Warta Malaya extract
bibliographical notes on Warta Malaya
index of Warta Malaya extracts
    • locate in index of extracts taken from Warta Malaya

 

Warta Malaya, 16 Jan 1935, p.??

General Article.

Ucapan Yang Amat Mulia Raja di Hilir Perak.

Pada hari Jumaat yang lalu, Yang Amat Mulia Raja di Hilir Perak ((Raja Idris bin Paduka Seri Sultan Iskandar Shah) telah berjemaah di Masjid Ridzuaniah, Kuala Kangsar, dan telah diiringi oleh beberapa orang-orang besar. Setelah selesai sembahyang, maka Yang Amat Mulia itu telah memberi suatu ucapan yang pendek di atas Mimbar, seperti berikut di bawah ini:

"Tuan, cuba kita pandu dengan bersungguh-sungguh menyukakan Tuhan kita dan Raja kita, iaitu menuntut ilmu dan beribadat seperti sembahyang lima waktu dan jemaah dan lainnya. Cubalah kita pandu dengan bersungguh-sungguh supaya jangan dimurkai oleh Tuhan kita dan Raja kita, kerana siapa-siapa yang dimurkai oleh Tuhannya di dalam Neraka nampaknya, dan siapa-siapa yang dimurkai oleh Rajanya, tiada berguna duduk di dalam negeri ini.

Saya ini budak lagi bodoh, tetapi apa-apa yang saya dengar dan apa-apa yang saya lihat nanti saya khabarkan kepada bapa saya; hanya doa saya Selamat Umur Panjang sekalian isi negeri Perak ini".

Ucapan itu sungguhpun pendek tetapi ialah pati nasihat yang amat berguna dan memadailah memberi ingat kepada sesiapa yang mahu mendengar. Seperkara lagi, tentulah sekalian hamba rakyat yang hadir di situ berasa riang dan girang tentang mendengarkan ucapan itu oleh sebab Yang Amat Mulia Raja di Hilir itu masih lagi budak Cuma baru masuk umur sepuluh tahun.

Maka yang demikian ini, ialah yang dikatakan harga emas yang tinggi itu bergantung ia kepada mutunya; dan begitulah juga benih yang baik itu akhirnya mengeluarkan buah yang baik juga; bagaimana seperti kata serangkap pantun di bawah ini:

Jika asalnya benih yang bernas

Meskipun ditimpa hujan dan panas

Jika tak dibinasakan oleh binatang yang ganas

Bangunnya ia akan bertunas

Khairul-Zaman.