Warta Malaya extract
bibliographical notes on Warta Malaya
index of Warta Malaya extracts
    • locate in index of extracts taken from Warta Malaya

 

Warta Malaya, 28 Feb 1934, p.10

Editorial.

Perusahaan Memelihara Hidup-Hidupan.

Maka di dalam beberapa perusahaan yang tampaknya orang-orang Melayu sedang hendak membuat dan membesarkannya sekarang ini berkenaan dengan bertanam-tanaman. Maka akan menjadi mustahak juga kiranya orang-orang Melayu memandang dan mengambil tahu serta berusaha dalam hal memelihara hidup-hidupan. Maka hidup-hidupan yang dimaksudkan itu ialah seperti kambing, lembu dan kerbau, serta ayam dan itik, yang menjadi satu daripada perniagaan yang besar pada hari ini yang manakala kiranya bersungguh-sungguh betul diperusahakan dalam pekerjaan itu, tak dapat tiada akan tiba pada satu masa tatakala mana akan nampaklah orang-orang Melayu itu mempunyai beberapa lading ataupun tempat memelihara hidup-hidupan itu yang kelak mendatangkan faedah kepada mereka-mereka yang berusaha dalam pekerjaan itu, sebagaimana yang didapati oleh orang-orang yang ada mengusahakan diri berkenaan dengan memelihara dan memperniagakan itu.

Syahdan, perusahaan seperti memelihara kambing, lembu dan kerbau itu tak dapat tiada berkehendakan masa beberapa tahun, kemudian barilah pula akan didapati faedah daripada apa yang telah diusahakan itu, tetapi hal berkehendak masa beberapa tahun itu janganlah pula menjadikan satu anak kunci yang menguncikan pintu hati daripada menjalankan perusahaan itu kerana siapa pun akan mengaku dengan tidak beragak lagi bahwa anak ayam yang ditetaskan pada hari ini tentulah tidak akan bertelur pula pada esoknya.

Yang demikian kiranya dengan bersungguh-sungguh dijalankan perusahaan itu dengan teguh dan sabar oleh orang-orang yang ada mampu dalam menjalankan perusahaan itu. Maka tidaklah syak lagi orang-orang Melayu akan mendapat faedah yang baik daripada apa yang telah diusahakannya itu.

Oleh itu, manakala ada satu mata pencarian yang seperti itu yang boleh dikerjakan di dalam Semenanjung Tanah Melayu ini, maka akan menjadi sebesar-besar kesal sebagaimana lain-lain perusahaan yang telah terlepas kiranya tidak diusaha dan diperbesarkan pekerjaan itu dari masa ini.

Hatta, manakala ada peluang ini dan dengan pemandangan dan pengharapan perusahaan itu akan menjadi lebih besar, maka tidak akan menjadi lebih baik daripada dimulakan pada masa ini akan perusahaan itu oleh orang-orang Melayu yang ada berkelayakan dan mampu, kerana pergunaan hidup-hidupan seperti kambing, lembu dan kerbau itu menjadi sebahagian daripada benda-benda makanan di dalam Semenanjung Tanah Melayu ini.

Dan tiadalah terlindung kepada siap-siap pun dan bukan pula menjadi makanan orang-orang Melayu sahaja, tetapi ada dimakan oleh hampir sekalian bangsa yang ada menduduki di dalam Tanah Melayu.

Yang demikian, terzahirlah dengan terang-terangnya bahwa perusahaan berkenaan dengan memelihara dan memperniagakan hidup-hidupan itu menjadi satu langkah yang baik kepada orang-orang Melayu bagi mengambilnya.

Dan selain daripada itu, boleh juga orang-orang kita Melayu memandang dengan baik dan menaruh harapan berkenaan dengan memelihara ayam itik dan sebagainya kerana bukan sahaja boleh menjadi makanan dan dijual dengan sedikit-sedikit, tetapi boleh juga dibesarkan perusahaan itu kiranya bersungguh-sungguh diperbuat!