![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Warta Malaya, 2 Mar 1934, p.13
Feature Article.
Syarikat Bekerjasama-Bekerjasama Membaiki Kehidupan Orang-Orang Melayu Seremban.
Mesyuarat Jawatankuasa telah diadakan di dalam rumah persekutuan persidangan belia Seremban pada hari Ahad 25.2.34. Dengan diketuai oleh Tuan Sheikh Ahmad JP MSC dan lain-lain, ahli yang berhadir, iaitu yang mulia Datuk Bandar Tuan Haji Ahmad Dasuki, Tuan Haji Muhammad Khatib, Tuan Haji Idris, En. Muhammad bin Abu, En. Muhammad Yusuf bin Haji Hassan, dan En. Abdullah bin Haji Hassan ((Setiausaha)) dan juga Kapten Hashim MCS, Penolong Pendaftar Syarikat Bekerjasama-Bekerjasama.
1. Minit Mesyuarat Jawatankuasa yang lalu telah dibaca dan dipersetujukan.
2. Buku kira-kira wang syarikat hingga 31.1.34 telah dibentangkan dalam Mesyuarat dan dipersetujukan.
3. Berkenaan dengan perkara yang keempat di dalam minit mesyuarat yang lalu, iaitu hendak mengubah rangkapan borang ((Form)) perjanjian itu, Tuan Sheikh Ahmad menyatakan iaitu ianya telah bermesyuarat dengan Yang Amat Mulia Undang Datuk Kelana Putera, siapa yang telah mengaku akan mereka perubahannya itu dan akan disampaikan kepada jawatankuasa.
4. Tuan Pengerusi menyatakan dengan dukacitanya iaitu En. Muhammad Said bin Abu Bakar, seorang daripada ahli jawatankuasa telah kembali ke Rahmatullah Ta`ala. Adalah Allahyarham ini seorang yang sangat di kenali kemajuan syarikat ini semenjak diadakan perbelanjaan pada hari matinya itu, tiadalah tampak apa-apa belanja yang membazir, melainkan yang wajib sahaja. Perbelanjaan hari itu kurang daripada $10.
5. Tuan Pengerusi menyatakan iaitu perbelanjaan khenduri nikah kahwin anak perempuan Tuan Haji Ahmad Dasuki yang telah diadakan, tidak berapa lama dahulu, hanyalah sebanyak $170, sahaja, iaitu kurang lagi daripada yang telah diuntukkan oleh jawatankuasa syarikat ini.
Pekerjaan membuat istiadat khenduri itu ialah dengan jagaan Tuan Sheikh Ahmad sendiri, serta dengan En. Muhammad Bujang, Tuan Sheikh Abdul Rahman, dan Tuan Sheikh Muhammad, ahli-ahli syarikat ini. Pada masa dahulunya, iaitu sebelum syarikat ini diadakan, maka Tuan Haji ini telah berbelanja lebih daripada $1000 di atas khenduri mengkahwinkan anaknya yang tua.
6. Tuan Pengerusi menyatakan jua iaitu semenjak syarikat ini diadakan, telah nampak faedah dan kebajikannya itu telah merebak-rebak di serata tempat di dalam Seremban ini, khasnya kerana di dalam tahun yang lalu telah dilihatnya orang-orang yang bukan ahli syarikat ini pun telah berlumba-lumba mengurangkan perbelanjaan tentang khenduri kendara ini. Dua orang daripadanya telah membuat khenduri nikah kahwin, telah berbelanja sangat kurangnya dan seorang lagi Tuan Haji Muhammad di Temayang telah membuat suatu khenduri berkhatam Quran anak-anaknya dengan membuat satu khenduri sahaja bagi lima orang sekali.
Jika mengikut adat resam purbakala tentulah khenduri itu sekali khenduri menjadi tak dapat tiada perbelanjaan itu kelak jadi lima kali ganda pula.
7. En. Muhammad Yusuf bin Haji Hassan menyatakan fikirannya patutlah jawatankuasa berikhtiar mencari suatu jalan supaya semua orang kampung -- sekurang-kurangnya lembaga-lembaga atau ketua-ketuanya -- seperti di Labu, Mantin, dan lain-lainnya di dalam lingkungan jajahan Seremban ini masuk syarikat ini kerana telah dilihatnya kebanyakan orang-orang itu masih boros lagi di atas khenduri kendara ini.
Maka telah dipersetujukan mengadakan suatu jawatankuasa kecil iaitu Yang Mulia Datuk Bandar Tuan Haji Muhammad Khatib, Tuan Haji Idris dan En. Muhammad Yusuf akan bermesyuarat dengan ketua-ketua kampung di situ supaya menasihatkan ianya tentang faedah-faedah dan tujuann-tujuan syarikat ini.
Mudah-mudahan dengan hal itu kelak, mahulah ianya akan masuk bersyarikat ini.
Mesyuarat ditamatkan dengan memberi berbanyak-banyak terima kasih kepada Tuan Pengerusi Mesyuarat adanya.
top |