Warta Malaya extract
bibliographical notes on Warta Malaya
index of Warta Malaya extracts
    • locate in index of extracts taken from Warta Malaya

 

Warta Malaya, 3 May 1934, p.14

Feature Article.

Enggan bekerja Keretapi berhenti.

Kuala Lumpur 1 May.

Orang-orang enggan bekerja keretapi telah berjanji hendak balik bekerja pada pagi besok, kemudian daripada satu mesyuarat selama tiga jam, pada petang ini di antara mereka dengan Timbalan Pengawal Pekerjaan Wakil India dan Consul Cina di Central Workshop.

Pegawai-pegawai telah menunjukkan kesalahan-kesalahan yang berat yang akan berlaku jika sekiranya orang-orang enggan bekerja itu tiada balik bekerja dan menampil kepada mereka itu supaya tinggal menjadi kumpulan pekerjaan yang beruntung baik sekali di dalam Malaya.

Pegawai-pegawai itu telah berjanji bahwa jika orang-orang enggan bekerja itu balik bekerja, maka mereka akan membuat beberapa nasihat-nasihat yang tertentu kepada kerajaan supaya membenarkan beberapa tuntutan-tuntutan orang-orang enggan bekerja itu dalam empat perkara itu pada sebaliknya telah ditunjukkan bahwa pungutan itu tiada boleh dikembalikan.

Kemudian daripada mendengar pegawai-pegawai itu, maka orang-orang enggan bekerja itu telah mananya beberapa banyak soal-soal dan akhir-akhir telah membuat janji hendak balik. Telegram-Telegram telah dikirim dengan segeranya kepada sekalian tempat-tempat perhentian yang terkena supaya memaklumkan orang-orang enggan bekerja di sana darihal keputusan Central Workshop. Pemberita yang akhir sekali bagi pejabat keretapi yang dikeluarkan pada penghujung minggu sampai tempohnya pada pukul 7 pagi besok.

Adalah diketahui bahwa ada di Singapura pada malam tadi satu kenyataan telegram yang mengandungi kenyataan yang berjawatan yang tersebut telah diterima maklumkan kepada orang-orang itu pekerjaan akan disemulakan pagi ini.

14 Tuntutan.

Adapun 14 perkara yang ditentukan oleh orang-orang enggan bekerja itu menurut keterangan ialah:

1. Bahwa potongan gaji sebanyak 15 peratus itu hendaklah diberhentikan kerana orang-orang kerja mendapat kesusahan yang amat sangat.

2. Potongan-potongan hingga hari ini hendaklah dikembalikan.

3. Kelepasan selama dua jam yang diberi kepada mereka pada tiap-tiap hari Sabtu yang telah diberhentikan hendaklah dikembalikan.

4. Naik gaji hendaklah dibenarkan pada tiap-tiap tahun.

5. Orang-orang kerja yang mendapat kecederaan di rumah-rumah pekerjaan dan yang dihantar ke rumah sakit itu patutlah menerima gaji yang penuh.

6. Tiap-tiap bulan orang-orang kerja akan mendapat cuti selama tiga hari dengan tiada payah meminta kebenaran.

7. Anak-anak orang-orang kerja patut diberi kerja.

8. Tiap-Tiap seorang orang kerja yang menerima gaji sebanyak $2 sehari atau lebih hendaklah dibenarkan kelepasan yang percuma bagi kelas dua di atas keretapi.

9. Satu undang-undang yang telah diberi bahwa orang-orang kerja yang pergi ke India kerana cuti selama enam bulan tiada akan diberi kerja lagi apabila balik hendaklah dibatalkan.

10. Apabila mengira pemberian kerana pelatih-pelatih, maka tarikh yang mereka diambil menjalankan pekerjaan hendaklah dihitungkan.

11. Seperti dahulu pelatih-pelatih hendaklah dibenarkan naik gaji tiap-tiap enam bulan.

12. Apabila pelatih-pelatih tamatkan pelajaran mereka, maka hendaklah jangan dikatakan kepada mereka tidak ada kerja. Pekerjaan mesti dicari.

13. Undang-Undang yang diperbuat dalam tahun 1934, bahwa orang-orang kerja yang baru mesti membayar kerana sewa rumah hendaklah dibatalkan.

14. Perbuatan membuang kerja orang-orang yang telah bekerja selama enam atau tujuh tahun dan mengambil orang-orang baru itu hendaklah diberhentikan.