malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Warta Malaya, 19 Apr 1934, p.8
Editorial.
Racun Kejayaan.
Seorang atau sekumpulan orang-orang daripada kaum kita umpamanya mendirikan suatu perniagaan atau perusahaan kemudian daripada telah berjalan pekerjaan itu sekian lama berlaku kerugian yang memaksa dia menutup perniagaan atau merentikan perusahaan itu.
Artinya tak jaya pekerjaan itu.
Maka kita tanya kepadanya akan sebab-sebab kerugian itu nescaya kita dapati pada ghalibnya bermacam-macam jawab yang diberinya, tetapi jarang kita boleh dapat satu sebab yang diberinya itu mengatakan yang kerugiannya itu disebabkan oleh kesalahannya sendiri. Semuanya hanyalah sama ada akan pekerjaan yang dibuatnya itu atau akan pekerjaan yang dibuatnya itu, atau akan orang lain-lain.
Bahkan perasaan atau fikiran tak mahu mengaku salah atau bodoh sendiri itulah satu racun pembunuh kejayaan di dalam sebarang pekerjaan kerana dengan sentiasa menyimpan perasaan atau fikiran yang dia itu sahaja yang benar dan pandai itulah. Maka tiada dapat seseorang itu membetulkan kesalahannya atau menambah pengetahuannya bagi muslihat pekerjaannya dengan apa yang dilihat dengan matanya dan didengar dengan telinganya daripada contoh teladan atau nasihat orang lain.
Lagi sejenis racun yang membunuh kejayaan itu ialah perangai seseorang pada merongga-ronggakan kerjanya sendiri kerana menyangka dia bahwa oleh sebab pekerjaan itu hak punyanya sendiri bolehlah diperbuatnya barang sekehendak hatinya benar tiap-tiap suatu barang milik kita itu, boleh kita buat apa suka kita.
Tetapi jika perbuatan kita atas barang itu berlawanan dengan tabiat yang dikehendakinya bagi kesempurnaan perjalanannya nescaya binasalah barang itu.
Demikianlah juga benarnya pada sisi sebarang perniagaan atau perusahaan. Jika menjalan seorang akan sebarang pekerjaan itu. Dengan sangkaan yang demikian itu betapa dapat dia mengecap kejayaan di dalam perusahaannya itu kerana tabiat semulajadi bagi tiap-tiap perusahaan itu berkehendak bagi kejayaan kepada tadbir yang bersungguh dan cermat.
Oleh sebab sesuatu perniagaan atau perusahaan itu hak punya kita sendiri, maka sepatutnya hendaklah lebih-lebih lagi kuat kita sendiri menjalan akan dia dan menjaga keselamatannya kerana jika binasa pekerjaan itu oleh sebab kecuaian kita tiada siapa-siapa lain daripada kita seorang yang akan menanggung kerugian wang dan kehilangan nama itu.
Dan lagi, adapun perangai dan kelakuan menjalankan kerja dengan keadaan atau perasaan hangat-hangat tahi ayam itu! Ialah sejenis racun yang mencuba sekali pada membunuh kemajuan atau kejayaan di dalam sebarang perusahaan kita selalu suka membuat sebarang pekerjaan dengan bergopoh gapah dan bersungguh-sungguh pada permulaannya sahaja -- sementara pekerjaan itu lagi baru -- bila sudah lama sedikit datanglah lemah dan jemu pada menjalankannya keadaan yang demikian itu tidak pelik, kerana memang tabiatnya mesti jadi demikian, umpamanya jika di dalam suatu perlumbaan berlari jauh kita habiskan riang dan nafas kita dengan berlari sekuat-sekuat hati kita pada permulaan perjalanan kita itu, tentulah tak dapat kita sampai ke hujung perjalanan itu dengan berlari sekuat bagaimana yang kita mulakakan itu.
Dan kalau perjalanan itu terlalu jauh, tentu terpaksa kita berhenti di setengah jalan kerana kekuatan kita sudah lemah dan nafas kita sudah semput.
Yang demikian itu, tidak dikatakan bertekun. Adapun yang dikatakan bertekun di dalam sebarang pekerjaan itu ialah menjalankan pekerjaan itu daripada permulaannya hingga kepada kesudahannya dengan perusahaan yang tetap dan sama rata kekuatannya selama masa pekerjaan itu dijalankan dengan bersedia mengadap dan melawan apa jua kesusahan-kesusahan yang datang menyerang kita.
Inilah dia yang dinamakan sebenar-benar tekun yang boleh memimpin sebarang perniagaan atau perusahaan itu ke pintu kejayaan dan sebarang perbuatan yang boleh membantu akan dia. Itulah racun yang mencuba sekali pada membunuh kemajuan atau kejayaan di dalam sebarang perusahaan.
top |