![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Warta Malaya, 11 Jan 1935, p.??
Editorial.
Orang-Orang Melayu.
Kerapkali juga kita telah menulis perkara kemajuan orang-orang ramai kerana orang-orang Melayu amnya dan sedikit perbahasan berkenaan dengan jalan-jalan dan ikhtiar bagi memajukan puak-puak daripada orang-orang Melayu yang berketurunan daripada puak yang lebih tinggi di dalam Semenanjung Tanah Melayu ini dan penduduk-penduduk Melayu yang boleh dikatakan sebagai orang-orang kebanyakan.
Maka bukanlah hajat kita hendak mempercakapkan keturunan yang baik dan memandang mudah kepada orang-orang Melayu daripada puak yang baik-baik yang kita bandingkan dengan ahli-ahli daripada kaum pemerintah Melayu, anak-anak daripada Datuk-Datuk dan lain-lain.
Maka dengan hitungan dipukul rata, ahli-ahli daripada bangsa Melayu itu belumlah lagi tiba kepada darjah yang tinggi sekali di dalam pelajaran moden, tetapi ada alamat-alamat yang menunjukkan iaitu orang-orang Melayu ada cepat juga mara ke hadapan di dalam kehidupan campuran yang lebih tinggi daripada apa yang telah menjadi tabiat bagi mereka itu.
Maka dengan memikirkan kemajuan ini kita menulis rencana ini pada hari ini dan adalah menjadikan harapan kita yang tulus ikhlas iaitu dengan menulisnya akan dapatlah kita membuat sedikit khidmat ke arah meninggikan muslihat orang-orang Melayu amnya daripada putera-putera Sultan hingga penoreh-penoreh getah yang miskin sekali dalam Semenanjung ini.
Di dalam dunia ini tidak ada satu apa benda yang boleh mengajar orang-orang yang terkurang pelajaran itu lebih lekas lagi daripada perbuatan-perbuatan yang boleh dijadikan teladan dan sangatlah bersetuju dengan fikiran pada menyatakan iaitu berkenaan dengan rakyat-rakyat Melayu itu teladan-teladan daripada ketua-ketua mereka dalam sebarang cawangan yang terkhas berkenaan dengan campuran ramai perusahaan, pelajaran dan juga berkenaan dengan hal ehwal permainan akan menggalakkan dan membangkitkan perangsang mereka mencuba mengikut teladan segala perbuatan-perbuatan itu dengan kegemaran yang bersungguh-sungguh.
Sesuatu bangsa yang boleh diumpamakan sebagai sebuah rumah sekolah dengan guru itu yang tiada berkemajuan dan kegemaran itu tetaplah sekali akan mengeluarkan murid-murid jenis yang rendah dan berasas dengan keadaan-keadaan yang semacam itu.
Maka seorang pemandu yang tiada mengambil kegemaran itu akan menjadikan tersekat perjalanan di dalam kemajuan orang-orangnya itu. Sekarang ini walaupun apa dikatakan berlawanan dengan hal itu, maka hendaklah kita sebutkan juga iaitu hanyalah pelajaran sahaja akan meninggikan keadaan campuran dan pengertian orang-orang Melayu.
Maka yang demikian sangatlah ternyata iaitu pelajaran yang berdarjah lebih tinggi patutlah didapati oleh orang-orang Melayu daripada puak yang lebih tinggi supaya selain daripada menjadi teladan-teladan yang baik kepada orang-orangnya, maka akan dapat jua mereka menaruh lebih-lebih kegemaran lagi di dalam kehidupan campuran ramai orang-orang Melayu yang berkenaan dengan hal itu mereka itu ada terkebelakang sebagaimana yang ada pada hari ini.
Kita ada cukup menyedari iaitu Malay College yang di Kuala Kangsar itu ialah tempat pelajaran bagi pemimpin-pemimpin bagi masa yang akan datang daripada kumpulan orang-orang Melayu dan kita ada berasa gemar berkenaan dengan dihantar ahli-ahli yang muda-muda daripada kaum kerabat raja dari negeri Kedah ke Eropah pada tiap-tiap tahun kerana menuntut pelajaran-pelajaran yang lebih tinggi di sekolah tinggi yang di sana.
Semua hal ini adalah menjadi isyarat yang molek oleh pemerintah-pemerintah Melayu dan penasihat-penasihat British mereka kerana hendak melengkapkan Tanah Melayu dengan pemimpin-pemimpin yang berdarjah tinggi. Dan kita ada merasa dengan tiada syak iaitu manakala mereka berangkat balik, pemuda-pemuda Melayu yang berdarjah tinggi ini akan menunjuk dan menjadikan satu bantuan yang besar kepada mereka-mereka yang berharap akan mendapat pemimpin itu.
Orang-orang Melayu daripada segala puak kerapkali telah dikatakan terlalu amat sangat taat dan setia kepada pemimpin-pemimpin mereka dan sebab ini adalah menjadikan kewajipan pula daripada sekalian pemimpin supaya melebih-lebihkan lagi perhatiannya dan mengambil tahu dalam hal ehwal kehidupan dan keselamatan mereka itu.
Maka yang demikian adalah ternyata iaitu kerana hendak mengadakan keadaan campuran ramai dalam jalan kemajuan yang sangat-sangat dikehendaki di dalam Tanah Melayu maka anak-anak daripada pemimpin-pemimpin hendaklah diberi peluang yang cukup supaya dapat mereka memajukan diri dalam segala jalan-jalan berkenaan dengan campuran ramai, pelajaran, perusahaan dan permainan. Dan lebih lekas didapati hal ini, lebih lekas lagi akan menjadi satu tarikh bagi kemajuan Melayu yang boleh diputerakan.
top |