Warta Malaya extract
bibliographical notes on Warta Malaya
index of Warta Malaya extracts
    • locate in index of extracts taken from Warta Malaya

 

Warta Malaya, 29 Dec 1931

Surat Kiriman.

Pengetahuan Melayu Pelajaran Inggeris.

Kepada Tuan Pengarang Warta Malaya,

Tuan,

Berkenaan dengan tulisan dan Bahasa Melayu, kata pengarang nampaknya mengapa tidak sangat dipergunakan di dalam Johor, bahkan terasa sedih juga hati penulis seorang penduduk lama di dalam negeri Johor, membandingkan tersangatlah jauh benar bezanya semenjak 30 tahun dahulu, iaitu boleh dikatakan tulisan menulis Melayulah di dalam pejabat-pejabat kerajaan Johor sekali pun bertulis-tulis surat dengan kerajaan selat, seperti Singapura dan Melaka. Itupun bertulis-tulis dengan tulisan Bahasa Melayu.

Maka dengan sebab-sebab itulah ((Johor?)) terpaksa kerajaan selat itu menyimpan seorang juru tulis Melayu di Singapura, Munsyi Muhammad Saddiq dan di Melaka Haji Abdul Jalil. Tetapi pada hari ini di Selat, tiada ada lagi jurutulis ini. Agak penulis kerana tuan-tuan itu sudah pandai membaca dan menulis Melayu dan orang Melayu sudah banyak pandai orang putih!

Di dalam Johor pada hari ini hampir-hampir tiga perempat di dalam pejabat-pejabat kerajaan tidak memakai tulisan Melayu lagi, melainkan tulisan dari kiri ke kananlah dan kerani-kerani pun kalau hendak masuk bekerja dengan kerajaan, dikehendakkan ada akuan sekolah Inggeris tidak kurang daripada Junior Cambridge, Sijil Melayu apa kata?

Bagaimana sedikit hari dahulu di dalam W.M. Penduduk di kampung-kampung bersungut tak mengerti membaca sama ada notis atau saman yang dihantarkan oleh pihak kerajaan, kerana mereka itu tidak mengerti membaca orang putih.

Itulah anak kampung kita membangkitkan perkara memohon sekolah Inggeris rendah di kampung-kampung bukan sahaja kerana jadi kerani dan hendak membaca notis saman, tetapi oleh sebab kehampaan mereka itu hendak menghantar anak-anaknya ke sekolah Inggeris bandar, tiada dapat diterima kerana tiap-tiap sekolah kampung itu hanyalah dipilih sedikit daripada kanak-kanak yang telah lulus Darjah IV sekolah Melayu, pada hal tiap-tiap sekolah ada berpuluh-puluh kanak-kanak yang telah lulus dan beberapa banyak lagi yang menunggu di belakangnya lagi.

Itulah sebabnya mereka itu meminta kalau dapat sekolah Inggeris rendah itu ada di kampung-kampung mereka itu, kerana senanglah sekolah Inggeris bandar itu menerimanya dengan tidak menyusahkan gurunya mengajar dari bawah lagi!

Oh anak-anak kampung tidak dikehendakkan banyak mengaji orang putih, kerana hendak digunakan pekerjaan membuat kebun sawah, mencangkul dan sebanyak pelajaran Melayu itu jadilah! Bolehkah ditentukan anak encik bandar sahaja yang boleh lulus darjah tinggi di sekolah Inggeris itu dan membolot semua kepandaian dan pekerjaan di dalam bandar-bandar dan anak-anak kampung. Biarkan dia jadi kuli?

Kerana mereka itu tiada berbangsa berbaka dan mewarisi pusaka pangkat-pangkat. Amboi! Sampainya hati! Janganlah begitu!

Kalau hendak berkedai, berkebun, bersawah dan bertukang, hendak juga membaca dari buku-buku dan buku-buku Melayu ada iaitu? Padahal, anak-anak Melayu sekarang terpaksa hendaklah mereka itu mengaji sekolah Melayu lebih dahulu kononnya sudah lulus sekolah Melayu boleh dapat scholarship, iaitu mengaji di sekolah Inggeris dengan percuma tak kena bayaran lagi?

Kalau lebih dahulu dia hendak mengaji ke sekolah Inggeris sama ada sekolah private, apatah lagi sekolah kerajaan dengan bayaran sekalipun, tak boleh mengaji! Anak-anak bangsa lain boleh pula diterima halnya hendak menghantar anak-anak ke sekolah Melayu dengan beberapa susah pula tiap-tiap tahun entah berapa banyak kanak-kanak yang cukup umurnya 6 tahun tak dapat masuk mengaji. Sebab apa? Kata cikgunya bangku tak cukup tahun ini, hanyalah saya boleh terima sekian banyak sahaja yang dibenarkan oleh kepala saya, kasihan!

Ia juga kerana cikgu itu tak tahu berapa banyak orang-orang Melayu beranak tiap-tiap tahun kerana dia tiada menjadi pendaftar beranak jadi tertinggallah budak-budak itu sehingga lain-lain tahun umurnya pun mencapai 78 tahun inilah menyebabkan sedikit hari dahulu penulis Johor memekik memintak kalau tak cukup tempat buatlah bangsal-bangsal sahaja pun jadilah, asalkan dapat kanak-kanak itu mengaji, takut keberatan sebab leteran seorang penulis mengatakan orang Melayu selalu tak mengambil peringatan yang betul umur anaknya apabila cukup 6 tahun tak hendak dihantar lekas masuk ke sekolah Melayu jadi terlewat umurnya apabila hendak masuk ke sekolah Inggeris ((mengejar scholarship)) nanti tak diterima undang-undang.

Ah! Macam mana lewatnya, adakah sebab kelewatan ibu bapakah atau lewat yang berkuasa? Manakah yang betulnya sekali begitu sekali begini. Pendeknya, buanglah budak Melayu bodoh ini.

Penulis sangat-sangat harian baru tahun ini telah jadi di sekolah Inggeris bandar Muar ada beberapa budak-budak sekolah yang akan masuk peperiksaan Senior Cambridge, guru besarnya telah menawarkan kepada budak-budak yang belum tentu lulus tak lulus itu hendaklah memberi pelajaran-pelajaran yang lebih tinggi lagi dan kerja jadi bakal pegawai-pegawai kerajaan berbanyak syukur penulis mendengarkan baik hati tuan-tuan ini.

Penulis berasa was-was pula, adakah tuan ini telah diwakilkan oleh kerajaan memilih budak-budak itu. Mengapakah orang Melayu kita sendiri yang berkuasa berpeluk tubuh bersih tonggeng sahaja tak hendak mengambil sedikit berat dan pandangan jauh menyiasat budak-budak yang telah lulus pelajaran di sekolah-sekolah mana patut diberi pelajaran lagi sama ada alam orang putih dan alam agama bagi jadi bakal ganti mereka itu yang pada akhirnya mesti meninggalkan dunia ini ((mati)).

Adakah anak cucunya sahaja yang patut tertentu mewarisi menerima pesaka pangkat-pangkatnya itu? Pada hal, beberapa banyak pekerjaan-pekerjaan yang sedia kerana siapa? Cina? Keling? Prang Putih? Dan orang-orang Melayu kita ini jadi ekorlah sahaja selama-lamanya. Seorang penulis Batu Pahat tak semena-mena menyifat pantaskan Keling konon suruh halaukan balik ke negeri Keling ((Keling sahaja?)) sebab Keling tak berjasa, Keling yang mana adakah kuli-kuli Keling yang bekerja jalan itu sahaja? Pada hal beberapa banyak doktor-doktor Keling yang ada bekerja di dalam Johor ini, demikian cukup peguam-peguam Keling. Adakah orang Melayu boleh menggantikan mereka itu?

Mengapa pangkat kuli sahaja kita hendak rampas? Munasabahlah dengan kehendak orang Melayu jadi kuli tadi sedikit hari dahulu seorang penulis mengesyorkan patutlah diterjemahkan ilmu-ilmu doktor, peguam, engineer, dan ke Bahasa Melayu kelak, senanglah anak-anak Melayu kita menuntut ilmu-ilmu yang tinggi itu di sekolah Melayu dengan bahasa Melayu sahaja, tidaklah nanti pas Senior Cambridge dan pergi ke Eropah lagi?

Inilah dia dikatakan pucuk dicita ulam mendatang.