![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Warta Malaya, 13 Jan 1934, p.8
Rampaian2.
Perkhabaran Sungai Mati Muar.
Sungai Mati sebuah kampung yang besar juga di dalam daerah Muar yang patutnya dinamakan Sungai Idrus atau Bandar Idrus, tetapi penulis hairan mengapakah dinamakan demikian ((Sungai Mati)) dan apakah muslihat bagi pihak yang berkuasa menamakan begitu? Wallahualam.
Sungai mati kelihatan banyak pemuda-pemuda ((yang digelar orang-orang bijih getah)) yang jauh daripada berpuasa, kasihan! Agaknya masing-masing tak mengerti hikmat Puasa yang difardhukan oleh Allah Ta`ala dijadikan Rukun Islam yang ke tiga. Dan tidaklah juga menjadi begitu hairan, kerana di Muar pun lebih-lebih lagi kedapatan orang-orang yang tak berpuasa. Kalau tak percaya, cubalah naik di bilik atas kedai kopi yang berhampiran dengan panggung wayang "Central Cinema", di Jalan Meriam, dari pukul 8 pagi hingga ke petang, nescaya dapat dilihat dengan mata kepala tiap-tiap bilik di situ penuh orang-orang yang daripada bangsa Melayu.
Penulis harap hal ini bagi pihak yang berkuasa mengambil sedikit berat bagi menjalankan kewajipannya.
Khabarnya dengan kehendak Yang Amat Mulia Tengku Temenggong Pesuruhjaya Kerajaan Muar, segala fitrah-fitrah dan zakat-zakat orang-orang kampung dikehendaki Imam-Imam atau penghulu-penghulu di tiap-ditiap kampung menyerahkan ke Muar bagi makluman Kadhi; entah apa hendak dibuatnya. Wallahualam kasihan! Longgar kepala lutut Imam-Imam dan Bilal-Bilal Pak-Pak Haji dan Lebai-Lebai daripada mengecap fitrah tahun ini. Teristimewa melihatkan hal Imam-Imam dan Bilal-Bilal masjid yang tak bayar gaji daripada kerajaan, hanyalah berharapkah fitrah sahaja, yang boleh menjadikan peluang kebeliannya setahun sekali. Kemudian daripada penat bekerja selama itu.
Penulis percaya kerajaan akan menimbangkan dengan halus perkara ini; harap bersabar Pak-Pak Imam dan Pak lebai, ya?
Kampung Bukit Kangkar, Sungai Mati dan Serum, di masa sekarang telah ada nampaknya terdiri kedai-kedai Melayu syarikat daripada orang-orang kampung untuk menjual barang makanan ((perkakas dapur dan lain-lainnya)). Demikian juga sebuah kedai kopi Melayu yang di gelar "Benih Kemajuan", yang duduknya di penjuru pekan Sungai Mati itu, hingga di masa sekarang ada berjalan dengan baik.
Tetapi penulis berasa sedih bila melihat sebuah kedai kopi Melayu di pekan serum yang dinamakan "Lunas Kemajuan" telah tiada lagi, entah apa penyakit atau lalat merahnya. Tak dapat penulis beritanya, tetapi dipercayakan tafsir anak-anak kampung juga dengan kejatuhan kedai itu, harap kedai-kedai yang mana ada pada hari ini jalan terus usaha pedulikan rakan-rakannya yang telah meninggal itu supaya membangkitkan nama Melayu dan kampung jua. Allahuma Amin!
Tempat perhentian motokar yang bertentangan dengan sekolah Melayu di pekan sungai mati telah terpandang seperti belukar lalang ((tak ada motokar-motokar yang berhenti) kebanyakan kereta-kereta berhenti di jalan raya dihadapan kedai jua, tidak menggunakan tempatnya yang sedia. Harap bagi pihak penulis mengambil berat perkara ini.
Di kampung sungai mati, kelihatan jua anak-anak mudanya yang tak bersembahyang Jumaat, asyik bermain meja bola. Tetapi tidak jua begitu pelik sebab kebanyakan anak-anak muda yang tiada bersembahyang itu tidak mengerti hikmat hari Jumaat, apatah lagi sembahyang. Sedangkan khutbah Jumaat di tiap-ditiap kampung lain; Imam atau khatibnya membaca secara setengah Melayu dan setengah lagi arab.
Tetapi sungai mati tidak semata-mata arab sahaja, maklum semuanya bahasa arab tak diertikan Melayu. Demikian jua pada petang-petang hari kelihatan pemuda-pemuda berbasikal sekurang-kurangnya 15 atau 20 buah berjalan ke timur -- ke barat -- ke utara dan ke selatan, kononnya hendak melupakan puasa. Bukankah lebih baik duduk di rumah membaca wirid-wirid dan Quran, supaya dapat pahala daripada berjalan yang tiada berfaedah semata-mata mendatangkan musibat mata sahaja. Tambahan pula jadi susah kepada kereta-kereta yang hendak lalu lalang yang bersegera sedikit.
Dengan ikhlas Tuan Penguasa Warta Malaya telah menurunkan harganya mulai daripada awal tahun 1934, daripada harga 10 sen kepada 6 sen senaskah. Harap dengan kemurahan harganya itu, dapat berganda-ganda pembaca-pembacanya daripada segenap ceruk dan rantau, terutama sekali ketua-ketua kampung, hendaklah menggalakkan anak-anak buahnya perasaan kuat: gemar membaca akhbar-akhbar dan berlanggan supaya tidak jadi sia-sia pengarangnya mengeluarkan suara dengan melarikan penanya untuk mengkhidmatkan kaum bangsanya Melayu di dalam medan kemajuan.
Adapun akhbar Warta Malaya ini jika ditilik pada zahir dan batinnya, nisbah pada isi kandungan rupa helai dan harganya, amatlah taraf serta sepadan pula dengan akhbar-akhbar Inggeris. Penulis berani berkata inilah sebuah akhbar yang mula-mula memakai aturan seperti akhbar-akhbar Inggeris di semenanjung tanah Melayu.
Harap umurnya yang sudah 4 tahun itu akan berpanjangan beberapa lama hingga berkurun-kurun adanya di alam wujud yang fana ini. Amin!
top |