Warta Malaya extract
bibliographical notes on Warta Malaya
index of Warta Malaya extracts
    • locate in index of extracts taken from Warta Malaya

 

Warta Malaya, 28 Apr 1934, p.10

Editorial.

Rampaian.

Bermula, tiap-tiap kejadian dan perbuatan yang berlaku di keliling kita patutlah menjadi satu pemandangan dan dijadikan panduan kepada langkah kemajuan dan berpandu kepada perkara yang baik itu akan menjadi berfaedah daripada yang tiada berpandu.

Mulai daripada 1 hingga 12 haribulan May yang akan datang, maka akan diadakan pasar pertunjukan barang-barang perniagaan perbuatan jajahan-jajahan British di Great World; di mana bolehlah dilihat berbagai-bagai jenis barang-barang perbuatan British.

Maka dengan ini akan dapatlah dilihat rajin dan usaha ahli-ahli perniagaan pada memajukan perniagaannya dengan berbagai-bagai ikhtiar yang sangatlah munasabah dan patut orang Melayu kita mengambil pemandangan dan menjadikan satu teladan yang baik berkenaan dengan berbagai-bagai jalan dan muslihat bagi memajukan perusahaan dan perniagaan.

Pada 4 haribulan May yang akan datang ini, selain daripada keluaran hari-hari seperti biasa mengandungi 14 muka, maka Warta Malaya akan menzahirkan juga satu tambahan khas kerana minggu jualan barang-barang British.

Dalam tambahan Warta Malaya yang akan dizahirkan sedikit hari lagi, kita akan mulai membuka ruangan yang dinamakan "Halaman Pemuda" sebagaimana yang telah dirayu-rayukan pada mengadakan dengan permintaan pembaca-pembaca kita juga.

Yang demikian, besarlah harapan kita sekalian pembaca-pembaca kita terutama sekali pemuda-pemuda Melayu istimewa pula pembaca-pembaca yang masih ada duduk di bangku sekolah lagi akan menggunakan peluang ini dengan sepenuhnya.

* * *

Berikut dengan baik sedikit keadaan harga getah sebagaimana yang ada berlaku pada hari ini, maka kesibukan adalah berlaku juga antara orang-orang Melayu di kampung yang mengusahakan tanaman getah itu dan kesegeraan adalah melewati di dalam beberapa buah daerah dalam Semenanjung Tanah Melayu ini; yang bermakna mengurangkan sedikit beban kepicikan yang telah ditanggung dalam sedikit tahun yang lepas ini. Yang demikian, supaya ada beberapa perusahaan lain berjalan bersama-sama, maka tiadalah terkurang mustahaknya orang-orang Melayu pada mengerja dan mengelolakan berbagai-bagai perusahaan lagi berkenaan dengan ladang pertukangan perniagaan dan segala sebagainya.

Perusahaan berkenaan dengan mencari kehidupan ada banyak cawang-cawangannya di dalam tiap-tiap sebuah negeri yang di dalam Semenanjung Tanah Melayu ini, yang boleh dikerjakan oleh orang Melayu. Oleh itu, manakala diperhadapkan kepada satu jalan sahaja bermaknalah tertinggal di dalam beberapa jalan yang lain yang sama juga akan mendatangkan faedah kepada yang mengusahakannya.