Warta Malaya extract
bibliographical notes on Warta Malaya
index of Warta Malaya extracts
    • locate in index of extracts taken from Warta Malaya

 

Warta Malaya, 31 Jan 1934, p.10

Editorial.

Berkuli.

Perkataan ini kepada kaum kita Melayu amnya memberi makna yang menguratkan kening dan mencebikkan bibir mereka itu. Pada sangka mereka itu tiada pekerjaan yang lebih hina daripada pekerjaan berkuli. Memandang mereka itu akan orang yang berkuli itu dengan pemandangan yang sangat rendah. Digunakan oleh mereka itu perkataan berkuli itu jadi satu daripada perkataan memaki. Umpamanya Melayu kita dengar ibu bapa kanak-kanak sekolah, bila didapatinya anak mereka itu malas belajar, memarah mereka itu kepadanya dengan kata: kalau engkau malas belajar sekarang ini, esok engkau berkulilah jadi abdi orang!

Jadi berkuli itu pada hitungan mereka itu serupalah dengan menjadi hamba tebusan. Jika dengan perasaan yang demikian itu tertanam berakar berumbi di dalam jantung hati anak-anak Melayu kita daripada kecilnya, betapalah boleh kita hairankan tanah air kita terbiar dihurung oleh kaum kuli daripada bangsa-bangsa Cina dan Keling siapa telah datang ke tanah air kita dengan hanya segulung tikar mengulikan diri masing-masing hingga akhirnya memilik mereka itu akan harta pesaka dan tanah rumah kita Melayu dan kesudahannya terpaksalah kita membaba menuankan mereka itu.

Cuba kita selidik lebih dalam lagi bahaya di atas kaum kita oleh kita menghinakan pekerjaan berkuli itu; cuba kita ambil sahaja kerja-kerja raya di mana-mana kerajaan pun di dalam Semenanjung ini -- tak usahlah diambil kerja-kerja di dalam kebun-kebun saudagar -- boleh dikatakan hampir-hampir semua daripada berkuli-kuli yang membuat kerja itu daripada bangsa Keling dan Cina yang datang daripada negeri mereka itu dengan segulung tikar; bagaimana yang kita sebutkan di atas tadi, dan tiap-tiap minggu atau bulan menerimalah mereka itu gaji masing-masing daripada wang hasil bumi kita Melayu. Maka wang yang didapati oleh mereka itu terlalu sedikit peratusnya sahaja yang diperbelanjakan oleh mereka itu di dalam negeri kita ini lain semuanya dihantar oleh mereka itu ke negeri masing-masing bagi pergunaan kerana muslihat kaum bangsa dan tanah air mereka itu dan yang mana wang yang tidak dihantar oleh mereka itu ke negeri masing-masing disimpan dan dikumpul oleh mereka itu di sini hingga sudah banyak digunakan oleh mereka itu kumpulan wang itu bagi jadi umpan kerana menarik wang yang lebih banyak lagi daripada orang-orang Melayu dengan memberi pinjaman-pinjaman yang berbunga beratus persen kepada orang-orang kita juga hingga kerapkali bukan sahaja wang kita yang dikailnya bahkan harta-harta dan tanah-tanah kampung kita pun sama, hingga akhirnya banyak yang terpaksa berkuli kerana kuli yang telah memilik tanah rumah mereka itu dengan mebersihkan tanah rumah itu dan membayar sewanya kepada si kuli itu. Ini keadaan berapa banyak daripada orang-orang Melayu di Bandar.

Sekarang kita beralih pula kepada orang-orang Melayu di kampung-kampung terutamanya kampung-kampung yang di tepi-tepi laut. Kebanyakan daripada mereka itu bekerja mengail ikan. Kemudian daripada telah bermalam di tengah-tengah laut di dalam kolek-kolek atau jalur-jalur yang sedepa tengah panjangnya dan mengadap beberapa bahaya-bahaya laut yang dihanyut-hanyut daripada ombak angin rebut dan buaya jerung. Maka baliklah mereka itu membawa ikan-ikan didapati oleh mereka itu ke darat. Di mana bukannya anak isteri atau saudagar-saudagar ikan sebangsanya yang menyambut kedatangannya itu, tetapi si apek kuli juga yang mendepangkan tangannya menyambut bukannya dia, tetapi ikan yang di dalam perahunya itu. Berapa dijualnya ikan yang didapatinya dengan titik peluhnya itu kepada si kuli itu?

Berapa kasihan Apek sahajalah! Apa ikan yang dapat dibawanya balik ke rumah untuk menjamu anak isterinya? Sebanyak ikan-ikan seriding atau tamban yang tinggal terselit dicelah-celah papan atau lubang-lubang perahunya itu sahajalah! Mengapa sebab begitu? Tak berani hendak meminta harga lebih dan membawa balik ikan yang baik kerana takut siapakah itu tahan perahu tak beri ke laut lagi kerana sudah banyak wang dipinjamnya daripada si apek itu.

Demikianlah halnya apa tidakkah keadaan yang demikian itu lebih hina dan sengsara daripada berkuli? Tidakkah keadaan yang demikian itu bermakna berkuli kepada si kuli? Adakah keadaan yang demikian itu yang seumpamanya itu lebih mulia daripada berkuli kepada kerajaan sendiri dengan mendapat wang daripada hasil tanah air sendiri?

Kalau tidak mengapa sebabnya maka jawatan-jawatan kuli kerja raya di mana-mana kerajaan di sekutu tanah Melayu ini dipenuhi oleh bangsa Cina dan Keling sahaja, tak ada bangsa kita Melayu? Apa adakah sengaja kerajaan-kerajaan itu semuanya tak mahu menerima bangsa Melayu berkuli? Tentu sekali tidak! Kita tahu yang kerajaan-kerajaan di negeri-negeri Melayu yang bersekutu telah lama sengaja membukakan jawatan-jawatan itu kepada Melayu lebih dahulu daripada bangsa-bangsa asing, tetapi jika disiasat mengapa sebab tak ada juga Melayu berkuli nescaya kita dapat jawabnya mengatakan tak ada yang mahu!

Wahai kaumku! Percaya apalah kiranya bahwa semulia-mulia kerja yang boleh dilakukan oleh anak Adam itu ialah kerja dengan tulang urat dan titik peluh tubuhnya sendiri. Biar apa pun nama yang digelar kerja itu dengannya.

Perbahasan di dalam bab yang kita kepalakan rencana kita ini dengannya terlalu luas hingga boleh memenuhi sebuah kitab yang tebal tetapi sebanyak apa yang kita tuliskan itu memadailah jadi untuk mengingatkan saudara-saudara kita yang sebangsa dan seagama akan bahaya yang boleh terbit daripada perasaan menghinakan sejenis daripada pekerjaan-pekerjaan yang berfaedah dan mulia bagi diri dan kaum kita.

Inshallah kita akan menulis lagi di dalam perkara ini di belakang kelak.