Warta Malaya extract
bibliographical notes on Warta Malaya
index of Warta Malaya extracts
    • locate in index of extracts taken from Warta Malaya

 

Warta Malaya, 30 May 1934, p.7

Feature Article.

Dunia Sekarang.

Sanya, jika ditilik dan diperamati baik-baik di sini, tak dapat tiada telah adalah perbezaan dunia sekarang dengan dahulu; nampaknya tersangatlah jauhnya seperti bumi dengan langit. Terutamanya daripada sekalian kemajuan dalam pekerjaan dan adalah penulis uraikan separuh daripadanya seperti di bawah ini:

Kemajuan: tentang kemajuan di dalam serba-serbi hal nampaknya bolehlah dibilangkan 7/10 bezanya daripada dahulu. Pada masa dahulu orang-orang banyak lagi di dalam kejahilan, tetapi sekarang tersangatlah banyak sehingga bersepah merata ceruk mencari pekerjaan sama ada pandai Melayu ataupun Inggeris, disebabkan semua kerusi-kerusi pejabat telah penuh belaka. Di manakah hendak diubahkan?

Tak dapat tiada membawalah ia akan halnya masing-masing, untung-untung diperoleh bagaimana perumpamaan Melayu, untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Demikianlah halnya.

Dari itu, hendaklah kita jaga serta bercermat akan pekerjaan yang telah kita pegangi itu jangan sampai terlucut. Mudah-mudahan mendapat selamat dan sentosa sehingga habis usia kita.

Pekerjaan: semenjak turun harga getah dan kelapa mulai dari tahun 1932 sehingga masa ini, tetapi masa ini adalah naik sedikit daripada tahun 1932 dan tahun 1933, bolehlah dikatakan senang sedikit kepada sekalian orang-orang dunia yang telah menanggung azab dan sengsara selamat itu, yang telah dikurniai oleh Tuhan rabbiul alamin. Kesusahan-kesusahan itu agaknya bagi menduga kepada kita sekalian hambanya adakah kukuh imannya atau tidak.

Nampaknya masing-masing merungut mengatakan di sini susah, melainkan susahlah pada halnya belum pun berapa lama lagi bala itu turun. Apatah lagi kalau lama nescaya banyak orang-orang yang mati dengan kelaparan yang tak boleh menjalankan ikhtiarnya lagi hanya banyak dengan bersungut-sungut, melainkan ia berharapkan dengan getahnya sahaja: maka tak dapat tiada dari situ sudahlah.

Padahalnya banyak lagi pekerjaan yang boleh dikerjakan seperti bercucuk-tanam, bersawah padi, menangkap ikan dan lain-lain. sungguhpun demikian, setengah daripada setengahnya pandai juga berikhtiar sehingga tak hiraukan siang dan malam berhujan panas melainkan tekun ia dengan bekerja. Lihatlah kesusahan sekarang!

Sayogianya, ingatlah sekalian saudaraku kaum Islam, bangunlah kamu daripada tidur kamu dan buangkanlah rasa pemalas itu jangan dikekalkan, kelak mendapat susah. Tetapi penulis lihat banyak juga pemuda-pemuda yang masih malas itu melainkan ia asyik dengan mengatakan rangkai dan sajaknya sambil memusingkan tongkat bengkoknya sahaja. Ia tidak fikir segala kepayahan-kepayahan itu kepadanya buat pura-pura tak tahu, melainkan sombongannya itulah yang masih dijalankannya dengan tidak sedarkan orang lagi menghajatnya hendak menyerupai orang-orang yang berpangkat besar. Tetapi bagaimanakah kita hendak memperolehinya? Oleh sebab kita malas! Tambahan pula bodoh! Bagaimana perumpamaan Melayu, seperti si cabul hendak mencapai bulan, apa hal tangan tak sampai!

Dari itu, jikalau kerja-kerja yang ada masa ini serta jimatkan harta dan sayangkan tanahair kita, cuba kalau kita pandai berjimat bagaimana bangsa-bangsa asing itu. Tak dapat tiada tak boleh kita ketinggalan daripadanya. Kerana penulis telah melihat di serata-serata tempat kebanyakan kebun-kebun yang luas baik getah atau kelapa semuanya dipunyai dan dimiliki oleh bangsa asing, sebab apa?

Ialah kerana pandai tentang hal yang demikian itu!