Warta Malaya extract
bibliographical notes on Warta Malaya
index of Warta Malaya extracts
    • locate in index of extracts taken from Warta Malaya

 

Warta Malaya, 9 Dec 1931

Feature Article.

Mesyuarat Sekolah Melayu Ulu Langat.

31.11.16 Hari Isnin, sebelah petang pukul 3, datanglah Yang diHormati Datuk Penghulu Ulu Langat dan bapa kanak-kanak yang sememang telah dijemputi, serta guru-guru bersama hadir, kerana hendak menyuruh anak-anak membuat batas perkebunan di rumah masing-masing. Keramaian kaum bapa 34/40 orang yang hadir. Setelah sampai waktunya En. Muhammad Daud, Guru Besar melafazkan tujuannya:

"Assalamualaikum, kaum bapa yang dihormati: telah diizinkan oleh Tuhan pada hari ini maka dapatlah saya berhimpun bersama-sama dengan kaum bapa yang hadir ini berserta dengan Yang diHormati Datuk Penghulu. Bukan kepalang riang hati saya lagi kerana percampuran yang semacam ini sangat berharga di sisi saya. Satu daripadanya dapat merundingkan apa hal yang kebajikan serta menimbangkan apa-apa tujuan yang akan saya keluarkan dan jua apa buah fikiran yang dikeluarkan oleh kaum bapa.

Jika tentang kedatangan kaum bapa serta Datuk Penghulu, jadi beribu-ribu syukurlah saya ke hadrat Tuhan dan berbanyak-banyak terima kasih.

Maka masuklah saya kepada apa-apa yang saya maksudkan: iaitu diminta dengan sepatut-patut harapan kiranya menimbangkan anak-anak kaum bapa sudah sedia mempelajari ilmu bertanam serta bertanam sekali di sekolah ini dengan sebab itu bersetujukah kaum bapa menyuruh anak-anak masing-masing membuat pula batas perkebunan serta bertanam sayur-sayuran di rumah masing-masing dengan diperbuat oleh anak-anak itu sendiri itulah sahaja maksud saya.["]

Lepas itu, maka disambung pula oleh yang dihormati Tuan al-Haji Abdul Jalil, Datuk Penghulu Ulu Langat, mensyarahkan beberapa perkataan yang menarik hati kaum bapa mendengarnya demikian uraiannya yang teringat oleh penulis saya sangat bersetuju serta suka benar-benar hati saya atas membuat perkebunan di rumah bagi anak-anak masing-masing kerana dengan jalan ini kita beruntung, cubalah kalau pada tiap-tiap anak-anak kita ada menanam sayur-sayuran di rumahnya, tak dapat tiada tentulah menjadi satu bantuan bagi ibu bapa barang-barang yang ditanam itu dapat digunakan sendiri ataupun dijual oleh anak-anak itu.

Tambahan pula, anak-anak kita sudah belajar membuat perkebunan di sekolah sedikit sebanyaknya dia sudah tahu.

Dengan sebab itu, patut sangat dicubanya di rumah pelajaran itu. Mudah-mudahan biasalah ia sehingga sampai besar suka bertanam dan sayang pada tanah airnya, bahkan bagi kita di sini ada belaka mempunyai tanah, jaranglah dengan saya atau dengan Datuk Dagang Haji Hussein supaya boleh dicarikan ataupun menumpang-numpang di tanah kaum-kaum kita yang dekat-dekat di rumah apa pula salahnya?

Seperkara lagi, yang saya tahu dan sudah rasa, pekerjaan berguna inilah yang boleh mendatangkan keuntungannya yang besar dan yang dikatakan sentosa kehidupan pun, cubalah kita pandang bagi mereka yang makan gaji kesenangannya pada semasa makan gaji itulah apakala berhenti bersara kelak terpaksalah jua ia mengusahakan perkebunan ada tidak ada jadi, janganlah kita cuaikan daripada mengerah anak kita sebagaimana tujuan Encik Guru kita ini.

Lepas daripada itu, bangunlah Datuk Dagang Haji Hussein buat menamatkan: "Saya tidak pandai berkata-kata panjang, hanya berbanyak-banyak terima kasih kepada Datuk Penghulu tentang buah butir nasihatnya itu patut kita setujukan serta menerima kasih kepada En. Guru ini."

Maka Tuan Imam, iaitu Haji Muhammad Khatib pun bangunlah serta bercakap: "Saya bersetuju serta menerima kasih keputusan, didapati kaum bapa bersetuju belaka semua".

Buat penutup karangan ini, mintak maaf kepada pembaca yang budiman jika sekiranya ada kecanggungan, menerima kasih pada Tuan Pengarang W.M. adanya.