malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Warta Malaya, 14 Apr 1934, p.10
Editorial.
Rampaian.
Di antara beberapa perusahaan yang di jalan di dalam Semenanjung Tanah Melayu, maka perusahaan berkenaan dengan bertanam getah itu telah banyak mendatangkan perubahan di dalam tawarikh perusahaan orang-orang Melayu berkenaan dengan tanam-tanaman hingga telah dapat mereka itu akan kemakmuran yang terbit daripada perusahaan itu tatakala harga getah itu telah naik kepada mercunya yang tinggi sekali. Tatakala mana dengan mengambil peluang atas kemakmuran itu telah berhidup mereka dengan keadaan membesarkan belanja dan habur.
Yang demikian, apabila harga getah telah turun kepada harga yang rendah sekali, maka telah menimpa pula beberapa kepicikan dan kesusahan di atas orang-orang Melayu yang mengutamakan perusahaan itu. Oleh itu, setengahnya daripada setengahnya telah berpaling pula mengusahakan ladang-ladang bertanam padi, sayur-sayuran dan lain-lain benda makanan.
Oleh kerana ada naik sedikit harga getah itu dengan perlahan-perlahan di dalam beberapa minggu yang lepas hingga hari ini adalah mengurangkan walaupun sedikit akan kepicikan orang-orang Melayu yang ada berhidup dengan perusahaan itu. Dan telah terbayang juga olehnya perasaan kepada harapan yang lebih baik, tetapi walau bagaimana akan berkehadapan berkenaan dengan perusahaan getah itu, maka adalah menjadikan sangat mustahak juga orang-orang Melayu kita tidak meninggalkan lain-lain perusahaan berkenaan dengan bercucuk tanam itu.
Terbit daripada beberapa perusahaan yang disemulakan berkenaan bercucuk tanam benda makanan, maka telah terbuka pula kepada orang-orang Melayu kita beberapa pelang dan jalan-jalan kepada medan perniagaan hingga telah dapat diadakan beberapa pasar mingguan bagi menjadi tempat jual beli yang pada suatu masa telah terbit harapan-harapan akan maju perusahaan pasar-pasar mingguan itu, dan boleh dapat bersaing dengan bangsa-bangsa lain. Tetapi sekarang ini tampaknya perusahaan berkenaan dengan pasar-pasar mingguan itu ada reda dan kendur.
Oleh kerana telah melangkah masuk orang-orang Melayu kita dan daripada tiada hingga telah dapat diadakan pasar-pasar mingguan itu, maka akan menjadi satu perkara sangat boleh mendatangkan kesal kiranya tertinggal perusahaan itu.
Sungguhpun di seluruh Semenanjung Tanah Melayu ini tidak berkeadaan seperti di dalam masa kemakmuran dahulu berkenaan dengan mencari kehidupan, tetapi tiadalah boleh dinafikan tentang ada beberapa perusahaan yang boleh diperbuat oleh orang-orang yang berhajat kepadanya.
Selain daripada perusahaan bercucuk-tanam dan berniaga, adalah beberapa perusahaan lagi seperti pertukangan dan membela hidup-hidupan yang termasuk dalam bahagian satu daripada perusahaan yang besar. Oleh itu dengan perubahan perjalanan kehidupan yang dibawa oleh masa, hendaklah orang Melayu kita mencelahkan dirinya di dalam beberapa perusahaan dengan menaruh sabar dan jaya kepada diri, sekalipun dimulai dengan sedikit-sedikit. Kerana kebanyakan orang telah maju itu hampir semua telah memulakan perusahaan dengan sedikit-sedikit dan kecil-kecil juga.
top |