Warta Malaya extract
bibliographical notes on Warta Malaya
index of Warta Malaya extracts
    • locate in index of extracts taken from Warta Malaya

 

Warta Malaya, 28 Jun 1934, p.6

Editorial.

Asalkan Mahu Semuanya Boleh Jadi.

Sungguhpun kita tiada berani berkata yang kita Melayu ini boleh mengatas atau sekurang-kurangnya bertanding dengan semua bangsa-bangsa asing di dalam sebarang perbuatan sama ada di dalam medan perusahaan atau permainan yang ada di dalam pengetahuan kita Melayu.

Tetapi berani kita berkata bahwa sekurang-kurangnya kaum kita boleh menyamai dengan banyak daripada bangsa-bangsa asing yang ada di dalam Semenanjung ini di dalam beberapa banyak perusahaan dan permainan yang dijalankan pula mereka itu masa ini.

Pendeknya tiap-tiap satu perkara yang dikerjakan oleh bangsa-bangsa asing itu semuanya boleh kita Melayu melakukan dia kalau pun tidaklah handal, sekurang-kurangnya serupa handalnya bagaimana yang dilakukan oleh mereka itu.

Tidaklah kita sendiri telah melihat dengan kedua biji mata kita dan mendengar dengan kedua belah telinga kita beberapa perusahaan dan permainan yang dijalankan oleh kaum kita Melayu dengan mendapat ketentuan nama kepujian di dalamnya daripada bangsa-bangsa asing itu?

Tidakkah pertukangan tangan orang-orang Melayu dahulu kala dan juga hari ini digemari oleh bangsa-bangsa asing. Di dalam medan permainan zaman ini, football umpamanya, tidakkah Melayu telah mengatasi daripada segala bangsa-bangsa di sebelah sini dan menghamburkan keharuman nama Melayu, beberapa tahun lamanya, di serata Semenanjung ini, bahkan disegugus gugusan pulau-pulau Melayu ini?

Lihat pada hari ini, di Balestier Road, Singapura, tersergam bangunan MFA, mendirikan ketandaan yang tidak dapat disangkalkan lagi atas jasa kebolehan Melayu.

Pendeknya jika kita memandang dengan mata kita dengan beralaskan perasaan kebangsaan pada menyelidik daripada apa yang kita lihat disekeliling kita hari-hari, nescaya kita dapati apa perusahaan atau permainan yang dilakukan oleh bangsa-bangsa asing itu semuanya ada juga dilakukan dengan serupa kejayaannya oleh ahli-ahli kaum kita yang mana-mana yang bersungguh-sungguh mahu melakukan dia.

Sekadarkan bilangannya tidak banyak, tetapi memadailah bagi menerangkan atas adanya kebolehan pada sisi kaum Melayu itu. Tetapi adalah kekurangan atau kelemahan yang maha besar sekali pada sisi kaum kita Melayu yang menyebabkan mendapat kebolehan kita itu ialah perasaan atau semangat kemahuan pada menjalankan atau sekurangnya mencuba menjalankan sesuatu perusahaan itu.

Sesiapa-sesiapa yang ada mempunyai kemahuan menjalankan sesuatu pekerjaan itu. Maka tak dapat tiada berjayalah dia pada menjalankan kebolehannya itu. Kalau pun tidak lebih, sekurang-kurangnya serupa dengan kejayaan yang didapati oleh lain bangsa itu.

Tetapi dengan perasaan yang sangat-sangat dukacita kita dapati bahwa oleh sebab kelemahan semangat kemahuan kita pada membuat atau sekurang-kurangnya mencuba membuat sebarang pekerjaan itulah yang telah menghabutkan [?] kita ke belakang di dalam perlumbaan di medan perusahaan hidup kita di zaman ini.

Dan itulah juga yang telah menyebabkan bangsa-bangsa asing itu mengadu kita "Melayu Malas". Jika tiap-tiap seorang daripada kita dengan ikhlas dan sungguh-sungguh menyelidik diri masing di dalam hal ini, kita percaya banyak yang akan dapat mengetahui bahwa ada dihadapannya berbagai-bagai pekerjaan atau perusahaan yang memberi peluang yang berfaedah kepada kehidupannya tetapi tiada dijalankannya atau dicubainya bukan kerana tiada mampu atau tiada upaya atau tiada pengetahuan padanya bagi menjalankannya, tetapi hanya sanya kerana sengaja tak mahu dia menjalankannya.

Pendeknya, kebolehan yang tiada bersemangatkan kemahuan itu serupalah misalnya bagaimana motokar yang tiada berbenzoin di dalam tangkinya.

Semangat mahu membuat atau sekurang-kurangnya mahu mencuba membuat sesuatu pekerjaan itulah kekuasaan yang terbesar sekali yang telah mendirikan kemodenan dunia bagaimana yang ada keadaannya pada hari ini dan itulah juga semangatnya yang kelak meninggikan lebih lagi kemodenan dunia di masa yang ke hadapan kelak.

Yang demikian wahai kaumku! Kiranya telah putus asa kita daripada menanam atau menguatkan kemahuan di dalam perasaan saudara-saudara kita yang sudah lewat daripada umurnya, maka janganlah kita putus asa daripada menanam dan menguatkan semangat yang mulia dan berharga itu di dalam perasaan anak-anak cucu kita yang masih muda lagi itu.

Galakkanlah mereka itu dengan nasihat pelajaran, teladan dan latihan daripada masa kecil mereka itu supaya berperangai mahu membuat, sebarang apa jua pekerjaan atau permainan yang berfaedah, walau bagaimana sedikit pun, kepada diri dan kaum mereka itu.