Warta Malaya extract
bibliographical notes on Warta Malaya
index of Warta Malaya extracts
    • locate in index of extracts taken from Warta Malaya

 

Warta Malaya, 26 Feb 1934, p.??

Editorial.

Berfikir Dahulu Lebih Baik.

Bahwa menjadikan satu pemandangan yang sangat kuat kepada tiap-tiap seorang dengan sebaik-baik perhatian dan berkehendakan pula cukup beragak-agak dan memikirkan terlebih dahulu akan apa kesudahan dan perolehannya supaya jangan bergopoh gapah menerjunkan dirinya dengan tiada menoleh ke kanan dan ke kiri lagi di dalam satu-satu percampuran.

Adalah tiap-tiap seorang itu tak dapat tiada berkehendak pada bercampur di dalam beberapa perkara yang bukannya sahaja dikehendaki supaya mendatangkan faedah dan guna kepada diri sendiri tetapi ialah bagi kaum bangsanya juga.

Yang demikian, oleh kerana percampuran itu menjadi satu daripada beberapa hal yang mustahak dalam perjalanan kehidupan seseorang di dalam mana akan tersua ia dengan beberapa kejadian dan mengetahui akan beberapa pengetahuan yang tiada diketahuinya terlebih dahulu.

Dan di dalam percampuran itulah akan dapat diambil contoh dan tauladan yang boleh dipilihnya mana-mana yang difikirkan boleh membawa guna serta mendatangkan keselamatan diri.

Syahdan, dengan percampuran telah dapat seseorang menaikki tangga kemajuan dan kejayaan yang menuju ke mercu keharuman nama yang tinggi dan membaguskan perjalanan kehidupannya serta mendatangkan guna dan faedah kepada bangsanya dan oleh kerana percampuran juga telah jatuh seseorang ke lembah kerugian yang berkesudahan dengan berkabut sesal kemudian, yang tiada berguna.

Yang demikian, terang tersalah kepada siapa-siapa pun dengan tiada terlindung lagi bahwa percampuran itu ialah satu daripada beberapa hal yang sangat mustahak bagi diperhatikan terlebih dahulu di sisi seseorang yang mulai hendak melangkah masuk ke dalam medan perlumbaan berhidup.

Dan sungguhpun dengan percampuran itu akan melapangkan jalan serta membuka pintu bagi seseorang, maka sangatlah besar pula dikhuatirkan dan ditakuti akan kecerobohannya di dalam percampuran yang kelak akan merosak binasakan perjalanan hidupnya dengan tiada diberhatikan terlebih dahulu dengan baik-baik dan berjaga-jaga akan jenis-jenis percampuran itu. Kerana bahaya yang boleh mencacat-cederakan kehidupan seseorang itu tiadalah boleh dikatakan tidak ada di dalamnya.

Hatta, manakala telah dapat difikirkan dan diperhatikan faedah dan bahaya di dalam sesuatu percampuran itu, maka sangat-sangatlah dikehendaki akan seseorang itu jangan sekali-kali meninggalkan daripada berfikir serta membaikkan perhatiannya terlebih dahulu daripada memasukkan diri di dalam percampuran itu, kerana kesan dan bawaan daripada percampuran itu ialah terutama sekali ditakuti akan mengenai seseorang yang tidak mudah pula hendak diubah atau dilepaskan dirinya daripada bahaya itu.

Yang demikian, mengambil ikhtiar apalah kiranya orang-orang Melayu amnya dan pemuda-pemuda Melayu khasnya yang sedang ada dalam latihan dan asuhan dan yang menuntut pelajaran serta yang mula ada di dalam perjalanannya menuju ke medan kehidupan supaya memilih dan mencampurkan dirinya di dalam percampuran di mana akan dapat ia membawa dirinya kepada perkara-perkara dan muslihat-muslihat yang boleh menaikkan mutu nama kaum bangsanya ataupun sekurang-kurangnya keselamatan dan kesempurnaan bagi dirinya sendiri dalam masa yang akan datang kelak.

Dan dengan seberapa boleh, hendaklah dijauhkan diri daripada percampuran yang difikirkan akan membawa kerosakan dan bahaya kepada perjalanan hidupnya serta janganlah sekali-kali percapik-cuaikan bahaya yang kerap kali tiada akan melonggar dan melepaskan cengkamannya apabila telah termasuk seseorang di dalam cerita yang berseleret itu adanya.