Warta Malaya extract
bibliographical notes on Warta Malaya
index of Warta Malaya extracts
    • locate in index of extracts taken from Warta Malaya

 

Warta Malaya, 18 Apr 1934, p.10

Editorial.

Surat Khabar Melayu.

Mengapa suratkhabar-suratkhabar Melayu payah hendak

maju?

Pertanyaan ini tentulah selalu ada di dalam fikiran beberapa banyak daripada kaum bangsa kita. Kita percaya ada juga yang sudah tahu akan sebab-sebabnya yang sebenar. Begitu pun kita mencuba juga di sini menerangkan segala sebab-sebab yang kita dapati daripada pemerhatian dan kemahiran kita di dalam sepanjang masa beberapa tahun lamanya yang kita telah menjalankan suratkhabar Melayu di Semenanjung ini, bagi pengetahuan ilmu.

Moga-moga dengan yang demikian, dapat lebih-lebih lagi menarik perasaan keinsafan kaum kita atas mereka-mereka yang menjalankan atau mencuba menjalankan sebarang suratkhabar Melayu, terutamanya atas mereka-mereka yang telah mencuba tetapi tiada berjaya.

Pertama sekali, di dalam perdirian sebarang suratkhabar itu dikehendaki bagi dijadikan asasnya ialah modal yang secukup boleh mengalakkan perjalanannya selama sekurang-kurangnya dua tahun dengan rugi, kerana di dalam masa itu payah sesuatu suratkhabar itu boleh berharap berjalan dengan untung.

Kedua. Selain daripada asas yang kuat itu dikehendaki yang terafdal sekali tunjang perdiriannya yang kukuh iaitu iklan yang tetap daripada syarikat-syarikat perniagaan yang besar-besar; sebenarnya di sinilah letaknya nyawa surat-suratkhabar itu.

Bila sesuatu suratkhabar itu dapat langganan iklan yang tetap tiap-tiap tahun sebanyak yang mencukupi bagi perbelanjaan yang lazim.

Ketiga itu barulah boleh dikatakan perdiriannya itu kukuh dan tetap.

Mendapatkan langganan iklan-iklan yang tetap itulah termasuklah yang susah sekali pada sisi surat-suratkhabar Melayu kerana:

1. Barang-barang yang boleh diiklankan di dalam suratkhabar Melayu itu berhad bilangan jenisnya kerana pembaca-pembacanya hanya sebangsa sahaja -- Melayu! Sebaliknya, suratkhabar Inggeris mempunyai pembaca-pembaca daripada segala bangsa yang demikian boleh menerima iklan barang daripada apa jenis jua pun.

2. Syarikat-Syarikat perniagaan hanya gemar mengiklankan barang-barang mereka itu di dalam suratkhabar-suratkhabar yang mempunyai banyak

bilangan pembaca-pembacanya. Maka tentang

inilah suratkhabar-suratkhabar kita Melayu masih

miskin lagi.

3. Kalau pun dapat iklan itu, maka harga yang dibayarkannya oleh yang mengiklan itu jauh lebih rendah daripada yang dibayar kepada suratkhabar Inggeris atau Cina oleh sebab kekurangan bilangan pembaca-pembacanya.

Cuba buka mana-mana satu suratkhabar Inggeris dan hitung berapa banyak muka daripadanya yang mengandungi iklan-iklan. Dan daripada iklan-iklan itu cuba pilih yang berapa sahaja yang boleh atau layak diiklankan di dalam suratkhabar Melayu?

Lihat umpamanya iklan berkenaan dengan kapal-kapal di dalam suratkhabar Inggeris, selalu memenuhi tak kurang daripada dua muka tiap-tiap hari, dan syarikat-syarikat kapal itu tentu tidak mahu mengiklankan di dalam suratkhabar-suratkhabar Melayu, biar bagaimana

murah sekalipun pembayarannya kerana tiada faedah bagi

mereka itu sebab di dalam kaum kita Melayu sedikit adanya bilangan ahli-ahli pelayaran dan perniagaan.

Demikianlah beberapa banyak iklan-iklan yang tak boleh kita dapat oleh sebab barang-barang atau perkara yang hendak diiklankan itu tiada berguna kepada kita kaum Melayu.

Masalah kesusahan yang kedua pada sisi perjalanan suratkhabar Melayu ialah di dalam perbelanjaan pada nisbah perbelanjaan menjalankan suratkhabar Melayu lebih daripada perbelanjaan menjalankan suratkhabar Inggeris.

Kerana suratkhabar Melayu kehendak bagi kesempurnaan pekerjaannya kepada dua jenis pegawai-pegawai: sejenis yang tahu bahasa Melayu dan sejenis yang tahu bahasa Inggeris. Atau pegawai-pegawai yang tahu kedua-dua bahasa itu.

Kemudian berkehendak pula kepada penterjemah khas bagi menerjemahkan tiap-tiap perkhabaran yang diterima atau dipetik. Kerana boleh dikatakan semua perkhabaran-perkhabaran, selain daripada surat-surat Melayu kita terima atau petik, di dalam bahasa Inggeris yang mesti diterjemah sebelum dihantar kepada pengatur huruf. Yang demikian, bukan sahaja melebihkan perbelanjaan, tetapi mengambil masa yang panjang. Tetapi suratkhabar Inggeris boleh dikatakan 99 peratus daripada perkhabaran-perkhabaran yang disiarkannya didapatinya sedia di dalam bahasa suratkhabar itu -- Inggeris!

Yang demikian, tiada berkehendak perkhabaran-perkhabaran itu selain daripada dipilih dan dibaca sedikit sebanyak oleh pengarangnya, kemudian dihantar kerana diatur dan dicap. Begitu juga di dalam perkara mengambil khabar-khabar perbicaraan di dalam mahkamah, atau ucapan-ucapan yang berguna. Maka ada sekalipun suratkhabar-suratkhabar kita menaruh Purana

((reporter)) tak dapat tiada khabar-khabaran

itu diambil dengan sepenuhnya kerana bahasa kita belum ada lagi mempunyai kaedah tulisan ringkas ((shorthand)) dan Purana itulah berkehendak daripada orang yang berpengetahuan tinggi di dalam bahasa Inggeris dan Melayu. Selain daripada tiga masalah-masalah kesusahan yang kita sebutkan di atas berkenaan dengan mengatur huruf Melayu itupun lebih daripada mengatur huruf Inggeris, kerana huruf-huruf cap Melayu ada lebih tiga kali banyak pecahannya daripada huruf-huruf cap Inggeris. Yang demikian mengambil masa lebih panjang pada mengatur huruf-huruf Melayu daripada mengatur huruf-huruf Inggeris.