malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Warta Malaya, 17 Jan 1935, p.10
Editorial.
Kebangsaan.
Ucapan Tuan Yang Terutama di Kuala Kangsar dalam lawatan ke sana bagaimana yang tersiar pada muka 13 dalam bilangan Warta Malaya semalam itu satu daripada ucapan-ucapan yang memberi perasaan baik dan hemah tinggi dan kemajuan dan kebangsaan yang memang sangat-sangat dicita itu bagaimana yang dalamnya Tuan Yang Terutama itu mengatakan yang ia teramat sukacita melihat orang-orang Melayu yang hadir kebanyakannya daripada orang-orang muda-muda semuanya berpakaian cara Melayu ialah pakaian kebangsaan Melayu yang kelihatan tersangat indah kepada pandangan matanya.
Dan katanya berbahagialah mereka dengan sebab menjadi orang-orang daripada bangsa Melayu. Kemudian katanya iaitu berkenaan dengan kebangsaan itu ia suka hendak menyatakan kepada kaum yang lebih muda iaitu mereka itu semua hari ini memang tinggal bercampur gaul dengan beberapa bangsa asing. Dari itu, tak dapat tiada setengah daripada setengahnya tersangat ingin meniru pakaian-pakaian orang-orang bangsa asing. Maka ia nasihatkan sebagaimana janganlah diperbuat demikian itu lagi sekali dan ia telah mengatakan yang mereka itu semua amat berbahagia oleh sebab adil dan bijaksana Sultan-Sultan yang memerintah negeri Perak itu lepas satu kepada satunya.
Yang demikian permata mutia kata yang begitu permai terhamburan daripada mulut Tuan Yang Terutama itu hendaklah sangat kita anak-anak bangsa Melayu memperhargakannya dengan sebaik-baik perasaan dan setia kerana kebangsaan itu bukankah memang sebesar-besar hak dan modal yang wajib kita memeliharakannya dan bertambah-tambah berat* pula dengan nasihat Tuan Yang Terutama itu?
Sedia termaklum bahwa bangsa-bangsa yang berjaya dengan bahagia dan berkemakmuran menjadi besar dan tinggi itu ada sangat-sangat memperendahkan kebangsaan masing-masing itu seperti satu hak yang sekali-kali tiada boleh terlepas daripadanya dan sebagai satu asas kepada apa-apa perdirian kemajuan dan perolehan kejayaannya.
Maka akan anak-anak bangsa Melayu hingga hari ini sangat memberi sykacita kerana mengambil bahagian kebangsaan dan bercampur pula dengan tersangat dukacita oleh ambilan ini hanya sebagai kebangsaan yang kecil sahaja di antara orang-orang Melayu yang kebanyakannya di negeri-negeri Melayu yang Bersekutu.
Tetapi dapat kita diaku anak-anak bangsa kita ada mengambil sebahagian besar dalam kebangsaan!
Cuba selidikkan langkahan-langkahan mereka itu kelak berketahuan dengan nyata iaitu perasaan sayangkan tanahair hanya sedikit sahaja yang ada kepada anak-anak bangsa kita Melayu demikian juga keadaan ini terkara [?] daripada hal mereka tersangat ingin meniru adat-adat orang-orang Eropah dan mempercuai dan mempercepatkan cara pakaian dan gaya telatah orang-orang Melayu jati dan yang sebenar-benarnya itu.
Dalam masa yang terang benderang dengan sinaran-sinaran dan suluhan-suluhan ilmu dan tamadun ini tidak payah lagi jangkanya kita berseru-seru mengajak anak-anak Melayu kita Melayu selain daripada perkara agama itu kepada bergerak berusaha dan mara kepada kesentosaan bangsa, negeri atau pemerintahnya kerana bukankah molek dan patut bahkan sewajib-wajibnya ada tujuan tiap-tiap seorang Melayu yang kasihkan tanahair kepada yang demikian itu?
Kita hanya bermaksud beringat-ingatan dalam makna kasihkan tanahair itu bagaimana rupa dan jalannya?
Maka yang nyata itu bukan dia dengan wasitah membuat ucapan yang kesat-kesat dan pedas-pedas ke atas mana-mana pihak yang disangka* berseteru dengan negeri itu; tetapi wasitah-wasitah dan jalan-jalan kasihkan tanahair itu boleh dikata beberapa perkara di bawah ini:
1. Tiap-tiap jalan kepada kesejahteraan negeri itu dengan wasitah dan dijumpa daripada jimat cermat, sungguh berusaha dan tinggi pelajaran.
2. Contoh dan teladan keberanian, cekal, tinggi hemah dan benar sekira-kiranya boleh dipercayai kepada keturunan yang muda.
3. Penggalak daripada pihak yang berjawatan tinggi di dalam negeri kepada penduduk-penduduk yang bekerja keras dan tekun dengan setia dan benar.
4. Tiap-Tiap seorang itu hendaklah mengambil bahagian untuknya dan apa-apa kewajipan di atasnya dan jangan berpakaian berharapkan biar orang lain membuat atau menyempurnakannya.
Beberapa perkara itu penggal-penggal beberapa perkara yang sebenar-benar memberi kepada anak-anak bangsa perasaan memperindah dan memperhargakan kebangsaan dan kasihkan tanahair. Maka yang sudah-sudah itu apa hendak dikata tetapi masa yang ada dan akan datang jangan lagi seperti yang sudah-sudah itu.
top |