Warta Malaya extract
bibliographical notes on Warta Malaya
index of Warta Malaya extracts
    • locate in index of extracts taken from Warta Malaya

 

Warta Malaya, 11 Jan 1935, p.??

Editorial.

Khas Bagi Orang-Orang Melayu.

Hanyalah sedikit minggu dahulu Warta Malaya telah menulis berkenaan dengan berkehendakan satu darjah di dalam jawatan polis terkhas kepada orang-orang Melayu iaitu supaya diadakan semula jawatan pelatih penolong pesuruhjaya polis bagi orang-orang Melayu yang sekarang ini tidak ada lagi.

Kita telah menulis dengan panjang lebar juga dan kehendak yang besar itu supaya kerajaan menguntukkan jawatan-jawatan yang seumpama itu kerana orang-orang Melayu yang berketurunan baik-baik yang ada layak bagi memegang jawatan-jawatan itu.

Oleh itu, permintaan orang-orang besar di Perak kepada Tuan Yang Terutama Pesuruhjaya Besar kerana cadangan-cadangan yang khas di dalam jawatan-jawatan kerajaan selain daripada jawatan-jawatan pertahanan yang terkhas kepada orang-orang Melayu telah diperbuat pada satu ketika yang sangat munasabah.

Di dalam keluaran Warta Malaya pada hari Sabtu, kita telah siarkan Rencana Pengarang yang di Ipoh berkenaan dengan hal ini.

Maka sebagaimana yang disangkakan, rakan sejawat kita yang di Ipoh itu telah membahas di atas permintaan orang-orang Melayu di Perak kerana cadangan-cadangan yang khas di dalam jawatan-jawatan kerajaan.

Permintaan orang-orang Melayu itu ada patut yang sungguhpun Tuan Yang Terutama Pesuruhkaya Besar itu telah tidak dengan serta merta itu juga berjanji hendak menentukan cadangan-cadangan yang seumpama itu di dalam jawatan-jawatan kerajaan tetapi tiap-tiap suatu yang ia telah perkatakan di dalam jawapannya kepada ucapan orang-orang Melayu itu adalah menunjukkan kesungguhan kehendaknya menolong orang-orang Melayu bagi memperolehi satu bahagian yang betul di dalam jawatan-jawatan kerajaan negeri mereka itu.

Maka sekarang ini hal itu patutlah menjadi seperkara yang jelas sekali berkenaan segala kepercayaan iaitu orang-orang Asiatik yang bukan Melayu di dalam Semenanjung ini yang nampaknya ada menaruh kepercayaan yang mereka itu patut mendapat sama hak bebebasan seperti orang-orang Melayu, kemakmuran dan ehsan kerajaan Tanah Melayu kepada orang-orang Asiatik ini telah sedia ada dipertunjukkan dengan banyaknya.

Kiranya kita akan memerhatikan kepada daftar nama-nama orang-orang Asiatik yang bukan Melayu yang ada bekerja dengan kerajaan itu, maka akan bergegarlah seluruh anggota badan kita oleh melihatkan bilangan angka-angka itu. Dan adalah menjadikan selamat kiranya dikatakan 3/4 daripada kerani-kerani ialah orang-orang Ceylon dengan satu bilangan yang besar daripada orang-orang Cina dan gaji-gaji yang mereka terima itupun tiadalah boleh dikatakan rendah.

Sebenarnya kita tiada dapat melihat banyak budi di dalam permintaan mereka yang berulang-ulang kali kepada kerajaan itu kerana berkehendakan pandangan yang lebih baik lagi manakala orang-orang Melayu itu sendiri telah menanti-nantikan masa mereka bertahun-tahun lamanya.

Sekarang ini marilah kita memeriksa kepada dua pekerjaan yang bertahun-tahun lamanya orang-orang Melayu telah menanggung di atas satu asas yang bersamaan dengan lain-lain orang-orang Asiatik itu sekalipun Tanah Melayu itu negeri mereka.

Seorang Melayu yang melayakkan dirinya sebagai seorang doktor masuk bekerja di dalam jawatan kerajaan dan serupa seperti seorang bangsa India atau Cina menjadi seorang penolong doktor boleh dengan gaji $250 sebulan dengan tambahan $10 atau $15 sebulan pada tiap-tiap tahun hingga ia tiba kepada gaji yang penuh $600 tiap-tiap bulan. Kita tiada berani hendak menghitung bilangan tahun yang ia mesti bekerja terlebih dahulu daripada ia akan mendapat gaji yang penuh itu.

Sekarang itu gaji permulaan seorang pegawai perubatan British di dalam Tanah Melayu mulai lebih kurang sama dengan angka tatakala doktor-doktor Asiatik termasuk orang-orang Melayu ada terhenti; di situ adalah satu berlainan yang menggelikan hati di dalam timbangan itu.

Patutlah kerajaan manakala menetapkan hendak menentutkan cadangan-cadangan bagi orang-orang Melayu yang disyorkan itu dengan segera menjadikan satu peraturan yang lebih baik kerana doktor-doktor Melayu daripada yang ada pada hari ini.

Kita tidak pula mengatakan satu peraturan yang sama kerana doktor-doktor British dan Melayu sebab sebagaimana yang kita telah sebutkan di dalam rencana kita yang terlebih dahulu berkenaan dengan jawatan polis, kerana pegawai British itu bolehlah diaku ada terhak kepada satu peraturan yang sedikit lebih baik disebabkan oleh jauhnya ia datang daripada United Kingdom.

Akan sangatlah menjadikan kegemaran kepada kita pada melihatkan satu peraturan diperbuat oleh kerajaan negeri-negeri Melayu yang Bersekutu kerana jawatan penolong Superintendent Cukai bagi orang-orang Melayu sama dengan jawatan pelatih penolong Pesuruhjaya Polis bagi orang-orang Melayu.

Hendaklah disedari iaitu pejabat ini adalah menjadi satu pejabat yang mustahak sekali berkenaan dengan memungut hasil kerana negeri-negeri Melayu yang Bersekutu dan oleh kerana itu anak-anak negeri itu patutlah dibenarkan mendapat satu bahagian bekerja di dalam pekerjaan-pekerjaan yang lebih sopan santun daripada hanyalah menjadi pegawai-pegawai yang bekerja di luar yang serupa sahaja dengan pegawai-pegawai hasil di dalam negeri-negeri Selat.

Yang tersebut di atas itu ialah dua peraturan baru yang tetaplah sekali akan tinggi dihargakan oleh orang-orang Melayu yang taat dan setianya kepada kerajaan British menurut sebagaimana rakan sejawat kita yang di Ipoh itu telah mengatakan tidak berletak di dalam darjah yang kedua di dalam British Empire.