Warta Malaya extract
bibliographical notes on Warta Malaya
index of Warta Malaya extracts
    • locate in index of extracts taken from Warta Malaya

 

Warta Malaya, 10 Jan 1935, p.3

General Article.

Syor bagi Penulis-Penulis dan Suratkhabarnya.

Oleh Seorang Melayu Rembau.

Fikiran "Anak Negeri" di dalam Majlis dan telah disalin oleh Warta Malaya di bilangan 303 keluaran 27 Disember 1934 yang lalu itu telah menarik hati saya menulis pula di sini manakala saya ialah seorang yang tiada berapa suka sangat mengambil perhatian akan rencana-rencana penulis yang meleter-leter pada muka kebanyakan akhbar dan majalah Melayu itu. Meskipun faham bahwa beberapa ramai pembaca yang rendah lagi darjat bacaannya sangat terhadap perhatiannya kepada tulisan-tulisan yang seperti itu, adakah bakinya atau tidak akan tulisan-tulisan yang setengahnya kepalanya tersangat tinggi pada hal isinya tidak lebih daripada martabat omong kosong itu, bolehlah sama-sama kita rasa.

Maka tersangatlah malangnya jika hanya dengan sebab-sebab tulisan yang seperti itu menyebabkan kekal atau akhbar-akhbar Melayu itu masih mengalakkan juga gelaran "Kelapa Tebal Sabut" yang diberi oleh "Anak Negeri" sedikit masa dahulu.

Kita patut menyatakan iaitu setengah daripada akhbar Melayu Semenanjung telah mengambil langkah yang utama dan siapa pun boleh berpuas hati membelinya dan menatap kandungannya yang padan dengan harganya dan kasih banyak di antara perhimpunan Melayu Raya kita mengharap-harap kenyataan hari akhbar-akhbar lain mengikut langkahan itu.

Maka selama setengah suratkhabar dan majalah Melayu Semenanjung mengalakkan juga memuatkan rencana-rencana yang rendah dan perkhabaran kecil yang berjela yang datang dari kampung-kampung yang tiada namanya di dalam peta-peta, seruan-seruan dan nasihat yang telah tawar kerana sudah selalu sangat keluar, pertengkaran di dalam bicara agama dan seumpamanya.

Maka selama itulah pula akhbar-akhbar dan majalah itu kurang dihargai oleh pembacanya. Maka tidaklah boleh disalahkan manakala didapati pembaca-pembacanya bertambah-tambah liar daripadanya dan dengan sebab itu menjadikan akhbar itu pendek umurnya kerana bahaya penyakit tak cukup nafkah hendak hidup.

Berdunia suratkhabar bolehlah dikatakan kita lebih banyak meniru orang Inggeris, walaupun bangsa yang mula-mula mengeluarkan suratkhabar dalam dunia ini bukannya orang Inggeris. Maka dengan sebab itu apakah salahnya peraturan dan tertib mengisi ruangan-ruangan akhbar itu mengikut cara akhbar Inggeris juga?

Jika di dalam bahagian surat kiriman, sport, perkhabaran negeri dan lainnya itu dibuat oleh penulis-penulis luar, maka apakah mustahaknya ruangan-ruangan yang ada sedikit lagi tinggal itu dipenuhkan juga dengan karangan-karangan dan buah fikiran penulis luar yang kadang-kadang memenuhi sampai semuka atau lebih yang daripada jenis karangan-karangan rendah itu?

Padahalnya, karangan-karangan yang mengandungi seruan dan nasihat yang berjela-jela kepada bangsa dan permohonan kepada Kerajaan bagaimana yang dikatakan oleh "Anak Negeri" itu sudah lewat masanya dalam dunia suratkhabar.

Maka gilirannya sekarang ialah panduan, pelajaran, fikiran-fikiran yang tinggi dan siasat. Bukannya omong-omong melebihkan pandai berkata-kata dan mengurangkan darjat bekerja.

Penulis sendiri dan dipercayai orang-orang ramai juga bersetuju bahwa selain daripada rencana pengarang yang sangat-sangat dihargai itu, maka patutlah juga tiap-tiap kali ada karangan-karangan daripada penulis-penulis yang masyhur, terjemah atau tawarikh atau perjalanan kemajuan siasat bangsa-bangsa dunia dan sebagainya yang didapati banyak pada masa ini.

Maka tentang atur mengatur dan menyajak ini agaknya Tuan-Tuan pengemudi akhbar itu sedia lebih faham, dan jika dengan ringan menggunakan usaha terhadap kepada pengetahuannya yang luas itu, maka tidaklah syak lagi harapan supaya akhbar itu lebih dihargai kerana tinggi dan besar jasanya kepada umat kita Melayu khasnya itu akan berhasil.

Adapun langkah ini penulis mengerti ada berat kerjanya kepada pemimpin akhbar atau majalah yang kekurangan kakitangannya bekerja khas bagi mengatur dan memadankan* isi akhbar itu.

Kerana selain daripada ketua pengarang, maka mahulah ada beberapa orang pembantu pengarang yang mengetahui dua tiga bahasa, pemungut khabar-khabar kawat, Reuters, penulis-penulis khas di tiap-tiap negeri dan jajahan dan lainnya yang bekerja kerana semata-mata bagi kemajuan surat khabar itu.

Maka selain daripada itu bolehlah juga dipelawa penulis-penulis luar menulis karangan-karangan buah fikiran, tetapi dengan ditimbangkan benar-benar faedah pertolongannya sebagai membantu mengisi akhbar-akhbar atau majalah-majalah itu tidak menurunkan darjat dan kepatutannya jika dengan sebab ketiadaan tulisan itu.

Memadailah sehingga ini. Maka sebagai peringatan yang ikhlas, saya harap tidaklah kiranya Tuan-Tuan penulis yang tidak berapa dipelawa tetapi suka menulis-menulis dalam suratkhabar itu lekas sahaja menyerang saya adanya.