Warta Malaya extract
bibliographical notes on Warta Malaya
index of Warta Malaya extracts
    • locate in index of extracts taken from Warta Malaya

 

Warta Malaya, 1 Feb 1935, p.9

Editorial.

Kelebihan Pendapatan.

Bayaran pendapatan motorcar ada naik sebanyak $13,000 iaitu harus jua bermakna lebih kemakmuran .....

Demikianlah telah berkata Tuan W. Bartley, Yang diPertua bagi Pejabat Municipal Singapura tatakala bercakapkan darihal kelebihan wang Pejabat Municipal bagi tahun yang lepas yang dikatakan hampir sebanyak $800,000.

Maka sambil mengucapkan selamat kepada ahli-ahli Majlis Mesyuarat Municipal itu oleh melalui satu tahun yang begitu jaya, maka mestilah kita tidak melupakan iaitu sekarang ini ada beberapa puak orang-orang yang akan berasa lebih senang lagi kiranya Majlis Mesyuarat Municipal meninggikan perkara-perkara berkenaan dengan keselamatan mereka. Tidak kurang daripada $14,000 tambahan ada diperolehi daripada surat-surat kebenaran kerana pendaftaran kereta-kereta sewa dan bahagian inilah khasnya yang kita akan bahaskan pada hari ini.

Daripada bayaran-bayaran pendaftaran kereta sewa, tetaplah sekali satu hitungan peratus yang besar ada bertambah daripada pendaftaran kereta teksi kecil dan besar dan sungguhpun terima satu jumlah wang yang mengemari daripada mereka itu tetapi pejabat Municipal itu tiada berapa lama lagi akan mengadakan satu undang-undang yang ternyatalah tiada kemujuran berkenaan dengan perjalanan teksi-teksi kecil pada jalan-jalan yang sekarang ini banyak ada digunakan oleh bas-bas kepunyaan The Singapore Traction Company.

Seseorang akan terkhilaf kiranya ia mengatakan teksi-teksi di dalam Singapura mencari sebarang perniagaan yang banyak mendapat kelabaan. Tidak! kita telah menyiasat daripada Tuan-Tuan punya teksi dan kita mendapat tahu iaitu kemudian daripada membayar gaji penjalan-penjalan, benzoin, minyak dan belanja-belanja kerosakan dan bertambah dengan bayaran-bayaran kerana pendaftaran, maka tiada apa-apa lagi yang hendak diharapkan oleh Tuan-Tuan punya teksi itu. Tetapi teksi itu tiada boleh tidak dan mesti ada kepada sebarang bandar besar seperti Singapura ini. Dan sebenarnyalah adalah menjadikan takjub mengapa ahli-ahli Majlis Mesyuarat Municipal tidak akan mengandakan di atas perniagaan ini dan memandang sedikit lebih daripada apa yang mereka ada memandang pada masa ini.

Satu undang-undang baru akan diluluskan dan teksi-teksi akan disuruh keluar daripada jalan-jalan yang sekarang ini ada digunakan oleh bas-bas Traction Company itu. Dan hanyalah boleh melalui di jalan-jalan raya itu. Manakala mereka tiada berniat hendak mengambil ataupun menurunkan penumpang-penumpang. Sekarang adakah patut kepada orang-orang teksi itu?

Tidaklah menjadi seperkara yang mudah hendak mengajar orang-orang menunggu di tempat-tempat di mana teksi itu boleh naiki ataupun berhenti hendak turun. Tetapi ahli-ahli Majlis Mesyuarat Municipal kita ada berfikir berlainan pula!

Sekarang marilah kita melihat ke arah satu kemusykilan lagi tidak kurang daripada $40,000 tambahan telah dianggarkan berkenaan dengan air kerana pergunaan dalam rumah. Ini tentulah satu angka yang besar. Dan seperkara yang patut ahli-ahli Mesyuarat itu memandang dengan segera. Kita tahun 35 sen ada dikatakan pada 1000 gelen air bagi pergunaan rumah-rumah kedai dan 50 sen kepada rumah-rumah batu yang berhalaman.

Maka kiranya sekarang ini ada didaftarkan satu kelebihan yang besar seperti $40,000 itu adalah menjadikan kewajipan bagi pejabat Municipal itu mengadakan sedikit turun harga air itu. Kita ada sangat menghargakan iaitu hanyalah 35 sen ada dikatakan kerana 1000 gelen air ((kerana pergunaan rumah tangga)) kepada rumah-rumah atap. Tetapi sangatlah dikehendaki juga supaya diturunkan supaya menolong penyewa-penyewa rumah yang miskin itulah sanya. Manakala ahli-ahli Majlis Mesyuarat Municipal itu akan menunjukkan perasaan raya yang sebenarnya. Menunjukkan kiranya mereka itu semata-matanya duduk sahaja di dalam Majlis Mesyuarat itu ataupun dengan sebenarnya mencuba hendak membuat khidmat kepada kaum-kaum yang tiap-tiap seseorang daripada mereka itu ialah daripada kaum-kaum itu.

Apa yang telah kita katakan di atas itu tentulah sekali berkaitan juga dengan bayaran-bayaran kerana gas dan elektrik. Maka yang harganya ada tinggi sekarang ini dan sebagai satu kesudahan daripada itu, tidak kurang daripada $91,000 dianggarkan ada melebihi taksiran-taksirannya.

Dan lagi, tidakkah sekarang ini menjadi masa bagi Tuan-Tuan rumah mendapat sedikit bahagian di dalam kemakmuran itu?

Tentulah sekali kesempitan perniagaan itu telah menyebabkan banyak daripada rumah-rumah mereka itu menjadi kosong. Akan menjadilah satu perbuatan yang sebenarnya berihsan dan baik budi bagi pihak ahli-ahli Majlis Mesyuarat menawarkan kepada Tuan-Tuan rumah ini sedikit kerayaan dengan menurunkan sedikit cukai-cukai pintu yang bayaran-bayaran itu ada tinggi sebagaimana yang ada pada masa ini.

Pada penghabisannya marilah kita menyatakan iaitu kemakmuran Pejabat Municipal itu patutlah jua sama dirasai oleh sekalian pembayar-pembayar cukai.