Warta Malaya extract
bibliographical notes on Warta Malaya
index of Warta Malaya extracts
    • locate in index of extracts taken from Warta Malaya

 

Warta Malaya, 9 Jan 1935, p.15

General Article.

Perniagaan Melayu.

Di dalam negeri kita ini, perniagaan yang dijalankan atau yang dipunyai oleh Melayu bilangannya amat sedikit dan semua kita tau yang perkara ini amat-amat membimbangkan orang-orang kita. Tetapi dengan hal yang demikian pun adakah cubaan-cubaan di atas memajukan di antara orang-orang kita dijalankan dengan secukupnya?

Apabila perkara ini disebutkan beberapa kali kita dengar yang orang-orang kita mengatakan "apa hendak dibuat, tiada bermodal". Sekiranya perkataan ini benar dan sekiranya orang-orang kita bersungguh berkehendakan sekurang-kurangnya sedikit perniagaan negeri ini boleh ke tangan kita, tak dapat tiada tentulah pada fikiran kita orang-orang kita yang berdalil seperti di atas tadi mau mencuba memajukan perniagaan yang boleh dikatakan tiada berkehendakan modal, sebab satu daripada guna-guna modal itu ialah kerana membeli mata-mata benda yang boleh dijual.

Bolehlah kita misalkan getah, kelapa, kelapa kering, buah-buahan, telur ayam dan itik dan sebagainya.

Kita sedia maklum yang peraturan kita menjual benda-benda ini tiada boleh mendatangkan keuntungan yang mencukupnya ataupun yang patut kita dapat. Kadang-kadangnya si peraih atau kedai-kedai kecil tempat kita berjual itu dapat keuntungan lebih daripada kita yang mengeluarkan barang-barang ini.

Apakah sebabnya?

Barangkali sebab-sebabnya ada banyak, tetapi pada lazimnya yang kita nampak sebab-sebab yang besar ialah pertama-tamanya usaha kita kurang tentang berikhtiar berkehendakan, baik, benda-benda yang kita jual itu; misalnya, kebanyakan kita berjual getah yang kotor dan tak cukup kering, walaupun kita tau yang elok buatannya lagi diasap harganya lebih mahal daripada getah yang tiada baik.

Sebab yang kedua, kita tiada sabar menanti yang dikehendaki, pagi dipotong getah, tengah hari dijual. Sebab begini konon kita tiada duit. Kalau tak dijual, segera apa hendak dibelikan beras, tetapi orang-orang ini jua nampaknya membuang masa di kedai-kedai kopi masa hujan dan getah tiada dapat ditoreh. Daripada ini dalih yang disebutkan di atas tadi nampaknya tiada berapa tahan uji.

Sebab yang ketiga, kita tiada sekali-kali ingin mencuba dan menyokong pakatan-pakatan yang harus mendatangkan faedah kepada kita. Yang dikehendaki kalau keluar 10 sen, modal pagi ini, petang karang dapat untung seringgit.

Tetapi yang dihairankan kepada tiket loteri, kita ada percaya sangat-sangat disaksikan oleh laku tiket-tiket ini di antara orang-orang kita.

Perkara-perkara yang tersebut di atas tadi menjadi alangan yang besar sangat bagi kemajuan kita di dalam medan perniagaan.

Contoh yang kita tengok di Kerian dan baru-baru ini di Simpang Tiga, Bagan Datuk, Hilir Perak, bagi menjual telur ayam, bolehlah meyakinkan kita sekiranya dikehendaki bolehlah orang-orang kita maju di dalam perniagaan benda-benda yang lain pula dengan tiada berkehendakan modal lebih daripada yang terupaya oleh orang-orang kita yang dikehendakan apakala ada barang-barang yang boleh dijual terada sedikit ialah besatu hati dan ada perasaan hendak mencuba dengan sungguhnya kemudian setia menyokong cubaan ini.

Tidaklah seperti memegang bara hangat sahaja!

Kita bernasib baik yang kerajaan telah mengadakan pejabat syarikat-syarikat bekerja-kerja sama bagi memberi pertolongan nasihat dengan sebenarnya kerana memajukan perniagaan orang-orang kita. Pertolongan mereka itu dapat dengan percuma sahaja. Ketinggalannya ialah kepada kita kerana tiada hendak mempergunakan pengetahuan dan pertolongan pegawai-pegawai pejabat itu.

Sekiranya orang-orang di Kerian dan di Hilir Perak boleh bermuafakat memajukan berjual telur ayam dengan bersyarikat, tentulah orang-orang kita di tempat-tempat yang lain itupun boleh jua dan pakatan ini bukannyalah pada berjual telur sahaja. Maka barang-barang yang lain pun tentulah boleh jua. Ada jua telah dijalankan pakatan seperti berjual kelapa kering dan berjual getah.

Semuanya menunjukkan keuntungan hasil! Tetapi yang menyebabkan kemajuan tiada mencapai cita-cita ialah kerana kekurangan setia di antara mereka yang mengambil bahagian di dalam perkara ini kepada pakatan mereka itu.

Diharapkan rencana ini akan menjadi ingatan kepada orang-orang kita yang berduka cita kerana perniagaan dan kemajuan negeri ini terlepas kepada bangsa asing. Peluang kita mencapai kemajuan ini ada sekiranya orang-orang kita bersungguh-sungguh berkehendaknya dan mau mengikut teladan-teladani membuat busut dengan masing-masing membawa bebanan mereka itu dan tiada berhenti sehingga busut terdiri seperti kehendak hati mereka itu walaupun ada alangan yang terpaksa ditempuh mereka itu adanya.