![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Warta Malaya, 13 Jan 1934, p.16
Surat Kiriman.
Rampaian Percakapan.
Pahlawan yang memandukan raja kepada singgahsana ketinggian itu ialah angan-angan. Maka sayogialah kita menaruhkan angan-angan kita pada tiap-tiap yang disuruhi Allah, istimewa pada jalan menuntut tiap-tiap yang halal itu. Mudah-mudahan daripada bunga-bungaan itulah akan mengeluarkan buah-buahan yang amat berfaedah bagi kehidupan kita.
Bermula, kehidupan itu ialah sebuah padang atau medan yang berlumba manusia di dalamnya. Maka orang yang mendapat kemenangan di dalam perlumbaan hidup itu ialah yang mempunyai kekayaan. Kebahagian, kesihatan dan kemegahan. Dan yang kalah itu ialah yang papa, miskin, kecelakaan dan persungguhan yang panjang.
Sanya, adalah dunia kita ini seperti sebuah medan perlawanan yang tiada berkesudahan di antara kumpulan yang maju ke hadapan yang senantiasa mengadap dan mengintai-intai akan masa yang akan datang bagi menyediakan jalan-jalan baginya, dengan satu kumpulan yang malas, penyegan, yang hanyut ke belakang, yang senantiasa memanang kepada hal dan masa yang telah lalu.
Kehidupan itu ialah pekerjaan hidup yang tinggal dengan percuma itu kematian dan waktu itu apabila anggota tidak membunuhkan dia nescaya membunuh ia akan dikau.
Adalah senjata orang yang berakal yang berperang di dalam medan kehidupan itu ialah ilmu yang berguna dan manfaat pada serba serbinya dengan tidak menghilangkan waktu di dalam berumpat, bertengking, herdik dan bantah-membantah.
Kita yang ada duduk tinggal di atas dunia ini tidak boleh mendapat sesuatu benda atau pekerjaan melainkan dengan ilmu yang berguna dan manfaat yang ialah beredar pusingan cakerawala kehidupan dan kebahagiaan.
Adapun, orang kaya yang tiada menjalankan pekerjaan dan perusahaan itu tertegahlah ia daripada kelazatan dan kesedapan bahkan iaitu seolah-olah mendedahkan dirinya kepada keluh-kesah atau sempit dada.
Tiada terlepas seorang itu daripada kesempitan dada dan penyakit keluh kesah itu melainkan dengan pekerjaan perusahaan dan melobakan kepada kelebihan dan ketinggian dan menggunakan otak fikiran bagi mencapaikan angan-angan dan cita-cita.
Maka inilah yang dikatakan kebahagiaan yang maha besar, bahkan iaitu semulia-mulia daripada pelbagai kebahagiaan.
Bahwa bumi yang elok subur itu tidak boleh menambahkan sesuatu perkara pun dengan ketiadaan, diusaha dan dikerjakan dia.
Tetapi sebaliknya, pada bumi yang kering kemarau itu boleh menjadi subur menumbuhkan tanaman-tanaman dan buah-buahan bila diusaha dan dikerjakan dia. Maka barangsiapa hidup mencapai ketinggian dengan ketiadaan pekerjaan dan persungguhan itu seperti mereka yang hendak naik ke langit. Bilakah masanya akan mendapat?
Siapa orang yang berakal itu? Ialah mereka yang menerima segala pekerjaan itu dengan sabar, tetap hati, tekun, azam, bersih hati, dan perangai benar dan amanah. Kerana yang demikian itulah dapat ia mencapaikan kepujian dan kelebihan hidup ia dengan kehidupan yang berbahagia lagi diredhai adanya.
top |