malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Warta Malaya, 10 May 1934, p.8
Editorial.
Puji yang sebenar dan kekal.
Adakah siapa-siapa yang hidup di muka bumi yang tidak berkehendak kepada ini dipuji? Tentu sekali tiada ada banyak. Jika ditanya, berkata tidak mahu, tetapi perkataan mereka itu di dustai oleh perasaan hati mereka itu berkehendak kepada puji itu memang satu daripada sifat-sifat perasaan semulajadi pada tiap-tiap manusia. Kita boleh dapati akan keterangan adanya perasaan berkehendak kepada puji itu dengan memperhatikan perangai kelakuan kanak-kanak dari masa kecilnya.
Demikianlah hidup dengan suburnya perasaan itu hingga kebesarannya. Pendeknya serupalah pada perbandingan berkehendak seseorang kepada puji itu bagi permakanan rohnya bagaimana berkehendak dia kepada nasi atau sebarang makanan, umpamanya bagi permakanan tubuhnya.
Kiranya ada siap-siap berfikir yang dia itu tidak berkehendak kepada puji di dalam sebarang perbuatannya, maka kita percayalah kiranya daripada hari ini mulai diselidiknya dengan ikhlas akan perasaan hatinya di tiap-tiap kali dia berbuat sesuatu perbuatan, nescaya dapat diketahuinya bahwa ada perasaaan di dalam hatinya itu yang berkehendak supaya perbuatannya itu dipuji oleh orang.
Oleh sebab perasaan itu perasaan semulajadi yang dikurniai oleh Tuhan bagi muslihat diri dan pergaulan manusia. Maka tentulah perasaan itu daripada sifat yang baik dan mulia. Tetapi dengan segala kedukaan kita berkata bahwa sebaik-baik dan semulia-mulia benda atau perkara itu boleh bertukar jadi benda atau perkara yang jahat dan hina sekali dengan perbuatan manusia.
Puji itu bagaimana kata kita tadi, hanya mempunyai satu sifat sahaja. Iaitu baik dan mulia, yang dikatakan puji yang sebenar. Tetapi kerapkali manusia menukar sifatnya itu kepada sejahat-jahat dan sehina-hina sifat dengan menjadikan dia puji palsu. Ertinya puji yang palsu itu ialah puji yang didapati oleh seorang bagi dirinya dengan jalan tipu daya, muka-muka atau yang seumpamanya.
Maka puji yang sebenar itu hanya boleh didapati oleh seseorang bagi dirinya dengan menjalankan sebarang perbuatan dengan hati yang ikhlas dan dengan tujuan semata-mata bagi muslihat pekerjaan yang dibuatnya. Tidak berkehendak kita menyatakan di sini atas berbagai-bagai puji di dalam berbagai-bagai perkara yang seseorang itu boleh dapat bagi dirinya pada tiap-tiap hari tuan-tuan pembaca sedia maklum.
Adapun yang kita rasa patut kita menerangkan di sini ialah berkenaan dengan puji atas seseorang yang berhubung dengan muslihat kaum bangsanya. Kerana tiada puji yang lebih benar, lebih mulia dan lebih kekal, daripada puji yang didapat oleh seseorang daripada kaumnya sendiri kerana melakukan sebarang perbuatan yang berfaedah bagi muslihat kaum bangsanya sendiri dan sebaliknya tiada puji yang lebih palsu lebih jahat dan lebih hina daripada kaum bangsa asing kerana melakukan sebarang perbuatan bagi muslihat kaum bangsa itu pada halnya kaum bangsanya sendiri masih di dalam keadaan yang ufak-afik.
Sebagai lagi, ada setengah pula menyangka bahwa puji yang sebenar itu ada di dalam tangan orang-orang yang berkuasa di dalam jabatan kerajaan sahaja. Oleh itu, maka berusahalah mereka itu dengan menjalankan berbagai-bagai siasat bermuka-muka siasat mengampu dan terkadang-kadang ada yang hingga menjual akan maruah kaumnya kerana mendapatkan puji atau pangkat bagi dirinya. Naudzu billah! Allah jauhkan kaum kita daripada manusia yang seumpama itu!!!
Jalani di serata dunia ini dan perhati kemudian periksa tiap-tiap satu gambar patung yang terdiri bersepah di mana-mana bandar di muka bumi ini, nescaya dapat diketahui bahwa patung-patung itulah tanda-tanda puji yang sebenar yang telah didapati oleh orang-orang yang telah dipatungkan gambarnya itu, puji yang sebenar kerana apa? Bukan kerana kebaktiannya kepada kaum bangsa yang asing daripadanya.
Bukan kerana kepandaiannya bermuka-muka atau mengampu orang-orang yang berkuasa di dalam negerinya, tidak seribu kali tidak! Tetapi bahkan kerana kebaktiannya kepada kaum bangsanya sendiri seumumnya.
Ingat wahai kaumku! Bahwa kebesaran diri seseorang itu bergantung hanya sanya kepada kebesaran kaum bangsanya. Jika mulia kaumnya di mata bangsa asing, mulialah dirinya sekalipun tiada setengah kerat bintang-bintang kebesaran di dadanya. Sebaliknya jika hina kaumnya di mata bangsa asing, bahkan hinalah dirinya sekalipun penuh bercicir bintang-bintang di dadanya.
Barangsiapa yang menghabiskan ikhtiar dan usahanya dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh kerana muslihat kaumnya bahkan dialah yang layak menerima dan memakai bintang-bintang P.S.K ((Puji yang Sebenar dan Kekal)) itu adanya.
top |