Warta Malaya extract
bibliographical notes on Warta Malaya
index of Warta Malaya extracts
    • locate in index of extracts taken from Warta Malaya

 

Warta Malaya, 6 Apr 1934, p.8

Editorial.

Tiupan Angin Yang Baik.

Bahwa sungguhpun kepicikan pencarian dan kesusahan berhidup itu masih jua ada lagi dirasai oleh penduduk-penduduk di dalam dunia, tetapi tiupan angin yang membawa perubahan itu adalah juga dirasai di dalam beberapa buah negeri di benua Eropah dan di Amerika juga, berkenaan dengan ada membawa baik kepada beberapa jenis perusahaan dengan beransur-ansur yang membawa kepada harapan yang baik.

Oleh itu, manakala perniagaan di dalam negeri-negeri yang di sebelah atas angin itu ada membawa kepada keadaan yang baik, maka tak dapat tiada angin yang baik itu akan tiba dan bertiup juga di seluruh Semenanjung Tanah Melayu ini, sebagai menjadi satu pemulihan yang baik dan menyegarkan hati yang lemah pada menambah dan melebih-lebihkan apa-apa jua perusahaan yang boleh diperbuat dan dikerjakan sebagai muslihat menyelamatkan diri dan kaum bangsa bagaimana telah berhidup beberapa bangsa di dalam dunia ini.

Maka begitulah juga dengan keadaan sedikit lebih kurang telah berhidup orang-orang Melayu yang dahulu dengan mengerjakan tahannya berkebun dan berladang dan berbagai-bagai perusahaan lagi yang dipakai daripada orang-orang yang dahulu daripadanya dengan aman dan sentosa dengan tidak pula merasai bimbang dan picik berkenaan dengan mencari nafkah itu. Tetapi peredaran masa telah membawa kepada berbagai-bagai perubahan sebagaimana yang ada dirasai dan ditunggui oleh orang-orang Melayu sekarang ini. Dan di dalam beberapa perkara yang mustahak yang sangat-sangat dikehendaki ada di sisi sesuatu bangsa bagi meninggikan darjat kaumnya itu.

Syahdan, bagai mengambil satu perhatian yang dalam bahwa peredaran masa yang ada melewati ini tiada mempersetujui dengan perasaan berpada sahaja dengan apa yang diperolehi dengan tidak hendak memanjangkan langkah pandangan dan membesarkan perusahaan. Manakala bangsa-bangsa lain yang datang di dalam Semenanjung ini telah mara ke hadapan dengan keadaan berlumba-lumbaan satu dengan lain di hadapan mata orang Melayu.

Oleh itu kerana terlampau sangat kita orang-orang Melayu cuai dan terlampau berpuas hati dan berpada dengan perusahaan. Maka dengan hal yang tiada sesuai dengan kehendak masa yang demikian perusahaan-perusahaan yang biasa diperbuat oleh orang-orang Melayu itupun hampir hilang sekali jatuh ke dalam tangan dan genggaman orang-orang asing itu, kerana mereka-mereka yang daripada lain bangsa itu ada kuat menaruh perasaan menurut kemahuan peredaran masa dengan tidak menghadkan perusahaan serta tidak pula terkurung ikhtiar usaha dan kerajinannya yang tidak pula tiada boleh dijadikan keterangan dengan apa balasan-balasan yang baik dan yang berfaedah di dalam medan berhidup yang telah didapati oleh mereka itu.

Hatta, apa jua yang telah berlaku dan kesusahan yang telah menimpai di atas nasib orang-orang Melayu itu tidaklah akan menjadi satu hal yang akan berkekalan dengan selama-lamanya begitu sahaja dan sebagaimana telah mengubah masa itu akan beberapa hal. Maka begitulah juga diharap akan berlaku satu perubahan yang baik berkenaan dengan penghidupan orang-orang Melayu. Tetapi akal tidak menerima seseorang akan memperolehi walau sedikit pun daripada pada yang diperangan-angan dan dicita-citakan sekiranya tidak benar-benar ia bertuhas dan membuat sebagaimana yang telah diperbuat oleh orang-orang yang telah hasil maksudnya dengan perusahaan dan kerajinannya adanya.