Warta Malaya extract
bibliographical notes on Warta Malaya
index of Warta Malaya extracts
    • locate in index of extracts taken from Warta Malaya

 

Warta Malaya, 16 Jun 1934, p.??

Editorial.

Kalau.

Ini sepatah perkataan kerapkali sangat dijadikan orang perisai menudung kejahilan dan kemalasannya. Dan lebih dahsyat lagi perkataan ini ada gunakan jadi senjata pengugut oleh Si Bacul.

Baru-baru ini sahaja umpamanya, kita sendiri mendengar seorang hamba Allah berkata kepada rakannya demikian:

Kalau aku buka sebuah sekolah nescaya sekolah pelana ini tutup!

Percakapan yang seumpama itu hampir-hampir tiap-tiap hari kita boleh dengar diucapkan oleh saudara-saudara sekaum kita. Tetapi perbuatan yang dikalaukan oleh mereka itu pada ghalibnya tertinggal dengan keadaan kalau itu sahajalah selama-lamanya.

Sebagai lagi, selalu pulak perangai kalau, itu bukan dengan perkataan bohong, kerana bila seseorang yang berselindung di bawah perisai Kalau itu, dipaksa oleh sesuatu sebab atau lain supaya melakukan perbuatan yang dikalaukannya itu ketika itu dikeluarkanyalah pula rakan Kalaunya itu, iaitu Bohong, bagi berselindung dibawahnya.

Begitu juga perkataan Kalau ini boleh jadi suatu senjata pembunuh hemat yang mustajab sekali kerana dengan membiasakan berkemudi dengan Kalau, pada berangan-angan hendak menjalankan sesuatu pekerjaan maka haruslah pekerjaan itu tertinggal tidak dijalankan oleh sebab perkara yang dikalaukan itu tidak datang atau jadi. Bila berlaku seperti yang demikian itu selalu, maka tentulah kesudahannya tawar hati pada menjalankan pekerjaan itu.

Dan lagi, kita dapati banyak daripada orang yang mengkalaukan sesuatu perjanjian atau perbuatan itu memang mereka itu tahu pada ketika mengeluarkan percapakan itu yang mereka itu tidak mahu atau tau upaya menyempurnakan perjanjian atau membuat perbuatan yang dikalaukan itu.

Terutama sekali, besar bahayanya, Kalau itu, jika dijadikan kemudi di dalam sebarang perusahaan. Seorang peladang nescaya tiada berjaya membuat walau sepetak bendang sekalipun, jika ditunggunya hingga dapat dia tiap-tiap perkara yang dikalaukannya itu.

Apa jua sesuatu perkara atau perusahaan yang kita fakir mahu dan boleh buat hendaklah terus dibuat, jangan lagi dikalau-kalaukan. Dengan keadaan asyik mengkalau-kalaukan sesuatu pekerjaan yang hendak dibuat itulah; maka terhalau kita Melayu hari ini hampir masuk ke hutan oleh segala Cina Keling yang datang dengan segulung tikar sekeping cawat ke negeri tanahair kita yang selama ini hanya kita kalau-kalaukan sahaja. Di dalam masa kita tersungguh ke kiri dan tersungkur ke kanan dengan berangan-angan; kalau begitu, kalau begini: Si Apek yang berseluar katut memegang batang cangkul tadi itu sudah bermotokar ke sana ke mari. Dan geran tanah rumah kita termasuk ke dalam peti-peti Cina dan Keling itu. Dengan yang demikian itu pun masih juga kita belum sedar akan bahaya racun kalau yang merupa memakan fikiran dan hemat kemanusiaan kita itu.

Penyudah kata kita syorkan kepada mereka-mereka yang masih juga suka hendak memakai Kalau itu supaya menggunakan dia dengan perkataan tidak dan membalikkan cakapan itu, umpamanya:

Jangan kata Kalau aku kaya aku hendak buat begitu atau begini, tetapi kata:

Kalau aku tidak buat begitu atau begini, aku tidak kaya.

Dengan perubahan yang demikian mudah-mudahan dapat tertarik mereka itu kepada lebih berbuat daripada bercakap.