Warta Malaya extract
bibliographical notes on Warta Malaya
index of Warta Malaya extracts
    • locate in index of extracts taken from Warta Malaya

 

Warta Malaya, 1 Mar 1934, p.3

Surat Kiriman.

Barang Perbuatan British dan Cukai atas barang masuk ke Johor.

Kepada Pengarang Warta Malaya,

Tuan,

Perjuangan dan sungutan dalam pertandingan perniagaan barang-barang British dengan barang buatan bangsa lain ((am)) dan Jepun ((khas)) telah mengemparkan di serata-serata British Empire.

Maka kerajaan British sudah tentu mengambil insaf di atas tukang-tukang negeri dan jajahannya dengan sebab itu satu cukai kerana membawa barang-barang masuk telah diangkatkan di atas barang-barang bangsa lain didatangkan di atas barang-barang bangsa lain daripada British Empire.

Difahamkan daripada ini oleh tujuan kerajaan British berkehendak memajukan perbuatan tukang yang di dalam negeri dan jajahannya. Maka dengan sebab diangkatkan cukai atas barang bangsa lain itu dapatlah tukang British melawan ataupun meneguk ribut rempuhan barang-barang bangsa lain yang berjaya-jaya dengan murahnya itu.

Tetapi apa kata pula sehingga tujuan yang asal dan muslihat yang baik itu telah bersimpang atau terbabas daripada asasnya yang sebenar kerana barang-barang British itupun ada yang terkena cukai pula oleh sebab pegawai-pegawai yang menerima cukai itu tiada dapat ketahui konon.

Adakah barang-barang itu sebenarnya perbuatan British atau lainnya. Maka segala barang yang patut terkena cukai dibawa masuk dengan tiada mendapat satu akuan daripada gudang-gudang orang Eropah ((British)) tak dapat tiada akan terkenalah cukai juga.

Meskipun barang-barang itu bertulis atau bercap dengan perbuatan England atau dalam salah satu daripada jajahan British. Maka dengan jalan ini tiada disyak yang barang-barang perbuatan British itu akan terkebelakang sekali lebih-lebih barang-barang bangsa lain itu.

Berkenaan dengan surat akuan daripada gudang Eropah yang dikehendaki itu bukanlah senang didapati melainkan di atas orang-orang yang membeli banyak atau ahli-ahli perniagaan sahaja. Jika dapat pun dengan masa yang panjang dengan terpaksa berbelanja lagi dan susah.

Kerana barang-barang itu kebanyakan diperniagakan oleh bangsa Asia yang dapat dari gudang-gudang orang Eropah dan bagaimana pula kedai Asia itu hendak meminta akuan tiap-tiap seorang Eropah itu pada hal barang-barang yang dijualnya hanyalah sedikit-sedikit pada tiap-tiap seseorang iaitu sebanyak-banyaknya sepuluh lima belas ela kerana buat pakainya sendirinya, berlainan dengan orang yang membeli kerana berniaga tentulah kedai-kedai orang-orang Asia itu akan mengambil akuan dari gudang-gudang orang Eropah itu kerana jualannya besar.

Keadaan yang semacam ini sudah tentu siapa-siapa yang membeli barang-barang British yang sedikit kerana pakaian sendiri hendak dibawa masuk akan membayar cukai samalah juga seperti barang bangsa lain ialah disebabkan oleh kerana tiada mendapat akuan dari gudang-gudang British.

Inilah perkara yang sangat harian kerana boleh dikatakan semua pejabat-pejabat cukai dalam tanah Melayu ini diketuai oleh orang-orang British pada hal meletakkan cukai di atas barang-barang bangsa lain itu terutama menjaga muslihat tukang British.

Yang Membayar Cukai Barang-Barang British.