Warta Malaya extract
bibliographical notes on Warta Malaya
index of Warta Malaya extracts
    • locate in index of extracts taken from Warta Malaya

 

Warta Malaya, 27 Jun 1934, p.10

Editorial.

Jimat-Cermat Kaum Melayu dan Pergerakan Bekerja-Kerjasama.

Daripada syarah Captain Hashim bagaimana yang tersiar di dalam Warta Malaya dan dalam lain-lain keluaran mereka itu baru-baru ini dan daripada kandungan daftar-daftar kenyataan tahun atas perjalanan syarikat-syarikat bekerja-kerjasama di dalam jajahan Selat dan negeri-negeri Melayu yang Bersekutu bagi tahun 1933.

Kita percaya bahwa siapa-siapa juga daripada ahli-ahli kaum kita yang kurang kepercayaannya atas kemajuan amalan jimat-cermat kaum kita Melayu di masa ini akan mendapat perhatian yang kita percaya, kelak menambah kepercayaannya atas adanya kaum Melayu di masa ini berkeadaan lebih baik dan maju di dalam amalan jimat cermat di dalam kehidupan mereka itu.

Di dalam daftar kenyataan tahun yang tersebut bagi negeri-negeri Melayu yang Bersekutu, ada satu kenyataan berkenaan dengan wang simpanan syarikat-syarikat bekerja-kerjasama kampung yang boleh diambil jadikan satu daripada saksi-saksi bagi menguatkan kepercayaan bahwa kaum kita masa ini sudah sedar akan kegunaan amalan jimat-cermat di dalam kehidupan mereka itu. Tersebut di dalam kenyataan itu bahwa di dalam tahun itu wang simpanan syarikat-syarikat kampung yang ada di tangan dan savings bank telah bertambah jumlah sebanyak $32,000 kepada $34,000.

Mengapa sebabnya wang ini tidak ditarik diberi pinjam kepada ahli-ahli syarikat-syarikat itu?

Jawabnya, bagaimana yang tersebut di dalam kenyataan itu ialah kerana jawatan-jawatankuasa syarikat-syarikat itu telah percaya dan memperhargakan pengajaran dan nasihat-nasihat pegawai-pegawai pejabat syarikat bekerjasama bahwa memberi pinjaman itu mestilah kepada ahli yang mempunyai pendapatan yang lebih daripada perbelanjaannya yang boleh diasingkannya bagi jadi pembayaran ansuran pinjamannya itu bukannya kepada ahli yang hanya ada berharta tetap sahaja, tetapi pendapatannya tiada berlebihan.

Yang demikian terpaksa ia menjual hartanya kerana menyempurnakan pembayaran atas pinjamannya itu. Bila pengajaran yang seumpama ini telah dipercayai dan diperhargakan serta diamalkan dia oleh ahli-ahli kampung itu, maka tentulah yang demikian itu menunjukkan dengan terangnya akan adanya kemajuan mereka itu di dalam amalan jimat-cermat.

Sebagai lagi, semua kita ketahui bahwa membeli atau menjual dengan bersekutu itu ada jauh berfaedah kepada pembeli atau penjual daripada membeli atau menjual dengan berasing-asing dan amalan yang demikian itu ialah sebahagian yang besar sekali di dalam sifat amalan jimat cermat.

Sekarang menurut kenyataan tahun yang tersebut itu di dalam negeri-negeri Melayu yang Bersekutu telah didirikan syarikat-syarikat bekerja-kerjasama kerana berjual telur, membuat dan menjual kelapa kering, berjual getah dan pinang. Di syarikat-syarikat kerana berjual getah pada akhir tahun itu telah terpaksa berhenti daripada menjalankan pekerjaannya oleh sebab kemelesetan harga getah itu. Tetapi masa ini pekerjaan itu mulai dijalankan semula.

Syarikat-syarikat bekerja-kerjasama kerana berjual telur di dalam Kerian telah bertambah maju dijalankan di dalam tahun 1933 daripada di dalam tahun 1932. Di dalam tahun 1932 jumlah bilangan telur yang dijual sebanyak 143,000 butir, tetapi di dalam tahun 1933 telah naik jumlahnya sebanyak 278. 430 butir. Hampir-hampir dua kali ganda!

Harga yang diterima oleh mereka itu dengan hitungan pukul rata dan tunai bersih ialah $1.92 pada seratus butir. Dengan jualan ini bermakna yang mereka itu dapat harga lebih kurang 50 sen di dalam seratus butir atau hampir $1400 jumlah semuahnya lebih daripada harga yang mereka itu boleh dapat kiranya mereka itu menjual telur-telur itu kepada pembeli-pembeli yang di tempat-tempat mereka itu dengan berasing-asing bagaimana yang kebiasaan dilakukan oleh orang-orang kampung itu dahulu.

Sekarang ini telur itu dijual terus di Pulau Pinang, Ipoh, Kuala Lumpur dan di Bukit Fraser. Demikianlah juga keadaannya di dalam pekerjaan membuat dan menjual kelapa kering.

Apa tidakkah keadaan yang demikian ini sekuat-kuat dalil bagi menerangkan adanya kemajuan kaum kita di dalam amalan jimat-cermat? Tiada syak lagi akan adanya.

Lagi seperkara yang tidak dapat tiada kelak membangkitkan kegemaran di hati siapa juga yang mendengarnya, bahwa telah terdiri delapan syarikat-syarikat bekerjasama bagi muslihat am di antara orang-orang Melayu di dalam negeri-negeri Melayu yang Bersekutu dan juga dua buah syarikat yang seumpama itu di dalam Melaka dan dua buah syarikat di dalam Seberang Perai di Pulau Pinang ((tetapi belum sampai tempoh diputerakan lagi)).

Adapun muslihat yang kerananya sesuatu syarikat itu didirikan berlain-lainan antara satu dengan lain, setengah syarikat-syarikat telah menjalankan pekerjaan membersihkan halaman masjid, setengah membakar dan membersihkan tanah perkuburan, setengahnya membina jambatan dan jalan dan ada syarikat di Melaka yang mendirikan masjid; semuanya pekerjaan itu dijalankan dengan sepakat dan sama-sama kerja di antara ahli-ahli syarikat-syarikat itu.

Demikianlah keadaan kaum kita Melayu, apa, tidaklah yang demikian itu, keadaan-keadaan yang menunjukkan perlangkahan ke hadapan di dalam medan kemajuan dan jimat-cermat?

Ya! Tentu sekali masih banyak lagi daripada ahli-ahli kaum kita yang masih leka di dalam amalan keborosan mereka itu, tetapi kita mesti ingat atas pengertian pepatah di dalam bahasa Inggeris yang bermakna demikian; bandar Rome itu tidak didirikan di dalam tempoh sehari!

Penyudah kata berserulah kita dengan sekuat-kuat kepercayaan bahawa adalah pergerakan bekerja-kerjasama yang telah dibawa masuk ke dalam Semenanjung Tanah Melayu ini dari semenjak tahun 1922 itu ialah semujarab-mujarab penawar yang boleh kita gunakan bagi menyembuhkan penyakit yang merana di dalam perhimpunan kaum kita ini iaitu penyakit kemiskinan.

Kita percaya belum ada sepuluh peratus lagi daripada ahli-ahli kaum kita yang terpelajar sekalipun yang tahu apa dan bagaimana yang sebenar-benarnya perjalanan syarikat bekerja-kerjasama itu dan apa bezanya di antara syarikat yang biasa ((company) dan syarikat bekerja-kerjasama itu.

Yang demikian tidaklah pelik atas adanya berbagai-bagai serangan atas pergerakan bekerja-kerjasama itu daripada mula jadinya hingga pada hari ini sebaik-baik nasihat yang kita boleh beri kepada kaum kita ialah bagi mereka itu mempelajari dengan secukupnya di dalam ilmu dan amalan bekerja-kerjasama itu lebih dahulu daripada memuji atau mengeji akan dia!