Warta Malaya extract
bibliographical notes on Warta Malaya
index of Warta Malaya extracts
    • locate in index of extracts taken from Warta Malaya

 

Warta Malaya, 11 Dec 1931, p.8

Editorial.

Zakat.

Seperkara yang terlalu besar faedah dan manfaatnya itu berbuat baik dan berbantu-bantuan dan tiap-tiap satu umat dan kaum itu tiada akan berbahagia dan maju.

Jika berpecah-pecah dan tiada berbantu-bantuan dan agama Islam sangat mengerah dan menggalakkan orang-orang Islam bersatu dan berbetulan orang-orang Islam bersatu dan berbetulan seperti firman Allah Taala di dalam Quran: Artinya -- dan berbantu-bantuanlah kamu atas kebajikan dan kebaktian. Dan satu daripada berbantu-bantuan itu membantu dengan derma dan bantuah harta dan membantu dengan bantuan harta itu seperti zakat yang ada diamirkan yang ketiga bagi Islam seperti sabda Nabi Allah; Artinya -- Islam itu telah dibangunkan atas lima rukun; pertama mengucap dua kalimah shahadat, kedua mendirikan sembahyang, dan ketiga memberi zakat hingga akhir hayatnya.

Terlanjur kita menyebut zakat dan zakat itu zakat harta dan zakat fitrah. Maka zakat itu masa memberinya mengikut pertemuan tahun tiap-tiap harta yang sebanyak berzakat sama ada jatuhnya dalam bulan Ramadhan atau lainnya dan zakat fitrah itu masa memberinya dari sehari bulan Ramadhan hingga sebelum sembahyang hari raya, tetapi oleh banyak orang-orang berharta memberikan zakat harta itu masanya dalam bulan Ramadhan.

Maka kita bercakap sedikit ini berkenaan zakat.

Oleh kerana berbantu-bantuan itu sangat besar manfaatnya, agama Islam tidak melepaskan kebanyakan ini. Dari itu agama Islam telah wajibkan di atas orang-orang Islam yang berharta sebanyak yang patut dikeluarkan zakat daripadanya bagaimana yang terbentang di dalam kitab-kitab Fekah.

Maka zakat emas dan perak itu seperempat daripada sepersepuluh, artinya seperempat puluh ialah dua setengah peratus seperti seratus ringgit zakatnya dua ringgit setengah. Maka wajiblah di atas tiap-tiap orang yang berharta sebanyak berzakat itu memberi zakat kepada siapa-siapa yang berhak menerimanya seperti orang fakir miskin hingga lapan macam orang-orangnya seperti yang tersebut di dalam kitab-kitab Fekah dengan nas Quran: Artinya -- sedekahlah kepada fakir miskin kerana itu haknya.

Sekiranya bagaimana sewajib-wajibnya orang-orang yang berharta di antara Muslimin memberi zakat kerana manfaat ramai seperti itu sebanyak yang telah ditetapkan, ditetapkan anggarannya oleh agama itu, nescaya orang-orang yang di dalam kesakitan dan kesusahan di antara orang-orang Islam dapat benar bernafas dalam hal berhidup, istimewa pula jika perolehan daripada zakat itu dilanjut-lanjut dan dibesar-besarkan dengan dijadikan punca kehidupan seperti berniaga dan bekerja dengan bersendiri, atau bersekutu bukannya dihabiskan dengan tiada memikirkan hari-hari kemudian daripada hari menerima zakat itu.

Akan tetapi, seperkara yang tersangat mendukacitakan di antara orang-orang Islam yang berharta itu tidak hendak memberi zakat atau mencari helah melepaskan diri daripada memberi zakat dan pula kebanyakan orang-orang kaya kita itu memberi zakat sebanyak jauh benar kurangnya daripada kadar zakat yang telah ditentukan oleh Syarak itu ialah asalkan bernama ada memberi zakat sahaja.

Oleh kerana umat Melayu berjumlah satu daripada umat-umat Islam maka bernasib baiklah kita umat Melayu dengan pengajaran agama kita Islam mendapat bantuan daripada orang-orang kaya Islam negeri-negeri kita daripada segala bangsa itu istimewa pula lapan macam orang-orang yang berhak mendapat zakat itu ditentukan dengan keadaan-keadaan kekurangan dan kesusahan bukannya disyaratkan tertentu bangsa dan kulitnya bahkan manakala ada beragama Islam dan bersifat dengan sifat-sifat yang termaklum itu berhaklah mendapat bahagian daripada zakat itu.

Tetapi bukanlah tujuan memperfardhukan zakat itu menjadikan orang-orang yang kekurangan itu senang supaya berkekalan duduk dengan kemalasan dan tiada hendak berikhtiar dan berusaha tetapi tiap-tiap seorang itu atas apa-apa hal pun tak dapat tiada hendaklah bergerak berikhtiar dan berusaha.

Dan dalam hal demikian itu, jika tiada berjaya dan tiada mencukupi, yang tidak berdaya diterima juga diri itu menjadi orang penerima zakat tetapi yang dikehendaki dengan apa-apa ikhtiar pun biarlah jadi orang yang memberi zakat.

Yang demikian dengan perintah tuhan hendaklah umat Islam yang berdaya upaya itu membantu kaumnya dengan segala anak bantuan sama ada dengan pengetahuan fikiran ikhtiar tolong urat atau harta seperti bersedekah dan zakat itu.