Warta Malaya extract
bibliographical notes on Warta Malaya
index of Warta Malaya extracts
    • locate in index of extracts taken from Warta Malaya

 

Warta Malaya, 26 Apr 1934, p.8

Editorial.

Persekutuan-Persekutuan Kita.

Persekutuan-persekutuan kita Melayu banyak bilangannya tidak boleh dikata coret orang-orang kita Melayu di dalam keadaan ada persekutuan itu. Maka di serata-rata negeri dan kampung di sebelah kita ada sahaja persekutuan-persekutuan kita Melayu. Dan semuanya ada pegawai-pegawai dan sidang jemaahnya dengan undang-undang dan peraturannya.

Sekiranya dipandang kepada demikian itu boleh benar dikata kita orang-orang Melayu mara maju dan jaya menurut faedah dan manfaat persekutuan yang sebenar-benarnya.

Tetapi sedang kita leka dengan banyak bilangan persekutuan-persekutuan kita Melayu sekonyong-konyong terkejut kita dengan mengucap Subhanallah! Lalu terperasan persekutuan-persekutuan itu tidak memberi guna bagaimana yang dicita-cita dan tujuan-tujuannya yang terbentang dalam undang-undangnya.

Demikian juga undang-undang dan peraturan-peraturan itu diadakan selaku hanya jadi sebelah mata atau perhiasan sahaja. Dari itu, persekutuan-persekutuan kita telah berkeadaan seperti sebutan tutur kata yang tiada bermakna dan bangkitannya pada mula-mula dibuka itu. Wah! Jangan dicapek! Bukan olok-olok! Cergas dan bersungguh-sungguh! Tetapi belum apa-apa daya telah turun dan sunyi siap seperti sebuah gudang jualan yang rugi dan jatuh hendak ditutup atau seperti air lemonade, manakala sahaja terbuka, suminnya naiklah buasnya terlalu cepat, tetapi begitu juga cepat turunnya.

Sungguhpun kita berkata demikian itu, tetapi bukan pula kita menidakkan ada guna-gunanya yang telah didapati oleh orang-orang kita tetapi pula guna-gunanya itu kurang benar daripada banyak guna-gunanya yang tiada dapat tiada dikehendaki itu dan guna-gunanya sedikit yang ada itu boleh dikata sebahagian besarnya itu permainan yang sedikit manfaatnya tatakala dibandingkan dengan besar dan banyak mudharatnya itu mengikut perihal dan keadaan anak bangsa kita, kerana anak-anak bangsa kita itu sungguhpun kehendaki kemajuannya dalam bahagian permainan, tetapi terlebih lagi dikehendaki kemajuannya dalam pengetahuan kepada ini pendapat perusahaan, pencarian dan seturutnya lagi itu dan kemajuan dalam bahagian-bahagian ini hendaklah ada terlebih dahulu dan terlebih banyak daripada kemajuan dalam bahagian permainan.

Dari itu, tak dapat tiada, daripada ada usaha anak-anak kita Melayu itu dalam bahagian yang terutama itu lebih-lebih dan sangat-sangat dikerjakan dengan bersungguh-sungguh.

Atas apa-apa hal dan jadian pun, maka peluang-peluang itu ada terbuka jalan-jalan itu ada terbenang dan persekutuan-persekutuan itu ada tersedia. Dan kita dalam hal yang demikian ini sekali-kali tidak menyalahkan persekutuan-persekutuan itu apatah lagi memberi syor menutupnya.

Maka terlebih jauh lagi bahagian yang sangat-sangat kita harap dan pinta itu persekutuan-persekutuan kita tiada sentiasa lembaga atau alpa. Tetapi hendaklah segera juga dan ingat dengan memikir dan memerhatikan anak-anak bangsa Melayu dan apa yang sudah diperbuat oleh persekutuan-persekutuan itu kerana muslihat anak-anak bangsa kita dan bandingkan dengan anak-anak bangsa asing dan apa-apa yang telah diperbuat oleh persekutuan-persekutuan mereka berkenaan dengan anak bangsa mereka.

Maka tatakala dibandingkan nescaya didapati jauh benar bezanya di antara kita dengan bangsa asing itu.

Yang demikian, diharapkan pula dengan tak dapat tiada persekutuan kita mengambil berat atas apa tujuan membuka persekutuan-persekutuan itu dan berapa dan bagaimana telah dikerjakan berkenaan dengan tujuann-tujuan itu supaya persekutuan-persekutuan itu sedar dan ingat menyempurnakan kewajipan-kewajipannya membetulkan pekerjaan-pekerjaannya dan membaikkan langkahan-langkahannya kalau tidak ada hanya sekadar buku undang-undangnya sekalipun seribu syukur dan banyak terima kasih.

Ketahui kiranya iaitu yang kita kehendaki itu hendaklah persekutuan-persekutuan kita sendiri dan menyempurnakan beberapa perkara termustahak seperti di bawah ini.

1. Bagaimana memberi kepada anak-anak bangsa kita pelajaran pengetahuan kepandaian dan pendapatan.

2. Memberi jalan bagaimana hendak mendapat pelajaran-pelajaran dan pengetahuan itu dan apa-apa yang terlebih dahulu hendak diambil.

3. Setelah ada pelajaran pengetahuan kepandaian dan pendapatan apa hendak dikerjakan dengan terlebih dahulu dan utama.

4. Kalau tidak berpeluang mendapat sempurna pengetahuan-pengetahuan itu atau pun tidak didapati sekali bagaimana jalan kehendak berhidup merasa tidak membuat apa-apa pun atau membunuh diri itu dijauhkan Allah, tidak sekali-kali dilakukan!

5. Memberi perasaan suka dan mengambil berat atas pekerjaan-pekerjaan seperti tanaman ketukangan perniagaan dan lain-lainnya.

6. Bagaimana hendak bertanam dan bagaimana hendak mendapat tanah. Demikian juga bagaimana hendak berniaga dan apa jalan hendak mendapat modal.

7. Bagaimana hendak berhidup dengan kebun-kebun kecil atau kedai-kedai kecil dan bagaimana melayan nasib dan untung tuah dengan modal-modal dan pendapatan-pendapatan kecil.

8. Memberi petua-petua dan faedah-faedah berhidup bertanaman dan berniaga.

9. Bagaimana hendak mendapat banyak jualan dan lengkapan.

10. Bagaimana hendak mendapat jualan lebih daripada pajak-pajak dan langganan.

11. Bagaimana petua menjadi seorang yang bekerja dengan amanah dan berbahagia dalam perniagaan.

demikianlah beberapa perkara lagi yang persekutuan dapat mengambilnya daripada dada-dada ahlinya dan kitab-kitab sekalipun dalam bahasa asing yang berhebah-hebah itu. Maka sekiranya ada persekutuan kita mengerjakan demikian itu, sekalipun sebahagiannya nescaya ada besar harapan kita yang anak bangsa kita bergerak dan bangkit hingga kepada keadaan memberi puas dan sedap dengan senang hati kita.

Apa tidakkah boleh persekutuan-persekutuan kita mengerjakan demikian itu?? Mustahil! Sekiranya tentu boleh bagaimana yang diyakin dan dipercayakan itu apa lagi, marilah kita memulai sedar bangkit dan berusaha menyempurnakan kewajipan-kewajipan kita dari tempoh hari dan masa ini kerana pertangguhan itu setajam-tajam padang memenggalkan leher segala harapan-harapan dan tujuann-tujuan.