Warta Malaya extract
bibliographical notes on Warta Malaya
index of Warta Malaya extracts
    • locate in index of extracts taken from Warta Malaya

 

Warta Malaya, 18 Jun 1934

Editorial.

Menghargakan Perusahaan.

Dari sehari ke sehari hingga membawa kepada perubahan tahun sama ada dalam masa kemakmuran ataupun dalam masa kepicikan. Maka mereka-mereka yang menghargakan perusahaan itu tiadalah sunyi daripada mengeluarkan ikhtiar dan beberapa daya upaya mencuba dengan berbagai-bagai jalan pada membesar dan memajukan perusahaannya dengan tidak disekat ataupun diberhentikan perjalanan perusahaannya itu hingga seberapa jauh yang boleh didapati dan dikembangkannya.

Maka dengan keadaan bangsa macam itu dan dengan kecekalan hati tahan bersusah payah dan bertekun dalam menjalankan sesuatu perusahaan dengan menaruh harapan dan keyakinan bahwa susah payah dan beberapa galangan dan gendala yang tak dapat tiada dan lazim akan dijumpainya di dalam percubaannya itu maka kebanyakan daripada mereka-mereka itu telah berjaya mendapat balasan yang baik iaitu faedah dan keuntungan dalam apa-apa perusahaannya yang telah dihabiskan masanya dalam menjalankannya.

Maka di dalam masa harga getah telah naik kepada mercunya yang tinggi sekali, yang hampir-hampir telah menarik perhatian sekalian penduduk-penduduk di dalam Tanah Melayu pada mengusahakan tanaman itu, yang tidak juga ketinggalan orang-orang Melayu daripada mengambil bahagian di dalam perusahaan itu, hingga telah dapat juga mereka merasa lemak manis daripada segala perusahaannya itu.

Dan manakala telah jatuh pula harga getah itu kepada darjah yang di bawah sekali, maka tanggungan dan kesusahan orang-orang Melayu yang mengutamakan pencariannya dalam tanaman getah itu tidaklah juga terkurang daripada apa yang telah ditanggung dan dirasai oleh lain-lain bangsa yang ada berusaha berkenaan dengan tanaman getah itu.

Syahdan dalam masa harga getah ada sedikit lebih baik daripada apa yang telah pernah dijumpai, maka bagaimana pun adalah mengurangkan sedikit kepicikan pencarian sebagaimana yang telah terbayang di dalam beberapa bulan yang lepas akan gerak-gerak beberapa perusahaan yang demikian. Selain daripada getah itu, ada banyak juga lain-lain perusahaan yang hendaklah dipandang dengan sama berat oleh orang-orang Melayu pada mengerjakannya supaya di dalam tiap-tiap satu pekerjaan berkenaan dengan mencari penghidupan di dalam Semenanjung Tanah Melayu ini ada di dalam perusahaan orang-orang Melayu. Oleh kerana tiada juga terlindung orang-orang Melayu kita cepat meniru segala perbuatan dan ada kelayakannya di dalam beberapa jenis perusahaan selain daripada apa yang dipusakai daripada orang-orang yang terdahulu daripadanya, maka ada banyak juga harapan yang mereka itu dapat merasai lemak manis di dalam apa-apa juga perusahaan berkenaan dengan mencari kehidupan sekira-kiranya bertugas benar-benar mereka itu sebagaimana yang telah ditumpukan perhatiannya tatakala harga getah itu telah naik kepada mercunya yang tinggi sekali.

Satu perkara yang ternyata sekali tentang tiada dapat orang-orang kita Melayu bersayang dengan lain-lain bangsa di dalam beberapa jenis perusahaan itu ialah kerana orang-orang kita sangat mempadakan diri dengan tiada bersungguh-sungguh mencuba membesarkan perusahaannya itu, sebagaimana yang diperbuat oleh lain-lain bangsa.

Yang demikian, tentulah tiada menjadikan hairan dalam hal ketinggalannya mereka itu di dalam beberapa perusahaan dalam tanahairnya sendiri, tetapi walau bagaimana pun halnya, ada harapan bagi mendapat persaingan itu dengan benar-benar ditiru dan dijalankan beberapa perusahaan lagi yang mereka itu ada berkelayakan boleh membuatnya.