Warta Malaya extract
bibliographical notes on Warta Malaya
index of Warta Malaya extracts
    • locate in index of extracts taken from Warta Malaya

 

Warta Malaya, 29 May 1934, p.8

Editorial.

Penulis-Penulis Suratkhabar.

Kerapkali sangat kita dapati penulis-penulis menghantar makalah-makalah mereka itu kepada suratkhabar atau majalah-majalah satu lepas satu berturut-turut dengan tidak lagi menunggu makalahnya yang pertama itu diterbitkan lebih dahulu daripada dihantarnya makalahnya yang kedua itu, atau sekurang-kurangnya menunggu selama beberapa hari yang pada anggarannya makalahnya itu cukup jangkanya diterbitkan.

Perbuatan yang demikian ini ada satu tak baiknya. Kepada penulis itu, iaitu boleh jadi bila pengarang itu menerima dan membaca makalahnya. Yang kedua itu, sebelum makalahnya yang pertama itu diterbitkannya, dan didapatinya kandungannya adalah lebih baik daripada yang pertama itu. Harus makalahnya yang kedua itu sahaja disiarkannya, tetapi kiranya penulis itu menunggu hingga makalahnya yang pertama itu diterbitkan baru menghantar makalahnya yang kedua itu pulak, harus kedua-dua makalahnya tersiar dan kepenatannya dengan yang demikian itu tidak kelak sia-sia.

Seperkara lagi, kita selalu dengar sungutan penulis-penulis memarahkan seorang pengarang kerana tidak mensiarkan karangan mereka itu. Pada hal, kata mereka itu, konon dua tiga tahun dahulu karangan-karangan mereka itu semuanya sangat-sangat diperhargakan oleh pengarang-pengarang. yang demikian itu, boleh jadi benar tetapi penulis-penulis hendaklah tahu dan ingat bahwa adalah satu daripada sebab-sebab seseorang pengarang itu tidak menerima bagi siaran karangan seseorang penulis itu, ialah kerana pengarang itu berjalan mengikut peredaran masa, tetapi penulis itu tidak bergerak.

Lagi sejenis penulis pula mengarang atas sesuatu bab hingga berkajang-kajang kertas panjangnya. Pada hal, bab itu memadai boleh diterangkan dengan cukup jelas dengan karangan sepanjang semuka kertas sahaja. Dengan keadaan yang ringkas itu ada lebih berpeluang dapat siaran daripada yang panjang meleret.

Kemudian, ada setengah penulis pula menghantar karangan yang menyakitkan mata pengarang membacanya, oleh sebab sama ada khatnya terlalu cantik bergubah berbunga-bunga bergilang-gelok atau terlalu kotor. Oleh sebab masa bagi membaca surat-surat kiriman dan karangan-karangan itu telah khas dan dihadkan, maka tentulah tak upaya pengarang itu mengasingkan masa yang lebih daripada masa yang telah ditetapkan itu kerana menyelidik tulisan-tulisan karangan yang seumpama itu. Akhirnya, terpaksalah dibuangnya sahaja.

Ada pula penulis-penulis yang mencuba hendak mengarang dan menghantar karang-karangan penggeli hati, tetapi sebenarnya mereka itu sendiri tiada mempunyai tabiat atau perasaan menggelikan hati. Tiada suatu perkara yang lebih menyakiti daripada keadaan terpaksa membaca kemudian membuang karangan-karangan yang ditulis oleh seseorang yang difikir yang dia itu adapun kekuasaan menggelikan hati orang. Tetapi sebenarnya tak ada!

Lagi seperkara pengarang-pengarang cerita-cerita bagi siaran di dalam suratkhabar di zaman sekarang baik kerana kanak-kanak atau pemuda-pemuda hendaklah mengarang cerita-cerita yang suai dengan akal fikiran tamadun sekarang ini, zaman Pak Pandir Mak Mandir dan Dewa Mambang itu sudah jauh ke belakang tinggalnya.

Berkenaan dengan cerita panjang yang berkehendak kepada siaran berulang-ulang kali bagi mengkhatamkannya, dinasihatkan kepada pengarangnya jika bertujuan hendak mensiarkan ceritanya itu di dalam suratkhabar, maka hendaklah lebih dahulu dia mendapatkan kebenaran pengarang mana-mana surat-suratkhabar atau majalah yang hendak disiarkannya

ceritanya itu di dalamnya bila telah dapat dia akan kebenaran

yang tersebut itu, ketika itu hantarlah bahagian cerita yang pertama itu. Tetapi ingat! Hendaklah cerita itu ditulis supaya boleh dengan senang dibahagi-bahagikan kepada beberapa bilangan kali keluarannnya yang tentu, dan mestilah perhatian pada tiap-tiap kali keluar itu menarik perasaan pembacanya kepada kemaraan yang sangat-sangat kuat pada membaca sambungannya yang akan datang.

Penyudah kata dan yang terafdal sekali diperingatkan kepada penulis-penulis supaya jangan sekali-kali menulis barang suatu apa pun yang berlawanan dengan kepercayaannya sendiri.

Percayalah! Wahai penulis-penulis! Bahwa seseorang yang berfikir satu macam dan menulis lain macam itu mustahil boleh menarik hati pengarang itu menggemarkan hati pembacanya.