Warta Malaya extract
bibliographical notes on Warta Malaya
index of Warta Malaya extracts
    • locate in index of extracts taken from Warta Malaya

 

Warta Malaya, 8 May 1934, p.8

Editorial.

Perusahaan yang bersungguh-sungguh dikehendaki.

Bahwa adalah dikatakan sebahagian yang lebih besar ada mengetahui, iaitu tiap-tiap seorang itu dapat membuat sesuatu pekerjaan mengikut seberapa kadar kelayakan pengetahuan dan pendapatannya; iaitu jikalau banyak pengetahuannya serta dijalankannya dengan peraturan yang betul, nescaya diperolehi juga sedikit sebanyak faedah daripada apa yang telah diusahakannya itu.

Kesusahan dan kepicikan yang telah dirasai di seluruh Tanah Melayu di dalam beberapa tahun yang lepas itu telah tidak mengecualikan orang-orang Melayu daripada menanggung kepicikan pencarian yang bolehlah dikatakan tiada tertinggal, walaupun satu daerah dalam mana tiada kedengaran suara-suara kesusahan dan kepicikan pencarian oleh penduduk-penduduk kampung, yang terutama sekali telah mengenai di atas orang-orang Melayu.

Tetapi sekalian hal yang berkenaan dengan kepicikan pencarian dan berbagai kesusahan berhidup yang telah diderita oleh orang-orang Melayu itu, telah menjadikan satu kesedaran yang tiada patut sekali-kali dilupakan dan tiada diambil pengertian berapa jauh mereka itu telah tertinggal dalam perkara yang berkenaan dengan perusahaan dan lain-lainnya di dalam tanahair mereka sendiri.

Syahdan, peredaran masa yang membawa perubahan itu seolah-olahnya mengejutkan seseorang daripada kealpaan dan tidurnya yang lena. Kesusahan-kesusahan yang telah menimpa di atas orang-orang Melayu ini dalam hal berhidup telah menjadikan satu pelajaran yang terlalu amat besar berharganya kepada orang-orang Melayu supaya tidak lagi melepaskan beberapa peluang yang terlintas dihadapannya yang di dalam mana ada kelayakan bagi mereka itu pada berusaha dan mengerjakannya sebagaimana telah diusaha dan dikerjakan oleh orang-orang bangsa lain.

Hatta, baru-baru ini oleh kuat sangat himpit kepicikan pencarian itu dan dengan sedikit lebih kurang kesedaran akan tuah malang nasibnya dan tertarik oleh kuat runtutan yang baik mengikut bawaan masa. Maka telah mensemulakan orang-orang Melayu itu berbagai-bagai perusahaan berkenaan dengan tanam-tanaman yang pada satu masa telah ditinggalkan; lalu perusahaan-perusahaan itu sungguhpun sekalian perusahaan orang-orang Melayu itu belum boleh lagi dikatakan memuaskan hati dengan sepenuhnya. Tetapi tentang kecekalan orang-orang kita pada mensemulakan berbagai-bagai perusahaan itu adalah menjadikan satu harapan yang baik dan tiadalah jauh lagi masanya akan dapat mereka memperbanyakkan nasib kaum bangsanya berkenaan dengan berbagai-bagainya perusahaan dan perniagaan.

Yang demikian sekalipun ada terang terbayang dan ada harapan tahun ini akan menjadi lebih baik daripada beberapa tahun yang sudah-sudah tetapi nasib orang-orang Melayu kita akan tiada berubah sebagaimana yang ada dirasainya kiranya tidak ia bertugas benar-benar dan berkuat serta menjawab membesarkan apa jua jenis perusahaan yang ada dikerjakannya adanya.