Warta Malaya extract
bibliographical notes on Warta Malaya
index of Warta Malaya extracts
    • locate in index of extracts taken from Warta Malaya

 

Warta Malaya, 8 Jan 1935, p.??

Editorial.

Kuliah Kerana Tanah Melayu?

Baru-baru ini dalam satu jamuan murid-murid yang telah lulus daripada sekolah perubatan, maka Doktor J.S. Webster, seorang pendita di sekolah perubatan itu, telah menyebutkan berkenaan dengan pembukaan yang akan datang bagi sebuah Kuliah ((Sekolah Tinggi)) di dalam Tanah Melayu.

Sebenarnyalah telah tiba masanya sekarang ini kerana dijadikan sebuah sekolah yang seumpama itu sebab kegemaran yang telah lama dipertunjukkan oleh orang-orang negeri ini ke arah pelajaran yang lebih tinggi, sangatlah ternyata.

Dan juga pada hari ini, sangatlah dikehendaki ada sebuah sekolah tinggi oleh kerana banyak wang ada diperbelanjakan di sebelah luar Tanah Melayu oleh penuntut-penuntut di dalam sekolah-sekolah tinggi dan kolej-kolej di lain-lain negeri.

Telah banyak kali sudah ahli-ahli mesyuarat Municipal di Singapura menguatkan kerana mengangkat lebih banyak lagi pegawai-pegawai yang telah dilatihkan di sana bagi bekerja di dalam pejabat Municipal; tetapi orang-orang ramai mengetahui bahwa permintaan-permintaan itu telah menjadi sia-sia atau pun hampir sia-sia oleh kerana payah benar ada orang-orang yang berkelayakan di sini yang boleh diangkatkan bagi menjawat di dalam beberapa pejabat-pejabat yang terkhas seperti eletrik, engineer, lukis-melukis dan lain-lain.

Maka sekarang ini dalam Singapura kita ada mempunyai dua buah kolej, iaitu Medical College ((Sekolah Perubatan)) dan Raffles College.

Adapun sekolah perubatan itu telah ada hampir 30 tahun lamanya dan telah mengadakan kepada Tanah Melayu banyak doktor-doktor yang berguna yang pekerjaan mereka itu telah dirasai menjadi mustahak.

Adapun Raffles College itu semenjak dijadikannya lebih kurang 6 tahun dahulu, masih lagi di dalam langkahannya yang permulaan di dalam perbandingan.

Maka dengan dikecualikan dua udang muda itu, baru-baru ini diangkatkan kepada jawatan tadbir Negeri-Negeri Selat, maka kebanyakan daripada penuntut-penuntut dari Raffles College itu ialah guru-guru dalam masa yang akan datang dan ada mengambil latihan kerana maksud yang seumpama itu: bercakap dengan sebenarnya tetaplah sekali kita tidak akan terbabas jauh manakala kita berkata semata-matanya menjadi sebuah sekolah Inggeris seumpama Sultan Idris Training College yang di Tanjung Malim yang mengeluarkan guru-guru Melayu; tentulah sekali darjah pelajaran yang dianggapkan itu sememang-memangnya tinggi; tetapi perkara yang diajar itu adalah disangka semata-mata kerana guru-guru masa yang akan datang.

Maka sekiranya kita hendak mengamat-amati dan memperhatikan penuntut-penuntut pergi kerana menambahkan pelajarannya lagi di lain-lain negeri, maka akan terpandanglah kepada kita iaitu kebanyakan daripada mereka itu ada mengambil pelajaran undang-undang, engineer dan pelajaran-pelajaran yang berkenaan dengan setiausaha, ilmu menyimpan buku kira-kira dan perubatan.

Maka selain daripada pelajaran yang diajar disebut itu, tidaklah ada lain-lain pelajaran yang boleh didapati di Raffles College itu pada masa ini.

Seorang penuntut terpaksa membelanjakan banyak wang kiranya ia hendak pergi ke lain negeri kerana menuntut salah satu daripada pelajaran-pelajaran itu dan kiranya kaumnya itu bukan daripada orang yang kaya, maka tiadalah akan dapat ia peluang bagi membuat demikian itu.

Oleh itu, pengetahuan seperti undang-undang, engineer dan lain-lainnya itu adalah tertutup kepada semuanya melainkan mereka-mereka yang kaya dan mampu ataupun seseorang murid yang cerdik lagi bernasib baik bagi memperolehi kemenangan satu daripada Queen's Scholarship.

Sebuah Kuliah bagi Tanah Melayu dengan berbagai-bagai darjah pelajaran yang penuh adalah dikehendaki dan juga dengan mustahaknya supaya dapat memberi peluang kepada orang-orang muda yang ada harapan bagi memajukan diri mereka di dalam apa-apa jua pelajaran dan ilmu yang mereka menetapkan hendak mempelajari.

Tanah Melayu yang masih lagi ada mempunyai banyak tanah-tanah hutan di dalam berbandingan ada memberi peluang yang baik bagi dikerjakan dan dibuka. Maka yang demikian ilmu mestilah digunakan kerana membukanya dan ilmu itu hanyalah boleh didapati di kolej-kolej yang berdarjah tinggi ataupun di kuliah-kuliah.

Tanah Melayu telah sudah pun ada terlampau sangat banyak pemuda-pemuda keluar daripada separuh pelajaran yang keluar daripada sekolah-sekolah pada tiap-tiap tahun tetapi hampir-hampir mereka itu tiada berguna manakala kelayakan kemajuan kerana membuka dan meluaskan sebuah negeri itu ada berkenaan.