Warta Malaya extract
bibliographical notes on Warta Malaya
index of Warta Malaya extracts
    • locate in index of extracts taken from Warta Malaya

 

Warta Malaya, 3 May 1934, p.8

Editorial.

Pandangan kepada Usaha.

Barangkali tiadalah terlindung kepada siapa-siapa melainkan mereka-mereka yang membutakan mata hati memekakan telinga dan menguncupkan mata kepala, bahwa tiap-tiap seseorang adalah terwajib ia pada membuat sesuatu perusahaan yang terutama sekali kerana faedah dirinya sendiri dan juga, kepada kaum bangsanya.

Maka dengan sesuatu perusahaan itu, lazim orang yang mengerjakannya itu dapat membuat berbagai-bagai kebagusan dirinya dan kepada orang ramai juga. Maka di dalam tiap-tiap satu perusahaan itu adalah beberapa perkara yang tak dapat tiada mestilah diutamakan dan dipandang dengan berat berkenaan dengan ikhtiar sabar rajin dan cuba membesarkannya serta beberapa perkara lagi yang banyak sangat telah dipergalak dinasihat dan disyorkan oleh akhbar-akhbar dan majalah-majalah kaum bangsa kita Melayu di dalam Semenanjung Tanah Melayu. Kita menjalankan tiap-tiap satu perusahaannya itu dengan sebaik-baik pengertian serta menurut dan menepati dengan masa dan tempat, kerana sekiranya diusahakan sesuatu perusahaan dengan tiada menurut kehendak peredaran masa.

Maka yang berusaha itu tiadalah dapat menyediakan dirinya kepada yang yang dicita-citakan dan kelak tertinggallah ia di dalam medan perlumbaan mencari kehidupan bagaimana telah tertinggal dan menyesal beberapa banyak orang yang telah sangat mempercuai dan tiada membenarkan beberapa perhatiannya yang mesti ada di dalam tiap-tiap satu perusahaan.

Syahdan, kebanyakan kaum kita Melayu pada masa ini ada bersangka dan berfikir yang mereka itu telah sedar daripada apa yang telah dialpakannya di dalam berbagai-bagai perusahaannya itu. Maka kesedaran yang sedemikian itu sangatlah dikehendaki dan diperhargakan dengan setinggi-tinggi harga yang diharap pula tiupan bayu kecuaian itu tidak lagi melenakan kaum bangsa kita pada mencapai apa yang boleh diperbuatnya bagi memperbanyakkan nasibnya yang telah ketinggalan di dalam beberapa perusahaan berhidup di dalam tanahirnya sendiri moga-moga dengan kemajuan perusahaan orang-orang Melayu akan dapatlah dinaikkan mutu nama bangsanya sebagaimana telah berusaha bangsa-bangsa di dalam dunia ini pada mencapai cita-cita itu hingga perusahaan orang-orang di benua Eropah, di Amerika, dan di sebelah Timur Jauh itu, terpandang jauh terlebih tinggi darjahnya daripada orang-orang kita di sebelah sini.

Hatta, oleh kerana kebanyakan kaum kita pada masa ini ada sedikit lebih kurang kesedaran serta ada berkelayakan pada mengusahakan diri dalam beberapa perusahaan. Maka haruslah pula mereka itu berusaha dengan bersungguh hati dan dengan pandangan yang luas serta fikiran yang sempurna supaya dapat mereka itu bersaing dan mengecap manis kelazatan sebagaimana yang telah dirasai lemak manis itu oleh lain-lain bangsa masa yang telah lalu itu tiada guna dipersesalkan.

Dan apa yang telah berlaku di dalamnya itu hendaklah dijadikan satu peringatan supaya tidak akan berkalu lagi kecuaian seperti dalam masa yang sudah itu. Dan telah tibalah masanya yang tiap-tiap seorang itu patut menghargakan diri dan kelayakannya pada menjadikan tabiat rajin berusaha yang kelak akan menjadi sebaik-baik teladan yang boleh diikuti oleh orang-orang yang terkemudian adanya.