar-besar supaya dapat anak negerinya berlatih dalam ilmu itu.

Maka oleh sebab perniagaan itu ialah suatu jalan kemajuan dan kehidupan dan kekayaan tiap-tiap sebuah negeri itu bergantung kepada perniagaannya. Jika sekiranya perniagaannya itu tidak dijalankan atau dilatihkan oleh anak-anak negerinya, nescaya terjauhlah tempat itu daripada kemajuan kerana segala hasil dan cukai mukai yang dipungut oleh tiap-tiap kerajaan itu ialah asalnya daripada beberapa cawangan perniagaan yang ada pada tiap-tiap masa berlaku pekerjaan itu di dalam negerinya, baik pun di mana-mana tempat dan bila-bila juga masanya mau pun dahulu atau sekarang.

Maka dari itulah sebabnya perniagaan itu sangat-sangat dilatihkan di mana-mana juga tempatnya; lihatlah pada hari ini apabila perniagaan seperti getah dan lain-lainnya jatuh, nescaya penyakit ketiadaan dan kemelesetan wang pun selalulah berlaku di dalam negeri yang hidupan cuma bergantung di atas perusahaan getah sahaja.

Dari itu, tiap-tiap kerajaan dalam sebuah negeri itu melatihkan anak negerinya dan bersama-sama berpimpin tangan kehalaman perniagaan supaya kekayaan negeri terpulang kepada anak-anak negerinya dari situ kelak kerajaan dapat menuai kekayaannya pula.

Kerana kekayaan dan kekuatan tiap-tiap sebuah kerajaan itu ialah terbangkit ia daripada kekayaan dan kekuatan anak negerinya kerana tiap-tiap kerajaan itu mengetuakan semua perangkatan anak negerinya dalam segala halaman kemajuan jadi angkatan itu barulah beroleh kejayaannya di dalam sebarang hal.

Maka dapatlah kedua-dua pihak itu merasai madu-madu kemajuan dan kemakmuran yang diperusahakan di dalam negerinya.

Masa sekarang ini perniagaan itu bukan pula diperusahakan dan terpulang kepada anak-anak negerinya sahaja, bahkan yang terlebih besar lagi berkenaan dengan itu diperusahakan oleh kerajaan tidakkah kita mendengar dan membaca akhbar-akhbar bagaimana sesuatu kerajaan itu bergelut-gelut dengan yang lainnya supaya dapat perusahaan yang boleh menjadi kaya itu digalakkan dan diperusahakan oleh kerajaan-kerajaan bukan pula dengan jalan supaya kebagusan dan faedahnya itu terpulang kepada anak-anak negerinya bahkan ialah kepada kerajaan sendiri.

Maka daripada itu, berbangkitlah suatu berbalahan di antara satu dengan lain. Lihatlah seperti kerajaan Jepun dengan Cina baru-baru ini. Bagaimanakah dahsyatnya hingga berbangkit bukan pula perbalahan sahaja, bahkan peperangan yang mengorbankan beberapa jiwa manusia telah berlaku dengan tidak semena-mena dan tiada mempunyai apa-apa kesalahan jua pun selain daripada tamak ialah dengan suruhan kerajaannya.

Di Tanah Melayu kita ini perusahaan perniagaan itu tidaklah dijalankan oleh anak-anak negeri tetapi telah terpulang hampir-hampir semuanya kepada bangsa asing yang menderu-deru datang dari negerinya hingga mereka itu tidak silu lagi meninggalkan rumah tangga, kampung halaman dan anak isterinya semuanya itu kerana merebutkan segala perusahaan yang ada beberapa kekayaan di dalamnya kerana bangsa kita ((Melayu)) tidak mengerti di dalam hal itu dan mereka itu tidak ada pengetahuan berkenaan itu serta tiada pula siapa yang hendak mengalu-alu mengetua dan memimpin mereka itu.

Maka kesalahan-kesalahan yang menyebabkan mereka itu terpulanglah kepada orang yang berkuasa terutama mereka yang dikatakan penganjur-penganjur bangsa kerana mereka itu meringan-ringan akan latihan perusahaan itu. Maka tinggallah anak-anak negeri kita dalam hal kemiskinan dan kepapaan kerana jalan-jalan dan pintu-pintu kekayaan sudah direbut dan dipenuhi oleh bangsa-bangsa asing tetapi bukan pula anak negeri sahaja yang menanggung penyakit itu yang terlebih lagi ialah negeri dan kerajaan sendiri, kekayaan bangsa-bangsa asing yang dapat dari tanahair kita ini tidaklah dapat kita mengecapnya kerana kekayaan mereka itu dibawa ke negerinya sendiri dan jadi kekayaan bagi negeri dan kerajaannya.