Warta Malaya extract
bibliographical notes on Warta Malaya
index of Warta Malaya extracts
    • locate in index of extracts taken from Warta Malaya

 

Warta Malaya, 14 Jun 1934, p.??

General Article.

Pandangan Bangsa-Bangsa Asing kepada Orang-Orang Melayu.

Oleh Meruna Mersing.

Bahwasanya jika ditilik dan diperamati baik-baik di sini memang sudah lama perkara ini demikian boleh dikatakan telah beberapa tahun lamanya; tambahan pula memang sudah banyak penulis-penulis menerbitkan setengah daripada perkara-perkara itu di kertas-kertas khabar, tetapi berasa hairan di hati penulis, masih juga tak sedar lagi setengah daripada kaum-kaum kita Melayu.

Dari itu berasa suka di hati penulis yang hina ini hendak menghuraikan serta menyatakan hal-halnya demikian itu dan adalah penulis sebutkan seperti di bawah ini:

1. Pekerjaan-Pekerjaan: orang-orang kita Melayu tidak berapa berusaha dan bersungguh sangat di dalam serba-serbi pekerjaan seperti bangsa-bangsa asing. Bangsa-bangsa asing tidak memilih ia pada apa-apa pun pekerjaan; dipendekkan, apabila ada sahaja faedahnya dan keuntungannya yang diperoleh dari situ -- walau bagaimana pun susahnya, maka dikerjakanyalah dengan yakin dan tekunnya serta tidak ada kepadanya tabiat malu dan kehinaan.

Tetapi kaum kita Melayu nampaknya hendak memilih ia kepada pekerjaan yang difikirkan patut dikerjakannya barulah diperbuatnya walaupun sedikit pendapatannya. Dari situ tidak apalah, kebanyakan daripada pemuda-pemuda kita Melayu yang kurang pengetahuannya, biar perutnya lapar asalkan jangan ia bekerja; padahalnya inilah yang menjadikan kejatuhan mutu dan martabat kaum Melayu oleh bangsa-bangsa asing, sehingga semua kerja-kerja yang ada pada masa ini habis dipeluk dan dikaut olehnya; dan negeri kita ((Semenanjung Tanah Melayu)) dikatakan ia punya, bukan orang Melayu.

Dan jika kita bandingkan bangsa-bangsa asinglah yang jaya.

2. Kecermatan: bangsa-bangsa Melayu tidak pandai ia berjimat seperti bangsa-bangsa asing suka ia membuangkan dan membelanjakan harta-hartanya dengan sia-sia sahaja pada setiap masa asyik dengan mengenakan rangginya. Sekiranya pada hari itu diperolehnya seratus, maka dengan seboleh-bolehnya ia habiskanlah juga pada masa itu tidak ditangguh-tangguhnya dan difikir-fikirkannya lagi melainkan dihilangkan dengan senangnya serta ia berkata apakah gunanya disimpan-simpankan itu? Apabila kita mati kelak bukankah ditinggalkan? Dan guanya harta yang kita cari setiap-tiap masa itu patut digunakan; kalau tidak nanti berlapuk dan bercendawan bukan?

Setelah habis harta-harta itu dan dapat pula ia kesusahan, maka iapun mulailah bersungut dan menyesal berkabut-kabut, tetapi apakah gunanya menyesal kemudian?

Dari itu, hendaklah kita jaga baik di sini bagaimana kata orang-orang tua ingat sementara belum kena, jimat sementara belum habis.

3. Kelemahan orang-orang Melayu; orang-orang Melayu terlalu lemah ia daripada bangsa asing kebanyakannya hatinya tidak cekal membuat mengikut bangsa-bangsa asing serta tak mahu ia bertekal di dalam sesuatu hal dan mencubanya. Dan lagi, bangsa-bangsa Melayu tidak mahu ia bermuafakat satu sama lain melainkan apa-apa perkara yang hendak diperbuatnya ia tahu seorang sahaja dan apabila ia susah kelak, barulah ingat hendak bermuafakat dan berunding. Pada halnya, ia telah dapat kesusahan-kesusahannya itu bagaimana perumpamaan Melayu sebelum hujan patut kita sediakan payung; bukankah bermuafakat itu satu daripada perkara yang mendatangkan kebajikan serta menambahkan kejayaan dalam apa-apa perkara pun? Muafakat itulah tangga kejayaan dan keselamatan.

Dari itu, cubalah kita mulai beransur perlahan-lahan akan perkara ini bagaimana bangsa-bangsa asing; tak dapat tiada tidaklah berapa ketinggalan daripada bangsa-bangsa asing itu.

Sayogianya, ingatlah dan perhatilah hai saudaraku kaum Melayu; mudah-mudahan kita beroleh jaya!