![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Warta Malaya, 5 Mar 1934, p.3
Surat2 Kiriman
Keluang.
Kepada Pengarang Warta Malaya.
Di bandar ini ada tiga pintu kedai tukang gunting Keling, dua pintu di Jalan Stesyen dan sepintu lagi di Jalan Pasar.
Di dalam salah satu daripada kedai tukang gunting yang di Jalan Stesyen itu ada terselit seorang Melayu menumpang mengambil bahagian di dalam pekerjaan ini dengan syarat berbahagi dua setengah daripada pendapatannya mesti diserahkan kepada tauke kedai itu, iaitu sebagai sewa perkakas-perkakas.
Sungguhpun telah hasil bagaimana kehendak-kehendak zaman meleset ini, tetapi sayang perusahaan bangsa Melayu itu tidak beberapa dipandang oleh bangsanya hanyalah mereka itu tahu bercakap sahaja hendak menolong dan memajukan perusahaan bangsanya sendiri, tetapi cakap-cakap itu semuanya menjadi angin belaka.
Kita percaya tulisan kita ini akan didapati bahasan yang tegang dari orang-orang Melayu keluang. Pertama sekali mereka mesti berdalih mengatakan tukang gunting Melayu itu tidak memuaskan hati dan barangkali ada lagi jawab-jawab yang lain.
Tetapi di sini juga kita cuba menurunkan keterangannya kadar yang tercapai oleh pengetahuan kita yang sangat cetek yang memang sedia berkehendakan teguran.
Tuan-tuan tentu akan berkata tukang gunting Keling lebih baik, lebih pandai dan lebih memuaskan hati. Sebab itulah tuan-tuan suka bergunting di kedai Keling. Tetapi kalau tuan-tuan ingat yang kepandaian Keling itu tidak dibawanya dari India atau Ceylon, ialah kepandaian itu semata-mata didapati dan dipelajari di atas kepala kita juga; tak dapat tiada tuan-tuan insaf yang selama ini tuan-tuan telah memenuhkan pandai-pandai si Keling yang patutnya wang itu dapat ke tangan si Melayu.
Dengan sebab itu sekarang patutlah tuan-tuan menolong akan perusahaan bangsa tuan yang tunggal itu yang sangat dahaga kepada pertolongan. Mudah-mudahan dengan sebab bantuan dan pertolongan tuan-tuan semua dapatlah ianya membuka sendiri sebuah kedai tempat tuan-tuan bergunting yang lebih bagus daripada kedai Keling kerana jasa perusahaan sesuatu bangsa itu kembali manfaat khas kepada bangsanya juga adanya.
top |