Warta Malaya extract
bibliographical notes on Warta Malaya
index of Warta Malaya extracts
    • locate in index of extracts taken from Warta Malaya

 

Warta Malaya, 7 May 1934, p.8

Editorial.

Nasihat kepada Pemuda.

Mulai pada hari Jumaat yang lalu, kita telah membuka halaman pemuda di dalam tambahan Warta Malaya bagaimana yang telah diura-urakan dahulu itu.

Seperti yang kita telah nyatakan dahulu, adalah tujuan kita membuka halaman itu terutamanya kerana hendak menggalakkan pemuda-pemuda Melayu yang di dalam sekolah-sekolah Inggeris di serata Tanah Malaya ini pada menulis rencana-rencana mereka itu dengan bahasa Melayu ke dalam suratkhabar Melayu.

Dengan demikian dapat mereka itu berlatih di dalam ilmu karang mengarang di dalam bahasanya sendiri dan supaya buah fikiran yang ditaburkan oleh mereka itu dapat saudara-saudara sekaum mereka itu berfaedah dengannya.

Sebagaimana bagi pemuda-pemuda itu ingat bahwa menghidupkan bahasa itu bermakna menghidupkan bangsa. Dan bagaimana pun seseorang itu pandai dalam bahasa asing, tiada boleh bermegah dia dengannya. Jika tidak lebih atau serupa sekuranganya pandai dia di dalam bahasanya sendiri. Jika salah seorang itu bertutur atau menulis di dalam bahasa asing, tiada boleh dimalukan kerananya. Tetapi sebaliknya jika salah dia di dalam pertuturan atau tulisannya di dalam bahasanya sendiri, bahkan itulah suatu perkara yang patut dimalukan.

Bukan tidak banyak daripada bilangan pemuda-pemuda kaum kita yang tidak boleh bertutur dengan bahasa Melayu, apatah lagi menulis dengan cakapan yang lebih tinggi sedikit daripada cakapan pasar. Mengapa sebabnya maka jadi begitu?

Kalau ditanya kita, maka menjawab kita bahwa sebab yang terutama sekali ialah kerana mereka itu tiada menaruh kegemaran kepada membaca kitab-kitab dan suratkhabar Melayu dan tidak mahu menjawab menggunakan adab bahasa yang sempurna di masa bertutur sehari-hari.

Bahasa Melayu ini sangat halus dan tertib aturannya dan lembut lagi sedap bunyinya. Jika dipertuturkan dengan mengikut aturan yang dikehendaki dengan adab bahasanya.

Tentu sekali kita tidak boleh dapat mengutip peraturan cakapan bagaimana yang dikehendaki daripada segenap simpang pasar. Hanya kita boleh dapati akan dia daripada kitab-kitab karangan yang baik-baik dan daripada suratkhabar dan majalah. Bersahabatlah dengan mereka itu wahai pemuda-pemuda kaumku! Kerana mereka itulah sebenar-benar sahabat yang tak dapat tiada mengembalikan faedah kepada tuan-tuan berkali-kali ganda banyaknya daripada wang yang tuan-tuan belanjakan kerana membeli kitab-kitab dan suratkhabar-suratkhabar itu.

Jangan pulak pemuda-pemuda salah faham, bukan bererti kata kita itu yang pemuda-pemuda yang menuntut di dalam sekolah Inggeris itu jangan membaca buku-buku cerita atau suratkhabar Inggeris. Tidak! Jauh sekali daripada yang demikian!

Tetapi kehendak kita itu ialah memperingatkan supaya jangan membiarkan pengetahuan di dalam bahasa asing yang telah didapati oleh mereka itu melupakan atau memperingan-ringankan bahasa mereka itu sendiri.

Di kehendaki sangat oleh kaum bangsa kita yang masa ini tengah menjawab hendak menapak ke medan kemajuan bersaing dengan bangsa-bangsa yang telah jauh lebih dahulu daripada bangsa kita, supaya banyak pemuda-pemuda yang berpelajaran menaburkan buah-buah pengetahuan yang telah didapati oleh mereka itu kepada saudara-saudara sekaumnya yang ada di segenap kampung dusun dan teluk rantau, yang tiada berpengetahuan di dalam apa bahasa yang lain pun selain daripada bahasa Melayu dan yang tengah hingga berkehendak mengetahui rupa-rupa faedah dan peraturan baru di dalam perusahaan bercucuk-tanam, bertukang dan membela anak, kesihatan dan yang seumpamanya. Daripada mana boleh dapat mereka itu jika tidak daripada pemuda-pemuda yang terpelajar itu?

Dan bagaimanakah dapat pemuda-pemuda yang diperhargakan itu jika tidak tahu mereka itu menghidangkan dia dalam hidangan bahasanya sendiri, baik bahasa Melayu yang hanya sanya itulah sahaja bahasa yang berpengetahuan saudara-saudaranya itu di dalamnya?